Malaysia sebenarnya sebuah negara yang kaya dengan hasil sumber alam dengan pendapatan yang tinggi daripada sumber lain seperti kutipan cukai, barangan eksport, industri pembuatan, pendidikan dan sebagainya.

Di samping itu, Malaysia merupakan negara majmuk terdiri daripada pelbagi jenis kaum dan etnik, yang sememangnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Hasil kekayaan negara ini selepas digunakan untuk pembangunan negara, akan diagihkan kepada rakyat kembali sebagai tujuan kebajikan sosial dan kemakmuran bersama.

Persoalannya, adakah semua kaum etnik ini menikmati nilai kekayaan negara kita?

Kejayaan agihan kekayaan ini penting sebagai satu matlamat penyusunan semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi antara etnik, mengurangkan jurang ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kumpulan etnik.

Jom ketahui dengan lebih lanjut melalui bacaan artikel ini.

Pengenalan

Isu ketidaksetaraan agihan pendapatan dan kekayaan bukanlah sesuatu isu baharu di mana ia telah dibincangkan
sejak 2000 tahun yang lalu.

Ahli falsafah Plato dalam bukunya bertajuk Republik menyatakan impak jurang kekayaan kepada sesebuah masyarakat di mana akan berlaku perpecahan dan kekacauan sekiranya jurang kekayaan semakin melebar antara golongan terkaya dan golongan termiskin.

Tindakan afirmatif merupakan sejenis mekanisme penyelesaian konflik dalam situasi ketegangan etnik dan ketidakseimbangan sosioekonomi.

Di Malaysia, tindakan afirmatif dilaksanakan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai 1970 bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi dan ketidaksetaraan kekayaan antara etnik melalui agihan semula ekuiti dengan matlamat 30% dimiliki Bumiputra dan 40% dimiliki bukan Bumiputra.

Setelah kira-kira 40 tahun perlaksanaannya, matlamat agihan ekuiti masih gagal dicapai. Namun, adakah perlaksanaan tindakan afirmatif memberi kesan kepada agihan kekayaan bagi setiap etnik?

Konsep Kekayaan

Kekayaan sering kali diertikan sebagai ekuiti. Ekuiti bermaksud keadilan di mana setiap individu menerima apa yang menjadi haknya.

Dalam bidang Perakaunan, ekuiti merujuk nilai modal yang disumbangkan oleh pemilik manakala dalam ekonomi, ekuiti bermaksud satu keadaan atau situasi di mana setiap orang memperoleh apa yang menjadi haknya (kesetaraan pendapatan dan kekayaan) meliputi peluang kehidupan yang sama tanpa mengira identiti, pendapatan asas dan minimum, dan komitmen untuk agihan semula

“Keadilan” didefinisikan sebagai “Justice as Fairness” di mana ia tidak bermaksud sama rata, tetapi agihan berasaskan kepada keperluan yang telah ditetapkan.

Mencapai Agihan yang Sama Rata

Imej via iLabur

Untuk mencapai kesetaraan dalam agihan, ekuiti mesti dicapai terlebih dahului sebelum kesetaraan dapat dicapai.

Agihan yang seimbang antara generasi akan menjamin kesetaraan agihan pendapatan dan kekayaan bagi generasi berikutnya melalui pembangunan modal manusia yang lebih tinggi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

Agihan kekayaan yang tidak adil dan seimbang, bukan sahaja mengakibatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dalam jangka masa panjang tetapi turut mengakibatkan wujudnya konflik sosial, politik, perpecahan, kekacauan dan huru-hara dalam masyarakat.

Bagi mewujudkan agihan pendapatan dan kekayaan yang cekap dan adil, campur tangan kerajaan amat penting bagi menangani dan mengatasi masalah kegagalan pasaran melalui pelaksanaan pelbagai dasar meliputi pelaksanaan tindakan afirmatif.

