Tugu Negara atau Tugu Peringatan Negara merupakan sebuah patung gangsa yang mengagumkan yang memperingati mereka-mereka yang gugur dalam perjuangan untuk membebaskan tanah air tercinta, terutamanya mereka-mereka yang menentang penjajahan Jepun semasa Perang Dunia II (1935 sehingga 1945) dan Darurat Tanah Melayu yang berlansung dari 1948 sehingga 1960.

Tugu peringatan ini melitupi satu kawasan seluas lebih kurang 48,562 meter persegi di Kuala Lumpur dan terletak berhampiran dengan Taman Tasik Perdana serta berdekatan dengan Dewan Parlimen. Tugu peringatan ini juga terdiri daripada lima kawasan iaitu tugu itu sendiri yang merupakan tarikan utama, kolam pantulan segi empat yang panjang dengan air pancut, astaka (pavilion) berbentuk bulan sabit, cenotaph (tugu) serta taman-taman tambahan. Tugu Negara terletak di tengah-tengah kolam pantulan.

Tugu Negara berdiri tinggi dan megah pada ketinggian 15.4 meter. Patung unik ini direka dan diilhamkan oleh pengukir Amerika yang terkenal, Felix de Weldon. Ianya dibina dengan kos sebanyak RM600,000 dan siap dibina pada tahun 1966 setelah mengambil masa selama 5 tahun. Felix de Weldon juga merupakan individu yang bertanggungjawab membina Tugu Peringatan Perang USMC yang terkenal di Virginia, Amerika Syarikat.

Selain itu, di sebalik karya seni yang hebat ini, terdapat banyak pemikiran atau idea serta alasan dalam pembinaannya. Tugu itu menggambarkan sekumpulan tentera yang memegang Jalur Gemilang (bendera negara Malaysia). Kumpulan tentera yang terdiri daripada 7 orang tentera itu setiap satu figura melambangkan kepimpinan, penderitaan, perpaduan, kewaspadaan, kekuatan, keberanian dan pengorbanan.

Figura tentera di bahagian tengah memegang bendera Malaysia. Figura tersebut diapit oleh dua figura lain di kiri dan kanannya. Kedua-dua figura tersebut memegang senjata. Figura di sebelah kiri bersenjatakan mesingan manakala yang di sebelah kanan memegang senapang dan bayonet. Figura keempat yang berlutut di sebelah kanan figura tengah adalah tentera keempat yang sedang membantu rakan kelima yang tercedera. Akhir sekali, yang paling ke depan dan ke bawah daripada lima tentera di atas adalah dua musuh yang telah ditumpaskan.

Di samping itu, tapak asas tugu ini yang diperbuat daripada granit mengandungi tulisan (dedikasi) dalam bahasa Inggeris serta bahasa Melayu yang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan tersebut adalah;

“Memperingati perwira-perwira yang berjuang untuk menegakkan keamanan dan kebebasan”

“Moga-moga Allah cucurkan rahmat ke atas mereka”

Imej via TheStar

Cenotaph Tugu Negara Pertama

Tidak semua rakyat Malaysia mengetahui bahawa Tugu Negara yang pertama adalah bukan dalam bentuk patung-patung gangsa seperti diceritakan di atas. Sebaliknya, Tugu Negara pertama adalah merupakan sebuah cenotaph era perang yang pada awalnya didirikan oleh pentadbiran British di atas tanah seluas 10 meter persegi di sebuah bulatan bersebelahan dengan Jalan Hishamuddin dan Jalan Raja, berhampiran dengan Stesen KTM Kuala Lumpur dan Bangunan Pentadbiran Keretapi.

Cenotaph ini asalnya bertujuan untuk memperingati Perang Dunia I (1914-1918) dan menghormati orang-orang dari jajahan Melayu British yang terbunuh dalam peperangan tersebut. Tidak lama selepas itu, tulisan pada cenotaph tersebut ditambah dengan askar-askar Melayu British yang gugur dalam Perang Dunia II (1939-1945) selepas tamatnya peperangan tersebut dan penyambungan semula pemerintahan British. Nama-nama mereka yang gugur diukir pada plak cenotaph sebagai tanda penghargaan ke atas pengorbanan mereka.

