Pernah tak terfikir, apa jenis interest yang bank kenakan?
Faedah (interest) adalah salah satu komponen utama dalam dunia kewangan, terutamanya ketika berurusan dengan pinjaman atau simpanan.
Bagi kebanyakan individu atau perniagaan yang berurusan dengan bank, interest memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah pembayaran yang perlu dilakukan sepanjang tempoh pinjaman.
Nak tahu jenis faedah yang wujud dan bagaimana bank mengenakan faedah kepada pelanggan mereka?
Faedah ialah bayaran tambahan yang dikenakan oleh pihak pemberi pinjaman, seperti bank, kepada peminjam atas jumlah wang yang dipinjam.
Faedah boleh dianggap sebagai bayaran untuk menggunakan wang yang dipinjam dalam tempoh tertentu. Secara asasnya, faedah adalah kos untuk meminjam wang dan biasanya dihitung sebagai peratusan daripada jumlah pinjaman atau baki yang belum dibayar.
Terdapat beberapa jenis interest atau faedah yang biasa dikenakan oleh bank dalam pelbagai produk kewangan, seperti pinjaman perumahan, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, dan akaun simpanan.
Berikut adalah beberapa jenis faedah yang wujud dan penting anda ambil tahu.
Faedah tetap bermaksud kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman atau simpanan tidak akan berubah sepanjang tempoh tertentu.
Ini memberi kestabilan kepada peminjam kerana mereka tahu jumlah bayaran ansuran yang perlu dibayar setiap bulan akan kekal sama, tidak kira perubahan dalam keadaan ekonomi atau kadar faedah pasaran.
Jom lihat contoh penggunaan bagi pinjaman perumahan. Sekiranya anda meminjam wang untuk membeli rumah dengan faedah tetap 4%, anda akan membayar kadar faedah yang sama sepanjang tempoh pinjaman, misalnya 20 tahun.
Jenis interest ini memberikan anda kestabilan untuk merancang bajet kewangan. Namun, jika kadar faedah pasaran menurun, anda tetap terikat dengan kadar yang lebih tinggi.
Berbeza dengan faedah tetap, faedah terapung adalah kadar faedah yang boleh berubah mengikut perubahan kadar faedah pasaran.
Ia biasanya dikaitkan dengan kadar asas bank atau kadar rujukan lain yang boleh berubah dari masa ke semasa. Kadar faedah ini mungkin meningkat atau menurun bergantung kepada keadaan ekonomi.
Contohnya, pinjaman peribadi atau kad kredit mempunyai interest yang bergantung pada kadar pasaran atau kadar rujukan yang ditetapkan oleh bank pusat.
Sekiranya kadar pasaran menurun, peminjam boleh menikmati faedah yang lebih rendah. Namun, jika kadar pasaran meningkat, peminjam mungkin perlu membayar lebih banyak faedah.
Tahukah anda, interest kompaun adalah interest yang dikenakan bukan sahaja ke atas jumlah pokok (jumlah asal yang dipinjam) tetapi juga ke atas interest yang terkumpul daripada tempoh sebelumnya.
Dalam erti kata lain, faedah dikenakan pada faedah yang sudah ada. Ini berbeza dengan faedah sederhana (simple interest) yang hanya dikenakan pada jumlah pokok sahaja.
Sekiranya anda menyimpan wang di akaun simpanan yang menawarkan faedah kompaun, faedah yang anda dapat akan dikira berdasarkan baki terkumpul dalam akaun, termasuk faedah yang telah diberikan sebelumnya.
Dalam kes pinjaman, faedah kompaun boleh meningkatkan jumlah yang perlu dibayar dengan lebih cepat berbanding faedah sederhana.
Tak sangka ada macam-macam jenis interest yang digunakan. Interest sederhana ini pula adalah interest yang dikira hanya berdasarkan jumlah pokok pinjaman sahaja, tanpa mengambil kira faedah yang telah terkumpul pada masa lalu.
Faedah ini lebih mudah difahami dan dikira berbanding faedah kompaun. Sebagai contoh, banyak pinjaman peribadi dengan jangka masa pendek menggunakan faedah sederhana untuk mengira jumlah faedah yang perlu dibayar.
Kelebihannya adalah ia mudah difahami dan lebih menjimatkan berbanding faedah kompaun dalam tempoh jangka pendek. Kekurangan interest ini pula adalah pinjaman yang lebih lama boleh menjadi lebih mahal dalam kes faedah kompaun.
Bukan itu sahaja, interest nominal pula adalah kadar faedah yang digunakan untuk pengiraan tanpa mengambil kira kesan inflasi atau perubahan kadar pasaran.
Ia adalah kadar faedah yang secara rasmi diumumkan oleh bank dan sering digunakan dalam kontrak pinjaman atau perjanjian simpanan.
Untuk pengetahuan anda, kebanyakan pelaburan jangka panjang menggunakan faedah nominal untuk menghitung keuntungan atau pulangan.
Jenis interest ini mudah difahami dan diikuti tetapi ia tidak mengambil kira perubahan inflasi atau keadaan ekonomi yang boleh mempengaruhi nilai sebenar faedah yang diterima.
Seterusnya, revolving interest dikenakan ke atas produk seperti kad kredit, di mana baki yang tidak dibayar pada akhir tempoh akan dikenakan faedah dan jumlah tersebut akan dibawa ke bulan berikutnya, dengan faedah dikenakan ke atas baki yang dibawa.
Jika anda mempunyai baki tertunggak dalam kad kredit, bank akan mengenakan faedah perbaharui ke atas jumlah tertunggak tersebut, yang akan terus meningkat jika tidak dibayar.
Faedah ini memberi fleksibiliti jika anda hanya perlu membuat pembayaran minimum. Kadar faedah boleh jadi sangat tinggi, menyebabkan hutang menjadi lebih sukar untuk dilangsaikan.
Memahami jenis interest yang dikenakan oleh bank sangat penting untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Setiap interest ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri bergantung kepada keperluan dan matlamat kewangan anda.
Anda boleh mempertimbangkan pinjaman atau pelaburan, mengikut jenis faedah yang paling sesuai dengan situasi kewangan anda. Belajar ilmu kewangan dan pastikan anda urus kewangan dengan baik!
Jemput baca artikel-artikel berikut:
‘Buy Now, Pay Later’ patutkah kita gunakan?
Cara buat simpanan bisnes untuk situasi darurat
Pekerjaan gaji paling tinggi di Malaysia