Jom fahami konsep retakaful.

Retakaful ataupun boleh juga disebut takaful semula adalah satu cara atau kaedah pengurusan risiko yang kritikal yang perlu dihadapi oleh pengendali atau syarikat-syarikat takaful dalam mencapai beberapa objektif dan tujuan tertentu. Antara keperluan retakaful adalah untuk memastikan keberkesanan penyebaran risiko.

Dengan menggunakan kaedah ini ataupun retakaful, syarikat atau pengendali takaful akan dapat berkongsi pembangunan dan pertumbuhan pasaran takaful dan dalam masa yang sama retakaful dapat melindungi pengendali atau syarikat takaful daripada terdedah kepada risiko yang tinggi dan melampau ke atas liabilti yang ditanggung dan dilindunginya.

Di samping itu juga, retakaful diperlukan dalam menyediakan kapasiti atau kandungan tambahan kepada pengendali atau syarikat takaful untuk menerima penyertaan risiko yang lebih besar dan banyak yang mungkin melebihi kekuatan dan keupayaan kewangan dan kebolehan teknikal yang dimiliki.

Selain itu juga, retakaful memiliki kesan untuk menstabilkan dan melancarkan aliran perolehan atau pendapatan dan juga kerugian sepanjang tempoh satu tahun, di mana ianya merupakan suatu tempoh yang agak panjang bagi mewujudkan dana takaful yang kukuh dan berdaya tahan.

Oleh sebab itu, dengan kepelbagaian dan bilangan dan tahap risiko yang ditanggung atau dikendalikan dalam portfolio syarikat atau pengendali takaful, pengendali atau syarikat retakaful boleh menjalankan analisa kajian penyelidikan. Ini kerana pengendali atau syarikat retakaful memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai risiko.

Ini juga kerana pengendali atau syarikat retakaful mampu melihat risiko dari perspektif atau sudut pandangan yang berbeza dan lebih menyeluruh. Kebolehan ini juga disebut sebagai perspektif makro. Dalam kebanyakkan kes, retakaful mampu menilai risiko melangkaui beberapa bidang kuasa yang berbeza.

Tambahan pula, maklumat-maklumat yang unik dan tersendiri ini boleh dikongsi dengan pengendali atau syarikat retakaful bagi tujuan untuk memastikan pengurusan risiko yang lebih cekap dan efisyen. Perkara ini akan seterusnya membantu pengendali atau syarikat takaful dalam memanfaatkan data dan maklumat yang ada supaya mereka mampu untuk membentuk produk baru, menetapkan kadar sumbangan dan yang paling utama memberi kemampuan kepada mereka untuk mewujudkan keupayaan menjamin yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.

Selain daripada itu, dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan yang dimiliki oleh pengendali retakaful, mereka boleh menyediakan tenaga pakar dalam bidang menaja jamin, mencipta reka bentuk risiko kewangan, menyediakan perkhidmatan aktuari, menyelesaikan masalah IT, menyediakan kaedah alternatif pemindahan risiko, menguruskan tuntutan dan pemasaran serta lain-lain lagi kepada pengendali atau syarikat takaful.

Akhir sekali, untuk menjaga amanah yang diberikan oleh peserta takaful, retakaful membolehkan pengendali atau syarikat takaful bersedia melindungi dan menjaga dana takaful pada setiap masa daripada terdedah kepada risiko yang tinggi dan juga daripada tuntutan yang merugikan. Retakaful juga memberikan keyakinan kepada peserta atau ahli takaful bahawa kebolehan untuk membayar tuntutan oleh pengendali atau syarikat takaful adalah suatu jaminan yang tinggi.

Justeru, kemudahan dan kelebihan yang wujud dalam sistem retakaful akan membantu pengendali atau syarikat takaful dalam berusaha ke arah mencapai objektif penubuhan takaful. Objektif yang dimaksudkan adalah kesediaan untuk melindungi peserta takaful dan berkongsi lebihan pengurusan takaful seperti apa yang telah dinyatakan di dalam sijil atau portfolio takaful.

Oleh yang demikian, artikel ini adalah bertujuan untuk meneliti dan menjelaskan konsep retakaful dan perbezaan yang dimiliki oleh retakaful berbanding reinsurans dalam insurans konvensional. Selari dengan kesepakatan ulama Islam dalam mengharuskan takaful sebagai satu sistem insurans Islam, ulama juga telah bersependapat bahawa retakaful atau takaful semula adalah berasaskan kepada penggunaan prinsip-prinsip takaful, justeru telah mematuhi keperluan syariah Islam.