Tindakan Afirmatif

Tindakan afirmatif sering dikonsepkan sebagai mekanisme penyelesaian konflik dalam situasi ketegangan etnik dan ketidakseimbangan sosioekonomi.

Ia didefinisikan sebagai langkah-langkah terancang bagi memperbetulkan kepincangan serta ketidakadilan sosial dan ekonomi kesan daripada pemerintahan atau dasar pada masa lepas yang telah mendiskriminasikan kumpulan-kumpulan tertentu dalam sesebuah masyarakat berbilang etnik.

Ia merupakan satu dasar berbentuk intervensi (campurtangan langsung Kerajaan) yang mempunyai matlamat sama seperti dasar “peluang yang sama (equal opportunity)”, tetapi berbeza dari sudut pendekatan.

Pelaksanaan Tindakan Afirmatif

Pelaksanaannya merupakan salah satu strategi bagi menangani ketidaksetaraan pendapatan dan kekayaan,
ekonomi, sosial dan ketidakadilan lampau antara kumpulan etnik khususnya di negara berbilang etnik.

Ia berbentuk diskriminasi positif dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti etnik, warna kulit, agama, jantina, orentasi seksual, asal usul negara, kelas sosial dan status kecacatan agar mencapai peluang yang sama dalam apa jua bidang meliputi pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perniagaan (kontrak awam).

Kejayaan Tindakan Afirmatif

Tindakan Afirmatif dilaksanakan hampir di kebanyakan negara di dunia seperti Fiji, India, Malaysia, Ireland Utara, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Amerika Syarikat dan bilangannya bertambah dari setahun ke setahun serta menghasil keputusan yang berbeza-beza.

Ini kerana, tidak wujud satu kaedah yang tepat bagi menangani permasalahan ini kerana setiap negara berhadapan dengan situasi yang berbeza dan memerlukan kaedah penyelesaian yang berbeza.

Pelaksanaannya bertujuan untuk menangani ketidaksetaraan mendatar antara kumpulan etnik melalui 3 kaedah berbeza iaitu kaedah langsung, kaedah tidak langsung dan integrasi antara kedua-duanya.

Malaysia dan Ireland Utara merupakan antara contoh terbaik bagaimana tindakan afirmatif menyumbang kepada penurunan ketidaksetaraan ekonomi dan sosial seterusnya membawa keharmonian di dalam masyarakat.

Dasar Afirmatif di Malaysia

Imej via iLabur

Di Malaysia, ketidaksetaraan agihan pendapatan dan kekayaan antara etnik telah menjadi isu terbuka dan disedari sejak zaman penjajahan Inggeris lagi.

Ini terbukti melalui kewujudan unsur-unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan (kontrak sosial) yang memberi hak dan keistimewaan kepada orang Melayu/Bumiputra dan anak negeri Sabah dan Sarawak melalui Perkara 153.

Bagi menangani ketidaksetaraan dan mewujudkan agihan yang adil dan saksama, pelbagai dasar dan strategi telah dilaksanakan Kerajaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi dan sosial tetapi, ia turut mengakibatkan impak negatif seperti pembangunan yang tidak seimbang, melebarkan jurang ketidaksetaraan agihan pendapatan dan kekayaan dan peminggiran antara etnik serta jurang antara bandar, desa dan wilayah.

Cetusan Dasar Afirmatif di Malaysia

Impak tragedi berdarah 13 Mei 1969, Kerajaan telah melaksanakan tindakan afirmatif melalui Dasar Ekonomi
Baru (DEB) bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi dan ketidaksetaraan pendapatan dan kekayaan antara etnik melalui agihan semula ekuiti dengan matlamat 70% ekuiti dimiliki rakyat Malaysia dengan 30% dimiliki Bumiputra dan 40% dimiliki rakyat Malaysia yang lain.

