Mencari tips cara urus gaji? Menguruskan gaji bukanlah perkara yang mudah memandangkan bukan semua orang celik kewangan. Kebanyakan kita hanya berbelanja secara sesuka hati dan setelah ditolak dengan hutang,wang yang tinggal hanya cukup-cukup makan.

Jauh sekali berpeluang untuk menabung. Jika anda mengalami keadaan yang sama, jom kami kongsikan cara urus gaji agar anda setiasa mempunyai lebihan wang dan simpanan tetap setiap bulan.

Sumber: Pyments

1. Ketahui berapakah gaji bersih anda setiap bulan

Langkah pertama yang perlua anda lakukan ialah dengan mengenal-pasti berapakah gaji bersih yang anda dapat setiap bulan. Sesetengah orang hanya mengetahui berapakah gaji kasar yang diberikan oleh majikan namun terlupa untuk melihat berapakah gaji bersih yang diperolehi selepas menolak KWSP dan semua tolakan wajib yang lain. Mulai hari ini, lupakab berapa gaji kasar anda dan lihat jumlah yang diperolehi sebagai gaji bersih.

2. Kenal-pasti perbelanjaan anda setiap bulan

Kemudian, senaraikan setiap perbelanjaan anda dalam tempoh sebulan. Pada tahap ini, adalah sangat penting untuk anda menjadi jujur dengan diri sendiri. Senaraikan setiap satu perbelanjaan termasuk rokok, air Starbucks yang anda minum setiap minggu, tiket wayang, Netflix, dan sebagainya. Setelah mendapat senarai tersebut, lihat semula apakah yang boleh anda baiki. Perbelanjaan manakah yang memakan terlalu banyak duit anda setiap bulan.

3. Kenal-pasti hutang yang ada

Setelah mendapat senarai perbelanjaan setiap bulan, kini tiba masanya untuk anda melihat apa pula hutang-hutang yang anda ada. Senaraikan semua hutang termasuklah hutang dengan individu. Ini kerana kesemua hutang ini wajib anda lunaskan sebelum meninggal dunia. Pastikan anda tidak tertinggal walau pun satu hutang.

4. Kenal-pasti hutang mana yang paling mudah untuk dilangsaikan

Langkah seterusnya dalam cara urus gaji ialah dengan mengenal-pasti hutang manakah yang paling mudah untuk anda langsaikan. Biasanya hutang dengan jumlah yang paling kecil adalah hutang yang kami cadangkan untuk anda selesaikan dahulu. Jika anda inginkan kewangan yang lebih stabil, fokus untuk melangsaikan hutang anda dengan secepat mungkin. Selesaikan hutang paling kecil dahulu dan kemudian beralih kepada hutang yang seterusnya.

5. Buat belanjawan bulanan

Membuat belanja bulanan adalah cara urus gaji yang paling asas namun tak semua orang menyediakannya. Adalah sangat penting untuk anda mempunyai belanjawan bulanan bagi memastikan perbelanjaan anda tidak melebihi pendapatan setiap bulan. Ia juga adalah bagi memastikan anda mempunyai simpanan setiap bulan walau pun sedikit. Bak kata orang lama, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Simpanan yang sedikit adalah lebih baik daripada langsung tiada.

Sumber: Beritaharian

6. Simpanan wajib

Langkah seterusnya ialah dengan mengadakan simpanan wajib setiap bulan. Kami tidak nafikan bahawa dewasa ini, tak ramai yang mampu untuk menyimpan. Lihat saja jumlah purata gaji rakyat Malaysia pada hari ini dan lihat pula kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar besar. Namun begitu, walau sekecil mana gaji anda, anda masih mampu menyimpan sekiranya anda mewujudkan sistem simpanan wajib.

Caranya? Sebaik sahaja gaji anda masuk, asingkan terus sedikit wang untuk simpanan. Tak mampu banyak, RM10 sebulan pun jadi. Bayangkan. RM10.00 x 12 bulan, dalam setahun anda sudah mampu mempunyai simpanan sebanyak RM120.00. selepas 5 tahun, jumlah simpanan wajib anda akan menjadi RM600.00. Mudah saja kan?

7. Berbelanja dengan berhemah

Ini adalah cara urus gaji yang ramai tak mampu untuk lakukan. Berbelanja secara berhemah adalah mudah untuk disebut namun amat sukar untuk dilaksanakan. Setiap kali dapat gaji, pastinya kita ingin berbelanja dengan tiket self-reward. Namun berapa ramai yang terlebih belanja atas tiket self-reward dan akhirnya menyesal? Adakah kita wajib member ganjaran kepada diri sendiri setiap bulan?

Tak salah untuk memberikan ganjaran kepada diri sendiri. Juga tak salah jika anda ingin belanja ahli keluarga dan rakan-rakan, namun pastikan berpada-pada. Berbelanjalah secara berhemah agar anda tidak mempunyai masalah kewangan dan sentiasa dibelenggu masalah hutang dan ketiadaan simpanan hari tua.

8. Pandai untuk mengenal-pasti yang mana keperluan dan kehendak

Keperluan anda kehendak adalah dua perkara berbeza. Kebanyakan daripada kita tahu untuk membezakan di antara keduanya namun tak mampu untuk mengutamakan keperluan semasa berbelanja. Kehendak adalah perkara yang biasanya menguasai nafsu kita. Kereta besar. Rumah besar. Handphone terkini di pasaran. Bercuti di tempat instagramable. Mulai hari ini didik diri untuk pandai membezakan di antara keperluan dan kehendak semsa berbelanja.

9. Tambah pendapatan

Cara urus gaji yang seterusnya ialah tambah pendapatan sekiranya anda merasakan bahawa gaji yang anda dapat sekarang tidak mencukupi untuk menampung belanja anda sekeluarga. Jika anda tidak mampu untuk mengurangkan belanja, cara terbaik untuk menghadapi isu ini ialah dengan cara mencari pekerjaan sampingan. Hari ini terdapat pelbagai pilihan untuk anda menambah pendapatan dan berniaga secara online adalah pilihan ramai memandangkan hari ini ramai yang membeli-belah secara online.

10. Misi dan visi untuk masa panjang

Langkah terkahir yang ingin kami kongsikan ialah pastikan anda mempunyai misi dan visi jangka panjang. Adakah anda mempunyai rancangan pada tahun bilakah anda akan hidup bebas hutang? Adakah anda mempunyai target berapakah simpanana minimum anda setiap tahun? Adakah anda sudah mempunyai rancangan berapakah jumlah simpanan dan asset yang anda wajib ada sebelum berumur 40 tahun? Jika belum ada, tiba masa untuk anda mula merancang.

Sumber: Hmetro

Itulah dia info  tentang cara urus gaji yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.