Jika anda seorang peniaga, pastinya anda tahu bahawa anda perlu berdaftar dengan SSM untuk menjalankan perniagaan secara sah. Jika dulu anda boleh pergi sendiri ke SSM untuk melakukan pendaftaran, kini proses pendaftaran adalah lebih mudah kerana ia boleh dilakukan secara online. Jom kami akan kongsikan cara daftar SSM secara online.

Sumber: Aerill

Jenis perniagaan yang perlu didaftarkan di SSM

Pastinya anda tertanya-tanya apakah jenis perniagaan yang perlu didaftarkan di SSM. Adakah perniagaan anda termasuk dalam kategori perniagaan yang perlu didaftarkan? Merujuk Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (APP 1956), perniagaan bermaksud tiap-tiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud-maksud mendapat keuntungan. Walau bagaimana pun, hanya perniagaan yang  beroperasi di Malaysia Barat iaitu meliputi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan.

Untuk makluman anda, menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah satu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Para pemilik perniagaan juga bertanggungjawab untuk mendapatkan lesen, permit atau surat kebenaran yang berkaitan daripada pihak berkuasa bagi aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

Jenis-jenis perniagaan di Malaysia:

Terdapat beberapa jenis perniagaan yang terdapat di Malaysia iaitu:

  • Perniagaan Milikan Tunggal iaitu perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh seorang pemilik.
  • Perniagaan Perkongsian iaitu perniagaan yang dimiliki oleh sekurang-kurangnya dua orang dan tidak lebih daripada dua puluh orang rakan kongsi.

Semasa mahu melakukan pendaftaran, anda boleh memilih jenis perniagaan berdasarkan jumlah pemilik perniagaan iaitu milik anda seorang atau anda berkongsi dengan rakan kongsi yang lain.

Syarat-syarat  pendaftaran perniagaan

Berikut adalah beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum anda mendaftarkan perniagaan di SSM:

  • Pemilik adalah warganegara Malaysia atau penduduk tetap
  • Pemilik mestilah berumur 18 tahun ke atas
  • Permohonan dilakukan oleh pemilik atau rakan kongsi sahaja.
  • Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu tahun dan tidak melebihi lima tahun pada setiap pendaftaran.
  • Jenis perniagaan yang didaftarkan hendaklah mematuhi undang-undang, keselamatan persekutuan, ketenteraman awam dan prinsip moral.
Sumber: SSM

Panduan memilih nama perniagaan

Langkah seterusnya ialah memilih nama untuk perniagaan anda. Pastinya anda ingin tahu apakah nama yang boleh digunakan sebagai nama perniagaan anda. Berikut adalah panduan nama yang boleh anda gunakan:

  • Perniagaan anda boleh didaftarkan dengan menggunakan nama sendiri atau didaftarkan nama ‘Tred’.
  • Jika anda memilih untuk menggunakan nama sendiri seperti di dalam kad pengenalan, anda tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan. Contoh nama: Aminah Binti Ali.
  • Nama Tred pula ialah nama perniagaan selain nama dalam kad pengenalan. Jika anda memilih nama ini, anda perlu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Perniagaan SSM terlebih dahulu. Contoh nama: Taska Adik Comel, Al-Hamim Enterprise.

Cara daftar SSM online

Untuk melakukan pendaftaran SSM secara online, berikut adalah beberapa langkah yang perlu anda lakukan:

  • Layari laman web https://ezbiz.ssm.com.my/
  • Kemudian tekan butang SIGN UP sekiranya anda adalah pengguna website ini buat kali pertama.
  • Pada ruangan ID TYPE, pilih NRIC (Kad pengenalan).
  • Kemudian masukkan nombor kad pengenalan pada ruang ID NO dan isikan nama penuh pada ruang NAME AS PER IC.
  • Setelah siap, tekan butang REGISTER.
  • Kini anda adalah pengguna berdaftar laman web EzBiz. Anda akan mendapat emel notifikasi pengguna.
  • Apa yang perlu anda lakukan seterusnya ialah hadir di mana-mana kaunter SSM yang terdekat dengan membawa kad pengenalan dan emel notifikasi yang diterima untuk mengaktifkan ID dengan membuat pengesahan cap jari (biometrik) bagi tujuan keselamatan maklumat.
  • Setelah ID anda diaktifkan, anda boleh cuba login di website yang sama.
  • Untuk mendaftarkan SSM secara online, sila pilih MY BUSINESS SERVICE.
  • Kemudian pilih tab NEW BUSINESS di bawah sub menu NEW BUSINESS REGISTRATION.
  • Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) akan dipaparkan dan anda perlu mengisi maklumat berikut:
  • Nama perniagaan
  • Tarikh mula perniagaan
  • Alamat utama perniagaan
  • Alamat cawangan perniagaan (jika ada)
  • Maklumat pemilik dan rakan kongsi
  • Jenis perniagaan yang akan dijalankan
  • Salinan perjanjian perkongsian (jika ada)
  • Setelah selesai, buat pembayaran mengikut kaedah yang anda inginkan.
  • Sekiranya pendaftaran perniagaan anda berjaya, anda akan mendapat notifikasi pengesahan dari pihak SSM.
  • Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu jam dari waktu pembayaran dibuat.

Bayaran pendaftaran ezBiz SSM

Setelah berjaya melakukan pendaftaran, langkah seterusnya ialah membuat bayaran pendaftaran. Pendaftaran anda tidak akan lengkap jika anda tidak melakukan bayaran yang cukup. Untuk maklumat anda, bayaran yang dikenakan adalah seperti berikut:

  • Perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti dalam kad pengenalan, jumlah bayaran  RM30.00.
  • Perniagaan milikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred, jumlah bayaran RM60.00.
  • Pendaftaran cawangan, jumlah bayaran ialah RM5.00 setiap cawangan.
  • Cetakan Maklumat Perniagaan, jumlah bayaran ialah RM10.00.
Sumber: Sterrific

Itulah dia info  tentang cara daftar ssm yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang business cara DIY gambar passport dan cara betul pembahagian harta.

Rujukan:

1. SSM Online

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.