Begitu sinonim dengan ungkapan “Pelita Yang Tak Pernah Padam”, beliau merupakan seorang tokoh ilmuan yang begitu dikenali sehingga digelar seorang pendeta. Pendeta Za’ba memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa terulung negara semasa pemerintahan British walau mendapat tentangan. Beliau telah menulis begitu banyak buku Bahasa Melayu yang menjadi rujukan para pendidik dan juga pelajar. Jom kita kenali tokoh ilmuan Pendeta Za’ba yang telah banyak berjasa ini.

Latar Belakang

Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad telah dilahirkan pada tanggal 16 September 1895. Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan. Zaaba mempunyai tiga orang adik beradik dan merupakan anak sulung kepada pasangan Intan Awaluddin dan Ahmad Ibrahim.

Ibu Za’ba merupakan berketurunan Minangkabau Tanah Datar. Manakala bapanya pula berketurunan suku Bugis Linggi Kepulauau Riau. Bapa Za’ba merupakan seorang petani dan juga orang yang bertanggungjawab mengusahakan jalan – jalan kecil di sekitar Bahau dan juga Kuala Pilah.

Ahmad juga antara penduduk yang mahir menulis serta membaca. Malah, beliau sangat berpengetahuan dalam ilmu agama. Ibu Za’ba telah meninggal dunia ketika Zaaba berusia 12 tahun iaitu pada tahun 1907.

Ketika berusia lima tahun, Za’ba telah mula menulis pada dedaun pohon pisang. Semangatnya itu telah menarik perhatian bapanya dan bapanya telah membelikan beliau papan tulis. Za’ba menjadi lebih bersemangat tatkala menerima papan tulis tersebut dan telah mendorong beliau menajamkan kemahiran menulisnya.

Pada ketika usianya yang masih muda, Za’ba juga telah mempelajari Al-Quran sebagai panduan hidup. Kepintarannya telah memudahkan beliau mengkhatam senaskah Al-Quran pada usia tujuh tahun.

Imej via sentiasapanas

Pendidikan

Za’ba telah mendapat pendidikan awal di sebuah Sekolah Melayu Batu Kikir di Linggi, Negeri Sembilan pada usia 12 tahun. Beliau merupakan pelajar yang bijak membaca, menulis rumi dan jawi. Justeru, Za’ba telah ditempatkan di kelas darjah tiga kerana kepintarannya.

Pada tahun 1909, bapa beliau telah menghantar ke Sekolah Melayu Linggi bagi mempelajari pengajian Arab serta ilmu fekah. Bapa Za’ba ingin beliau menjadi seorang ulama, namun Za’ba mempunyai minatnya tersendiri.

Za’ba telah menyambung pengajian di Institusi St Paul, Seremban pada tahun 1910 dan beliau merupakan pelajar Melayu pertama yang menduduki peperiksaan Senior Cambridge serta lulus peperiksaan tersebut pada tahun 1915. Semasa sedang menjadi pensyarah bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies, Universiti London, Za’ba telah berpeluang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah.

Pada tahun 1953, Za’ba telah berjaya meraih Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu dan Bahasa Arab.

Kerjaya

Za’ba bermula sebagai guru sandaran di English College, Johor Bahru pada pada tahun 1916. Beliau kemudiannya telah bertukar kepada beberapa buah sekolah lain iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (1918), Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur (1923), Kolej Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim (1924), Jabatan Maklumat Singapura (1939-1942), Pusat Pengajian Kajian Timur dan Afrika, Universiti London (1942-1951) dan Universiti Malaya, Singapura (1954 – 1959).

Semasa menjadi guru sandaran pada tahun 1916, Za’ba mula serius dalam bidang penulisan. Beliau mula menulis rencana bertajuk ‘Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling’.

Rencananya ini telah diterbit sebanyak dua kali oleh Utusan Melayu. Za’ba begitu mahir menggabungkan pelbagai aspek penulisan dari segi Bahasa, kesusasteraan, ekonomi, politik, agama dan juga pendidikan semasa menulis.

Za’ba telah menggabungkan tatabahasa Bahasa Inggeris dan juga Arab ke dalam Bahasa Melayu. Malah, ianya turut digunakan dalam penerbitan teks buku sekolah dan juga bahan  bacaan umum. Ini merupakan salah satu usahanya semasa sedang berkhidmat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Semasa Majalah Guru dan Al Ikhwan diterbitkan, Za’ba turut menulis di kedua – dua majalah ini sehingga tahun 1931. Za’ba terus menulis sehingga berjaya menerbitkan rencana bercorak agama ke dalam sebuah buku berjudul Umbi Kemajuan pada tahun 1932.

Beliau juga telah menghasilkan sebuah kitab berjudul Pelita Bahasa Melayu sebagai rujukan kepada masyarakat yang ingin mempelajari serta mendalami Bahasa Melayu. Sebuah buku tatabahasa berjudul Ilmu Mengarang Melayu juga berjaya dihasilkan. Kedua buah buku ini telah dijadikan sebagai buku teks sekolah sehingga selepas Perang Dunia Kedua.

Antara karya penting yang dihasilkan adalah Daftar Ejaan Jawi / Rumi. Selain itu, beliau juga telah menulis Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society (JAMBRAS) sebagai salah satu usaha memperkenalkan bahasa Melayu kepada orang asing.

