Nak tahu cara beli saham global? Jom baca sehingga habis tentang hal ini.

Dana saham global dan saham antarabangsa boleh menjadi satu bahagian yang penting dalam portfolio pelbagai (diversified portfolio). Seperti dana-dana bersama yang lain, dana saham global dan antarabangsa berpotensi untuk melabur di dalam jumlah sekuriti yang besar, memberikan anda cara yang lebih menjimatkan kos untuk memiliki saham dalam banyak syarikat yang berbeza.

Walau bagaimanapun, tidak seperti dana saham domestik, yang mana dilaburkan di dalam syarikat-syarikat Malaysia, dana saham antarabangsa lebih tertumpu kepada melabur dalam syarikat-syarikat di luar Malaysia. Dana saham global pula mempunyai kemampuan untuk mencari pelaburan di dalam syarikat Malaysia dan bukan Malaysia, membantu anda untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh ekonomi global.

Oleh itu, memahami perbezaan di antara dana saham global dan saham antarabangsa, termasuklah potensi keuntungan dan risiko yang ada dalam kedua-duanya, merupakan satu elemen yang penting dalam pelaburan global.

Kelebihan Dana Saham Global Dan Antarabangsa

1. Kepelbagaian

Dana saham global dan antarabangsa biasanya memiliki banyak saham individu daripada negara-negara yang berbeza dan meliputi pelbagai industri. Ini dapat menawarkan pelbagai lapisan kepelbagaian kepada para pelabur, termasuklah geografi, mata wang dan sektor, sekaligus dapat mengurangkan kemungkinan di mana prestasi saham tunggal atau ketidakstabilan di sesebuah negara akan memberikan kesan negatif kepada prestasi keseluruhan portfolio.

2. Peningkatan modal dan pendapatan

Dana saham global dan antarabangsa mempunyai potensi untuk menawarkan peningkatan modal yang lebih besar berbanding dana saham domestik. Walau bagaimanapun, peningkatan potensi tersebut datang dengan risiko yang lebih besar.

Selain itu, melabur di dalam pasaran global juga menawarkan lebih banyak sumber pendapatan jika dibandingkan hanya melabur di dalam saham Malaysia sahaja. Bagi mereka yang menyimpan untuk persaraan atau tujuan jangka panjang yang lain, potensi pertumbuhan seperti ini boleh menjadi jalan untuk membantu simpanan anda kekal seiring dengan inflasi.

3. Pengurusan yang profesional

Pengurus dan penganalisis portfolio profesional mempunyai kepakaran, teknologi, capaian global dan kemahiran bahasa yang diperlukan untuk mengkaji syarikat-syarikat dan menganalisis maklumat pasaran sebelum membuat keputusan pelaburan. Kebanyakan pelabur kecil sukar untuk memperolehi kepakaran atau akses kepada maklumat-maklumat seperti ini.

4. Kecairan dan kemudahan

Semua dana bersama membenarkan anda untuk membeli dan menjual dana saham anda pada nilai bersih aset setiap penutup hari bekerja. Anda juga boleh melabur semula sebarang pendapatan daripada pengagihan dividen dan keuntungan modal secara automatik atau membuat pelaburan tambahan pada bila-bila masa. Bagi kebanyakan dana saham, pelaburan awal minimum yang diperlukan mungkin jauh lebih rendah daripada apa yang anda perlu bayar untuk mencipta satu portfolio pelbagai untuk saham individu.

Bagaimana Hendak Melabur Di Dalam Saham Global

Pada dasarnya, terdapat dua kaedah yang boleh digunakan untyk membantu anda berdagang dengan saham global.

Kaedah 1: Gunakan broker global atau asing

Anda boleh membuka akaun perdagangan di dalam negara asal saham-saham tersebut. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin melabur di dalam syarikat Amerika Syarikat, anda boleh membuka akaun perdagangan di Amerika Syarikat untuk membeli saham di Bursa Saham New York (NYSE).

Dengan cara ini, anda dapat menjimatkan kos transaksi anda serta akan mempunyai platform dan perisian pelaburan yang lebih baik. Namun begitu, ianya agak sukar untuk membuka akaun di mana anda mungkin perlu menghantar beberapa dokumen ke luar negara. Selain itu, ianya akan lebih sukar untuk membiayai akaun perdagangan kerana sesetengah bank tidak membenarkannya dilakukan secara dalam talian.

