Ketahui kebaikan minyak ikan.

Minyak ikan merupakan lemak atau minyak yang dikeluarkan daripada tisu ikan. Kebiasaannya, minyak ini datang daripada ikan-ikan yang berminyak seperti ikan parang, ikan bilis dan ikan kembung. Namun begitu, ia juga kadang-kadang dihasilkan daripada hati ikan-ikan yang lain yang mana sebagai contohnya adalah seperti minyak hati ikan kod.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan untuk kita memakan 1 hingga 2 hidangan ikan dalam seminggu. Ini kerana asid lemak omega-3 yang terdapat di dalam ikan memberikan banyak manfaat kesihatan, termasuklah perlindungan daripada beberapa penyakit. Namun demikian, sekiranya anda tidak makan 1-2 hidangan ikan seminggu, minyak ikan dapat membantu anda mendapatkan omega-3 yang cukup.

Ini kerana, lebih kurang 30% daripada minyak ikan terdiri daripada omega-3, sementara baki 70% yang lain terdiri daripada lemak-lemak yang lain. Di samping itu juga, minyak ikan juga biasanya mengandungi vitamin A dan D.

Selain daripada itu, apa yang anda juga perlu tahu adalah omega-3 yang dijumpai di dalam minyak ikan mempunyai manfaat kesihatan yang lebih besar berbanding omega-3 yang terdapat di dalam beberapa sumber daripada tumbuhan. Omega-3 di dalam minyak ikan merupakan asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA), manakala omega-3 daripada tumbuhan merupakan asid linolenik alfa (ALA).

Walaupun ALA merupakan asid lemak yang penting, namun demikian EPA dan DHA mempunyai lebih banyak manfaat kesihatan berbanding ALA. Antara kelebihan atau kebaikan yang disediakan oleh minyak ikan adalah seperti berikut;

1. Melawan Kemurungan Dan Kebimbangan

Kemurungan merupakn satu gangguan mental yang paling biasa didengari di dunia ini, di mana gejala-gejala penyakit ini adalah seperti kesedihan, kelesuan dan hilang keinginan untuk hidup Sementara itu, kebimbangan juga merupakan satu gangguan yang biasa didengari yang dicirikan dengan kerisauan dan kegelisahan yang tetap.

Berdasarkan kajian sains, data menunjukkan bahawa individu yang mengambil minyak ikan secara teratur mempunyai risiko yang rendah untuk menghadapi penyakit kemurungan. Dan kajian juga menunjukkan, individu yang mengalami kemurungan dan kebimbangan juga boleh dipulihkan dengan pengambilan minyak ikan.

2. Meningkatkan Kesihatan Mata

DHA yang terdapat di dalam omega-3 yang wujud di dalam minyak ikan merupakan sebuah komponen struktur utama retina mata anda. Apabila anda tidak mendapat DHA yang secukupnya, anda mungkin akan mengalami masalah penglihatan. Kajian saintifik menunjukkan pengambilan omega-3 yang cukup dapat mengurangkan risiko degenarasi makula, salah satu punca utama kerosakan mata kekal dan buta.

3. Penting Untuk Kesihatan Otak Kandungan Dan Bayi

Omega-3 adalah amat penting untuk pertumbuhan otak dan perkembangan bayi. DHA menyumbangkan 40% asid lemak politaktepu (PUFA) kepada otak anda dan 60% PUFA kepada retina mata anda. Oleh sebab itu, ianya tidak pelik apabila bayi yang diberi minum susu formula yang mengandungi DHA mempunyai tahap penglihatan yang lebih baik berbanding bayi yang diberi minum susu formula tanpa DHA.

Selain itu, mendapatkan omega-3 yang mencukupi ketika dalam tempoh kehamilan dikatakan memberikan banyak manfaat kepada anak anda, termasuklah kecerdasan yang lebih tinggi, kemahiran komunikasi dan sosial yang lebih baik, kurang masalah tingkah laku, mengurangkan risiko kelewatan perkembangan dan mengurangkan risiko sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), autisme dan kelumpuhan serebrum.

4. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Sakit jantung dan stok (angin ahmar) merupakan punca kematian yang utama di dunia. Beberapa dekad yang lalu, para penyelidik mengkaji mendapati bahawa masyarakat yang memakan ikan mempunyai kadar penghidap penyakit ini yang sangat rendah. Selepas itu, pemakanan ikan ini dikaitkan dengan pengambilan omega-3.

Sejak daripada itu, asid lemak omega-3 telah dikaitkan dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan jantung. Antaranya adalah seperti berikut;

  • Tekanan darah: Omega-3 dapat mengurangkan paras tekanan darah kepada individu yang mempunyai tekanan darah tinggi.
  • Darah beku: Omega-3 mengelakkan platelet daripada terkumpul bersama, yang mana dapat menghalang pembentukan darah beku yang berbahaya.
  • Keradangan: Omega-3 mengurangkan penghasilan beberapa bahan yang dikeluarkan semasa tindak balas keradangan tubuh anda.

Imej via iLabur

5. Mengurangkan Gejala Sindrom Metabolik

Sindrom metabolik adalah gangguan penggunaan dan penyimpanan tenaga, yang didiagnosis dengan kejadian bersama tiga daripada lima keadaan perubatan iaitu obesiti abdomen, tekanan darah tinggi, glukosa plasma puasa yang tinggi, trigliserida serum yang tinggi dan kolesterol berketumpatan rendah.

