Nak tahu cara buka akaun tabung haji?

Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan sebuah institusi kewangan Islam perdana di Malaysia. Lembaga ini merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1963. Tabung Haji yang ditadbir dengan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), merupakan perintis institusi-institusi kewangan Islam untuk memudahkan simpanan masyarakat Islam untuk Haji dan Umrah.

Pada hari ini, TH mempunyai pengalaman lebih dari 50 tahun dalam perkhidmatan dan operasi Haji dan pelaburan dana. Sebagai satu-satunya institusi Haji di negara ini yang menguruskan lebih daripada RM73 bilion deposit (setakat 2017), TH berusaha untuk memperkukuhkan ekonomi umat Islam Malaysia dengan memanfaatkan dana dan sumber yang ada.

TH terus membuktikan kewujudannya di dalam pasaran dalam dan luar negara dengan penglibatan di dalam beberapa sektor ekonomi yang bersesuaian dengan prinsip Islam seperti pelaburan, perladangan di Indonesia, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, hospitaliti, pelaburan hartanah serta pembangunan dan pembinaan di United Kingdom dan Australia. Dengan keuntungan bersih lebih daripada RM3 bilion (setakat 2017), Tabung Haji mampu memberikan pulangan yang kompetitif kepada pendepositnya.

Selain itu, TH memberi tumpuan untuk memberikan perkhidmatan Haji yang sangat baik dan memuaskan kepada jemaah haji Malaysia dan rekod prestasi yang konsisten telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai contoh bagi Pengurusan Haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif di kalangan negara-negara Islam.

Pada hari ini, TH mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan rangkaian 125 cawangan dengan lebih daripada 6,000 kemudahan di seluruh negara. TH juga mempunyai pejabat operasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah naungan Konsulat Malaysia.

Membuka Akaun Tabung Haji

Pada hari ini, membuka akaun Tabung Haji tidak lagi sesuatu yang sukar. Ini kerana, akaun Tabung Haji dapat dibuka dengan mudah di mana-mana kaunter Tabung Haji dan Kaunter Bergerak Tabung Haji, Rakan Strategi Tabung Haji (Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan Bank CIMB) dan TH Komuniti.

Namun begitu, pembukaan akaun Tabung Haji hanya dibenarkan kepada orang Islam dan berfikiran waras serta merupakan warganegara Malaysia sahaja. Ini merupakan syarat-syarat umum yang perlu dipatuhi bagi membolehkan anda membuka akaun dengan Tabung Haji.

Sementara itu, terdapat dua jenis akaun yang boleh dibuka bersama Tabung Haji. Dua jenis akaun tersebut adalah Akaun Dewasa dan Akaun Kanak-kanak. Akaun Dewasa merupakan akaun untuk anda yang berumur 18 tahun dan ke atas mengikut tarikh lahir. Manakala Akaun Kanak-kanak merupakan akaun untuk anda atau anak-anak anda yang berumur 18 tahun dan ke bawah mengikut tarikh lahir.

Namun begitu, pemegang Akaun Kanak-kanak dinasihatkan untuk menukarkan status akaun tersebut kepada Akaun Dewasa apabila anak-anak atau jagaan anda telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas. Anda boleh melakukan penukaran status akaun tersebut di mana-mana cawangan Tabung Haji. Selain itu, permohonan penukaran status tersebut perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

Di samping itu, penukaran ini perlu kerana selagi mana akaun tersebut masih lagi merupakan Akaun Kanak-kanak, hanya ibu bapa atau penjaga yang sah sahaja bertanggungjawab terhadap akaun tersebut serta sebarang transaksi akaun tersebut walaupun anak atau jagaan anda telah berumur lebih 18 tahun.

Imej via PeKhabar

Cara Buka Akaun Dewasa

Sekiranya anda warganegara Malaysia yang beragama Islam, berfikiran waras dan berumur 18 tahun dan ke atas serta berkeinginan membuka akaun Tabung Haji, anda boleh berbuat demikian dengan mengunjungi mana-mana cawangan Tabung Haji berdekatan dengan anda ataupun ejen-ejen TH (kaunter bergerak TH, rakan strategi TH dan TH komuniti).

Apa yang anda perlu sediakan hanyalah kad pengenalan diri anda (MyKad) sahaja. Pegawai Tabung Haji di kaunter cawangan TH akan membantu anda untuk urusan selanjutnya sehingga urusan anda selesai dan anda boleh membawa pulang buku akaun Tabung Haji anda.

Cara Buka Akaun Kanak-Kanak

Untuk membuka Akaun Kanak-kanak, terdapat satu syarat tambahan di mana salah seorang daripada ibu bapa atau penjaga mestilah mempunyai akaun Tabung Haji dan merupakan warganegara Malaysia.

Seperti anda ingin membuka Akaun Dewasa, anda sebagai ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh mengunjugi mana-mana cawangan atau ejen Tabung Haji berdekatan dengan anda. Anda perlu membawa sijil kelahiran kanak-kanak tersebut serta dokumen pengenalan diri kanak-kanak tersebut (MyKid atau MyKad) untuk diserahkan kepada pegawai Tabung Haji ketika membuka akaun. Urusan-urusan lain akan diuruskan oleh pegawai Tabung Haji sehingga proses pembukaan akaun tersebut selesai.

Mengapa Perlu Buka Akaun Tabung Haji

Sebagai umat Islam, menunaikan Haji merupakan rukun Islam kelima. Namun begitu, menunaikan Haji ini hanya boleh ditunaikan sekiranya anda berkemampuan. Berkemampuan di sini bukan sahaja merujuk kepada keupayaan kewangan dan fizikal anda sahaja, bahkan untuk konteks negara Malaysia, berkemampuan juga merujuk kepada kuota peruntukan jemaah Haji tahunan.

Tabung Haji telah memperkenalkan satu konsep iaitu, “Daftar dahulu, Didahulukan”, di mana ia bermaksud, Tabung Haji akan mengutamakan mereka-mereka yang telah membuat pendaftaran haji terlebih dahulu dalam mengisi kuota yang diperuntukkan menunaikan haji. Ini kerana, peruntukan tahun untuk menunaikan haji adalah berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Namun begitu, untuk mendafatar haji, anda perlu mempunyai akaun Tabung Haji. Oleh itu, anda perlu bersegera membuka akaun Tabung Haji sekiranya masih belum ada serta bersegera membuat pendaftaran haji supaya anda tidak perlu menunggu terlalu lama untuk giliran tahun menunaikan haji anda.

Dengan adanya tahun giliran anggaran yang diberikan kepada anda, ianya sedikit sebanyak mendorong anda untuk menyimpan wang dan membantu anda menguruskan kewangan anda supaya anda mempunyai jumlah wang yang cukup apabila tahun giliran jangkaan anda itu tiba suatu hari nanti.

Jemput juga baca tentang sejarah penubuhan tabung haji dan cara link tabung haji dengan Bank Islam

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.