Oleh kerana fungsi dan tujuan retakaful sangat penting dalam industri takaful disebabkan pertumbuhan takaful yang semakin berkembang dan maju pada hari ini, maka syarikat retakaful amat diperlukan dalam memainkan peranan utama dalam mendokong serta menyokong syarikat takaful sedia ada.

Walau bagaimanapun, syarikat retakaful tidak mampu untuk menampung atau menanggung semua syarikat takaful. Ini kerana mereka kekurangan modal dan dana serta beberapa aspek yang lain. Oleh sebab itu, industri reinsurans terpaksa digunakan bagi  memenuhi keperluan syarikat atau pengendali takaful yang tinggi.

Namun demikian, konsep retakaful masih berlandaskan perspektif dan undang-undang Islam serta masih menggunakan prinsip-prinsip takaful untuk memastikan retakaful sentiasa mematuhi syariah Islam.

Imej via Takaful Malaysia

Konsep Retakaful

Retakaful atau takaful semula adalah satu sistem yang mematuhi dan menuruti batas dan landasan syariah pada sudut pengendaliannya atau modus operandinya. Terlebih dahulu, penggunaan istilah takaful dan insurans di kalangan rakyat Malaysia dapat difahami di mana takaful merujuk kepada produk yang patuh syariah sepenuhnya manakala insurans konvensional bersifat sebaliknya dari segi hukum dan konsepnya.

Oleh yang demikian, retakaful boleh ditakrifkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya adalah retakaful merupakan satu kontrak ynag berdasarkan kepada suatu balasan. Ini bermaksud seseorang individu itu bersetuju untuk membayar keseluruhan atau sebahagian pampasan kepada pihak ketiga atas kerugian atau kemudaratan yang disebabkan oleh risiko yang telah dilindungi di bawah kontrak yang berasingan dan berlainan sebagai pengendali pihak ketiga.

Justeru, dalam erti kata lain, kontrak retakaful adalah satu kaedah atau cara yang digunakan oleh pengendali atau syarikat takaful. Melalui kontrak ini, pengendali atau syarikat takaful mendapatkan pihak ketiga untuk melindungi mereka daripada kerugian atau liabiliti berdasarkan risiko sebenar perlindungan takaful yang asal. Pihak ketiga ini yang disebut sebagai retakaful.

Perbezaan Retakaful Dan Reinsurans

Pada dasarnya, perbezaan yang wujud antara retakaful dan reinsurans adalah sama seperti yang wujud dalam perbezaan antara takaful dan insurans konvensional. Namun begitu, terdapat dua perbezaan yang jelas antara retakaful dan reinsurans. Perbezaan tersebut adalah seperti berikut;

1. Riba dan gharar

Riba atau tambahan atau bunga dan juga gharar yang bermaksud ketidakpastian tidak wujud dalam retakaful. Operasi retakaful tidak menerima sebarang komisen ataupun faedah kerana komisen ini merujuk kepada riba dan ia jelas melanggar syariah Islam. Tetapi, komisen yang diperoleh dalam pengendalian retakaful hanya bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan sebenar dalam proses retakaful.

Manakala dalam modus operandi reinsurans, mereka menerima komisen yang ternyata tidak sejajar dengan syariah Islam. Syarikat insurans pula akan menerima komisen hasil daripada mereka melakukan reinsurans ataupun boleh disebut sebagai mereka menerima ganjaran daripada syarikat reinsurans kerana telah menggunakan perniagaan mereka. Transaksi ini jelas menunjukkan komisen tersebut mempunyai unsur riba.

2. Prinsip kepentingan boleh insurans

Kepentingan boleh insurans adalah berpunca daripada kehendak para pencarum atau peserta takaful. Namun begitu, ianya secara automatik menggunakan prinsip mudharabah. Ini kerana caruman peserta dapat diwarisi oleh pengendali takaful untuk mentakafulkan semula atau meretakaful sesuatu yang diinsuranskan berdasarkan konsep mudharabah.

Manakala dalam insurans konvensional, kuasa kepentingan boleh insurans diserahkan atau diberikan kepada syarikat insurans. Oleh itu, syarikat insurans akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kepentingan yang diinsuranskan.

Akhir kata, tidak dapat dinafikan bahawa industri takaful kian mendapat tempat di pasaran Malaysia pada masa kini. Namun, kelansungan pengendali takaful sebenarnya banyak dipengaruhi oleh syarikat-syarikat retakaful dalam menguruskan dan mengagihkan risiko-risiko yang tidak mampu ditanggung oleh syarikat takaful kerana kekurangan dana dan modal.

Jemput baca tentang jenis takaful dan manfaat takaful penyakit kritikal

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.