Sindrom ini merupakan satu kebimbangan kepada masyarakat kerana ia meningkatkan risiko untuk anda menghidapi penyakit lain, termasuklak penyakit jantung dan diabetes. Asid lemak omega-3 yang terdapat dalam minyak ikan boleh meningkatkan ketahanan insulin, mengurangkan risiko keradangan dan penyakit jantung kepada individu yang menghidap sindrom metabolik.

6. Melawan Penyakit Autoimun

Penyakit autoimun merupakan satu keadaan di mana sistem ketahanan diri anda menyangkakan sel-sel sihat sebagai sel-sel atau organisma asing dalam diri anda dan mula menyerang mereka. Diabetes Jenis 1 merupakan salah satu contoh utama di mana sistem ketahanan diri anda menyerang sel-sel pengeluar insulin di dalam pankreas anda.

Kajian menunjukkan omega-3 di dalam minyak ikan dapat melawan sesetengah penyakit ini dan boleh menjadi sangat penting pada peringkat awal kehidupan bayi. Kajian juga menunjukkan pengambilan omega-3 yang cukup pada tahun pertama kehidupan bayi dikatakan mengurangkan risiko mendapat penyakit autoimun.

7. Membantu Mencegah Kanser

Kanser merupakan salah satu daripada punca utama kematian di negara-negara Barat, dan asid lemak omega-3 yang terdapat di dalam minyak ikan telah lama dikatakan dapat mengurangkan risiko menghidap kanser-kanser tertentu. Satu kajian menunjukkan, individu yang mengambil omega-3 paling banyak mempunyai risiko lebih rendah sehingga 55% untuk menghidap kanser usus.

Tambahan lagi, pengambilan omega-3 juga dikaitkan dengan ia dapat mengurangkan risiko kanser prostat kepada lelaki dan juga kanser payu dara kepada wanita. Namun demikian, masih banyak kajian perlu dijalankan kerana tidak kesemua kajian menunjukkan hasil yang sama.

8. Meningkatkan Kesihatan Tulang Dan Sendi

Osteoporosis (tulang rapuh) dan artritis (radang sendi) merupakan dua penyakit biasa yang menjejaskan sistem rangka (skeletal) tubuh anda. Namun begitu, kajian menunjukkan pengambilan minyak ikan yang mengandungi omega-3 boleh meningkatkan kekuatan tulang dengan memperbanyak jumlah kalsium di dalam tulang anda, yang mana dapat mengurangkan risiko mendapat osteoporosis.

Selain daripada itu, minyak ikan juga dapat merawat penyakit artritis. Penghidap-penghidap artritis yang mengambil minyak ikan omega-3 dilaporkan telah mengurangkan kesakitan sendi dan meningkatkan kekuatan cengkaman sendi mereka.

9. Meningkatkan Kualiti Tidur

Tidur yang baik merupakan salah satu daripada asas untuk kesihatan yang sempurna. Banyak kajian mengaitkan kekurangan tidur dengan penyakit-penyakit seperti obesiti, diabetes dan tekanan.

Tambahan lagi, kajian menunjukkan paras asid lemak omega-3 yang rendah membawa kepada masalah tidur kepada kanak-kanak dan penyakit gangguan tidur (obstructive sleep apnea) kepada orang dewasa.

Oleh itu, kajian terhadap kanak-kanak dan orang dewasa menunjukkan pengambilan minyak ikan yang mengandungi omega-3 terutamanya DHA dapat meningkatkan tempoh dan kualiti tidur anda.

10. Baik Untuk Kulit Anda

DHA merupakan komponen struktur untuk kulit anda. Ianya bertanggungjawab terhadap kesihatan sel-sel membran, yang mana meliputi sebahagian besar daripada kulit anda. Sel membran yang sihat menghasilkan kulit yang lembut, lembap, anjal dan tidak berkerut.

Selain itu, EPA juga memberi kebaikan kepada kulit anda dalam pelbagai keadaan, termasuklah mengawal pengeluaran minyak dan penghidratan kulit anda, mengurangkan penuaan pramatang dan jerawat. EPA juga membantu menghalang pembebasan bahan-bahan yang menghilangkan kolagen pada kulit anda setelah terdedah kepada matahari.

Kesimpulan

Omega-3 menyumbang kepada perkembangan otak dan mata yang normal. Ia melawan keradangan dan membantu menghalang penyakit jantung dan penurunan dalam fungsi otak.

Oleh kerana  minyak ikan mengandungi banyak omega-3, mereka yang berisiko menghidapi penyakit-penyakit ini boleh mendapat manfaat daripadanya. Namun begitu, memakan ikan adalah hampir lebih baik daripada mengambil ubat (suplemen), dan mengambil dua hidangan ikan yang berminyak seminggu memberikan anda omega-3 yang cukup.

Namun demikian, untuk mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan ikan ataupun anda bukan pemakan ikan, suplemen minyak ikan boleh menjadi salah satu alternatif yang lebih murah kepada anda.

Jemput juga baca tentan buku pengurusan kewangan peribad dan punca inflasi

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.