Penulisan Za’ba tidak hanya tertumpu kepada persuratan Melayu sahaja. Namun, ia turut merangkumi bidang ekonomi, agama serta sikap orang Melayu. Ketegasan Za’ba dalam penulisan jelas kelihatan tatkala beliau menulis tentang kemiskinan dan menyentuh mengenai cara mengatasi ekonomi masyarakat Melayu ketika itu.

Imej via ummemory

Pada tahun 1937, Za’ba pernah dilantik menjadi Penasihat Umum bagi Persaudaraan Sahabat Pena Malaya. Beliau turut dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Melayu Selangor pada tahun 1945.

Pada tahun 1945, Za’ba telah membawa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur setelah tentera Jepun menyerah kalah. Pada ketika itu, tentera British telah datang semula ke Tanah Melayu. Justeru, Malayan Union telah ditubuhkan dan ianya mendapat tentangan hebat dari pemimpin Melayu.

Dato’ Onn Jaafar telah mengetuai penentangan tersebut dan telah menubuhkan UMNO sebagai usaha menyatukan perpaduan di kalangan bangsa Melayu. Pada ketika itu, Zaaba telah dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO pertama. Walau bagaimana pun, Za’ba tidak menjawat jawatan tersebut untuk tempoh yang lama kerana beliau lebih berminat terhadap bidang penulisan Bahasa Melayu.

Za’ba yang begitu meminati bidang penulisan gemar membaca serta berbakat dalam penulisan. Beliau sering menghasilkan karya dan ianya disiarkan di akhbar serta majalah tempatan termasuklah Utusan Melayu, Pakar Majalah, Pangasuh dan juga Lembaga Melayu.

Selain itu, Za’ba turut menghasilkan penulisan lain bertajuk Cerita – cerita Shakespeare yang diterbitkan oleh Percetakan Gudang Chap di Singapura. Buku ini menghimpun karya terpilih maha karyawan William Shakespeare yang telah diterjermahkan sendiri oleh Za’ba dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

Za’ba telah dilantik menjadi pensyarah senior di Jabatan Pengajian Melayu pada tahun 1953. Pertubuhan Bahasa Pelajar dan Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya telah ditubuhkan oleh Zaaba bersama Ungku Aziz.

Anugerah dan Penghargaan

Za’ba telah diberi gelaran ‘Pendeta Bahasa Melayu’ pada tahun 1956 secara rasminya semasa majlis Kongres Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru. Penghargaan ini diberikan atas usaha yang dicurahkan oleh beliau bagi meletakkan Bahasa Melayu di puncak persada seantero dunia. Malah, pihak Universiti Malaya juga telah menganugerahi Za’ba dengan Doktor Persuratan pada tahun 1959 atas hasil usaha penulisan beliau.

Za’ba pernah menolak anugerah bintang penghormatan Pingat Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Dato’ dan juga bintang  kebesaran dari negara Brunei Darussalam. Beliau akhirnya bersetuju menerima Pingat Bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong pada tahun 1962.

Za’ba telah memperoleh Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada tahun 1973 semasa majlis konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Za’ba telah menggunakan nama pena Pendeta, Anak Melayu Jati, Patriot dan Zai Penjelmaan dalam karyanya.

Sumbangan

Sumbangan Za’ba dalam bidang penulisan sangat besar ertinya. Beliau antara individu yang bertanggungjawab merancang kurikulum sekolah, menjadi penterjemah dan juga pensyarah. Za’ba juga turut bertanggungjawab menulis buku yang boleh digunakan di Malaya ketika itu dan juga Sumatera.

Za’ba menjadi sumber ilham dalam dunia pendidikan Melayu dan Arab. Beliau ibarat pelita yang menerangi kegelapan kemiskinan dunia pendidikan orang-orang Melayu pada ketika itu.

Senarai Penulisan Karya Za’ba

  • Temasya Mandi Safar di Tanjung Kling
  • Ilmu Bahasa Melayu (1926)
  • Rahsia Ejaan Jawi (1929)
  • Umbi Kemajuan (1932)
  • Falsafah Takdir (1932)
  • Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934)
  • Pelita Mengarang: Ilmu Mengarang Melayu (1934)
  • Daftar Ejaan Melayu: Jawa-Rumi (1938)
  • Siri Pelita Bahasa Melayu, Jilid I (1940), Jilid II (1946), Jilid III (1949)
  • Asuhan Budi Menerusi Islam (1958)

Kesimpulan

Pendeta Za’ba bermula dari seorang budak kampung sahaja sebelum berjaya menjadi tokoh terkemuka dalam Sejarah Malaysia. Beliau antara tokoh cendekiawan Melayu yang sering menjadi sebutan sehingga hari ini kerana karya penulisannya. Negara sangat terkesan dengan kehilangannya apabila beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 23 Oktober 1973 pada usia 78 tahun.

Biarpun Pendeta Za’ba telah tiada, namun karyanya masih tetap tersimpan sehingga ke hari ini untuk rujukan generasi akan datang kerana sumbangan beliau terhadap ilmu Bahasa Melayu tidak ternilai harganya.

Jemput baca biodata Nicol Ann David dan biodata Robert Kuok

Rujukan

Copy

Penulis: Itawrah

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.