Cenotaph tersebut dipindahkan ke lokasi sekarang, iaitu di tapak Tugu Negara pada tahun 1964 untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan (flyover) yang menghubungkan Jalan Sultan Hishamuddin dan bulatan Parlimen yang dibina di atas tapak asal cenotaph. Cenotaph dipecahkan ke dalam beberapa bahagian kecil supaya urusan pengalihan dapat dilakukan dan untuk mengekalkan reka bentuk asal apabila dibina semula di tapak baru.

Selain itu, berikutan dengan pemindahan tapak cenotaph, tulisan padanya ditambah lagi dengan memasukkan askar-askar yang terkorban dalam Darurat Tanah Melayu (1948-1960) serta penambahan terjemahan melayu kuno “UNTOK MENGINGATI JASA PAHLAWAN-PAHLAWAN YANG GUGOR” untuk tulisan asalnya yang dalam bahasa Inggeris, “TO OUR GLORIOUS DEAD”. Tugu asal ini dimasukkan ke dalam beberapa edisi wang kertas RM1 yang dikeluarkan antara tahun 1982 hingga 1989.

Imej via Says

Musnah Akibat Pengeboman Pengganas

Tugu Negara yang siap dibina pada tahun 1966 telah menggantikan cenotaph yang merupakan tugu negara pada tahun-tahun sebelumnya. Namun begitu, mungkin ada di antara anda yang tidak mengetahui bahawa monumen yang ada pada hari ini tidak sama dengan monumen yang pada awalya dibina oleh Felix de Welton pada tahun 1966.

Ini kerana, monumen asalnya telah rosak teruk akibat pengeboman pengganas pada zaman Darurat. Ianya dibom pada tahun 1975 di mana pemberontakan Komunis masih lagi berlansung pada ketika itu. Pada tahun-tahun sebelumnya, negara kita telah menyaksikan banyak serangan yang dilakukan oleh komunis. Salah satunya adalah serangan berani pada waktu siang di mana Ketua Polis Negara pada waktu itu, Tan Sri Abdul Rahman bin Hashim yang ditembak mati dengan kejam di dalam kereta beliau di Jalan Tun Perak.

Kemudian, pada 26 Ogos 1975, tidak lama sebelum fajar pada jam 5.00 pagi, terdengar letupan besar di sekitar kawasan yang sekarang menjadi Taman Tugu. Sebuah bom yang diletakkan oleh pengganas-pengganas Komunis telah meletup dan telah memusnahkan patung gangsa yang berdiri megah itu.

Pihak polis yang telah bergegas ke tempat kejadian menemui empat orang pemberontak yang membawa kepada kejadian tembak-menembak sehinggalah pemberontak yang terakhir melarikan diri. Akibat daripada letupan itu, salah satu patung gangsa tersebut pecah, manakala 3 lagi patung pecah pada bahagian kepala.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu, Tun Muhammad Ghazzali Shafie menyatakan kemarahan beliau bahawa pemberontak bersikap dengan sangat hina sehingga sanggup menyerang tempat peringatan yang dikhaskan untuk memperingati mereka yang telah mengorbankan nyawa untuk negara ini.

Tugu Negara ini didirikan semula dengan kos RM2.5 juta di mana separuh daripada kos tersebut disumbangkan oleh orang ramai. Dua minggu selepas pengeboman tersebut, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein memulakan kempen awam untuk mengumpul dana memperbaiki tugu tersebut.

Akhirnya, dana itu mencapai jumlah yang diinginkan iaitu RM1 juta dan Christopher Carney, seorang pensyarah di Institut Teknologi Mara telah ditugaskan untuk membina semula Tugu Negara kepada bentuk asalnya. Allayarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada ketika itu menyatakan bahawa monumen ini telah mempunyai satu makna baru iaitu simbol penolakan rakyat terhadap pemberontakan Komunis dan kepercayaan rakyat terhadap kedaulatan dan kebebasan Malaysia.

Oleh itu, pada Hari Pahlawan nanti (31 Julai setiap tahun), bawalah keluarga anda atau rakan-rakan anda berkunjung ke Tugu Negara dan luangkan masa untuk mengingati berapa banyak darah yang ditumpahkan dan pengorbanan yang diperlukan untuk mencapai keamanan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini.

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.