Pelaksanaan tindakan afirmatif di Malaysia agak berbeza berbanding di negara-negara lain di mana ia dilaksanakan secara eksplisit dan terancang, dilindungi oleh perlembagaan dan dilaksanakan untuk membantu golongan majoriti dan bukannya golongan minoriti.

Kesinambungan Dasar Afirmatif di Malaysia

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kedua (1970), pegangan ekuiti pada 1970 bagi Bumiputra hanya 2.4% sahaja berbanding pegangan etnik Cina sebanyak 34.3% dan pegangan asing sebanyak 63.3%.

Setelah tamatnya DEB (1971 – 1990), tindakan afirmatif masih diteruskan dengan pengubahsuaian dalam pelaksanaan dasar pembangunan selanjutnya iaitu Dasar Pembangunan Nasional (1991–2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan Model Ekonomi Baru (2011-2020).

Kesinambungan sasaran dan semangat ini wujud kerana DEB itu sendiri merupakan sebahagian dari tindakan afirmatif yang telah dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan melaksanakan dasar liberalisasi menyeluruh sektor kewangan bermula di sektor pasaran modal mulai tahun 2009.

Pelaksanaannya mengakibatkan perubahan drastik dan menyeluruh dalam syarat pemilikan ekuiti terutamanya syarat khas bagi pemilikan ekuiti bumiputra di bawah garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) yang telah wujud sejak 36 tahun yang lalu sebagai sebahagian strategi mencapai objektif pemilikan 30% ekuiti Bumiputra dalam DEB.

Kesan Dasar Afirmatif Negara

Imej via iLabur

Setelah kira-kira 40 tahun perlaksanaannya, matlamat agihan ekuiti masih gagal dicapai.

Jurang agihan pendapatan antara etnik terutamanya antara Bumiputera dengan etnik cina semakin melebar dari tahun 2009 – 2012 sekali gus melenyapkan segala pencapaian yang telah dicapai sejak sedekat yang lalu.

Situasi ini hampir menyamai situasi pada 1969/1970 di mana ketidaksetaraan pendapatan, kekayaan dan kemiskinan bertumpu dengan pembahagian etnik, sosial dan agama.

Pencapaian agihan ekuiti mengikut etnik terutamanya etnik Bumiputra masih rendah berbanding ekuiti bukan Bumiputra terutamanya selepas 1990.

Ini kerana, peranan tindakan afirmatif dalam agihan ekuiti semakin longgar dan lemah di mana syarat pemilikan ekuiti tidak lagi di kawal dengan ketat tetapi diberi kelonggaran terutamanya apabila ekonomi mengalami kemerosotan seperti pada tahun 1985 (krisis komoditi) dan krisis kewangan 1997.

Kesimpulan

Untuk mencapai agihan kekayaan yang adil dan saksama, ia bukanlah sesuatu tugas yang mudah dan mengambil masa yang lama berbanding perancangan asal (satu generasi) serta memerlukan perancangan yang teliti, menyeluruh dan dilaksanakan pada masa yang tepat.

Negara kita memerlukan bukan sahaja kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi tetapi pada masa yang sama perlu memastikan wujudnya keadilan sosial, berkongsi peningkatan pendapatan yang saksama serta meningkatkan peluang pekerjaan.

Jemput juga baca:

Rujukan

  1. Kim, S. (2019). Social Equity and Public Sector Employment in the Republic of Korea. In Social Equity in the Asia-Pacific Region (pp. 177-186). Palgrave Macmillan, Cham.
  2. Poon, O. A., Segoshi, M. S., Tang, L., Surla, K. L., Nguyen, C., & Squire, D. D. (2019). Asian Americans, affirmative action, and the political economy of racism: A multidimensional model of raceclass frames. Harvard Educational Review89(2), 201-226.
  3. Sukemi, M. N., Berma, M., Baharuddin, S. A., & Shahdan, F. (2018). Pengaruh Tindakan Afirmatif kepada Agihan Kekayaan antara Etnik di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia52(1), 269-281.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.