Kaedah 2: Gunakan broker tempatan yang menyediakan kemudahan pelaburan saham global

Anda boleh membuka akaun perdagangan global di Malaysia di dalam bank-bank pelaburan dan firma-firma sekuriti tempatan, dan membelu saham global. Lokasi aset anda akan dianggap tempatan, walaupun secara teknikalnya wang anda dilaburkan di luar negara.

Kaedah ini lebih mudah kerana lebih senang untuk berurusan dengan broker tempatan untuk mendapatkan bantuan. Selain itu, anda juga boleh mengeluarkan dana dengan mudah serta pelaburan anda boleh dimasukkan ke dalam wasiat harta pusaka anda supaya mudah untuk waris anda mewarisinya. Namun begitu, apabila anda menggunakan broker tempatan, kos transaksi pelaburan global anda akan lebih tinggi.

Imej via iLabur

Risiko Dana Saham Global Dan Antarabangsa

Seperti pelaburan lain, pelaburan global mempunyai risiko, termasuklah risiko-risiko unik kepada pasaran global seperti risiko mata wang atau perubahan kepada ekonomi, politik atau perundangan. Risiko ini lebih ketara di negara-negara yang membangun disebabkan oleh pasaran dan ekonomi mereka yang kurang teratur.

Dalam beberapa kes, faktor-faktor ini boleh menyebabkan kemeruapan harga saham dan prestasi saham. Melabur di dalam dana bersama berbanding di dalam dana individu boleh menjadi cara untuk mengurangkan beberapa risiko seperi di bawah;

1. Risiko ekonomi

Risko ini merujuk kepada kestabilan ekonomi sesebuah negara. Negara yang mempunyai kewangan yang stabil dan ekonomi yang kuat cenderung memberikan persekitaran pelaburan yang lebih dipercayai berbanding negara yang mempunyai kewangan yang lemah.

2. Risiko politik

Ini merujuk kepada keadaan politik di sesebuah negara dan bagaimana keadaan itu dapat mengakibatkan kerugian tidak dijangka kepada para pelabur. Kadangkala, risiko politik dinyatakan sebagai kemampuan sesebuah negara untuk mengekalkan keadaan yang selamat untuk pelaburan luar. Walaupun keadaan ekonomi negara tersebut kuat, keadaan politik yang tidak selamat kepada pelabur luar boleh membawa risiko lebih besar kepada pelabur luar.

3. Turun naik nilai mata wang atau kadar pertukaran

Kadar pertukaran matawang sesebuah negara dengan dolar AS sentiasa berubah-ubah. Ini boleh mempengaruhi nilai dolar sesebuah pelaburan, walaupun harga sekuriti tidak berubah. Dalam sesetengah kes, turun naik mata wang boleh menguntungkan anda. Sebagai contoh, pulangan saham global meningkat apabila nilai dolar jatuh berbanding mata wang negara yang anda buat pelaburan.

4. Kurang maklumat

Dalam kebanyakan kes, pasaran asing dan saham yang diterbitkan oleh syarikat asing tidak diikuti secara meluas oleh para penganalisis. Ini mengakibatkan para pelabur mungkin perlu membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mungkin tidak selengkap seperti mereka melabur di dalam saham Malaysia.

5. Kurang kecairan

Dalam sesetengah pasaran global, sekuriti didagangkan dengan frekuensi yang rendah. Pengurangan kecairan ini lebih menyukarkan anda untuk membeli dan menjual sekuriti tertentu, yang mana boleh sama ada meningkatkan keuntungan atau menambahkan kerugian sekiranya anda terpaksa menjual saham anda.

Kesimpulan

Terdapat banyak saham global di luar sana. Satu-satunya cara untuk anda mencari yang sesuai adalah dengan membuat kajian terlebih dahulu. Sama ada anda menggunakan kaedah broker luar atau tempatan, ianya amat penting untuk anda membuat kajian serta mengetahui tentang kelebihan serta risiko sesuatu saham global itu sebelum anda membuat pelaburan.

Anda sukakan artikel cara beli saham global ini? Jemput juga baca panduan saham apa itu saham dan buka akaun cds saham

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.