Sejarah permulaan ekonomi Islam bermula dengan diangkatnya Rasulullah S.A.W sebagai seorang nabi. Sejak dari itu, Rasulullah telah memimpin Islam dan umatnya dengan berbagai bidang dan kemahiran yang seterusnya disambung dan diikuti oleh para sahabat, para tabi’ dan para tabi’in. Bidang dan kemahiran ini juga melibatkan ekonomi yang mana secara automatiknya melahirkan tokoh-tokoh ekonomi Islam selepas kewafatan baginda Rasulullah S.A.W.

Jom ketahui ahli ekonomi Islam yang power dan patut kita kenali.

Tokoh-tokoh ini terbukti mempunyai jasa dan pengorbanan yang tersendiri kepada ummah Islam khususnya dalam konteks mewujudkan sistem ekonomi Islam untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup masyarakat Islam di seluruh dunia.

Tahukah anda ada ramai tokoh-tokoh yang hebat dalam ekonomi Islam. Mungkin ada di antara anda semua pernah mendengar nama-nama mereka tetapi tidak pernah terlintas di fikiran anda bahawa mereka juga merupakan tokoh-tokoh ekonomi Islam.

Oleh itu, kali ini penulis ingin meneruskan perkongsian tentang tokoh-tokoh ekonomi Islam dengan berkongsi kepada anda semua dengan beberapa orang tokoh terkemuka lagi. Semoga perkongsian ini akan menambah ilmu pengetahuan kita semua.

Ibn Khaldun (732-808 H / 1332-1404 M)

Abdul Rahman Abu Zaid Waliddin Bin Khaldun al-Maliki al-Khadrami dilahirkan di Tunisia dan meninggal dunia di Kaherah, Mesir. Beliau digelar Ibn Khaldun bersempena dengan tempat kelahiran beliau iaitu di kawasan khalduniah, Tunisia.

Beliau merupakan seorang tokoh yang hebat lahir dari kalangan golongan atasan. Beliau sering disebut-sebut sebagai tokoh intelektual paling terkemuka di dunia. Bukan sahaja dalam bidang sosiologi malahan dalam bidang ekonomi. Beliau juga pernah berkhidmat kepada kerajaan Sepanyol Islam di Seville sebagai setiausaha kerajaan dan juga sebagai hakim.

Karya-karya beliau seperti Muqaddimah, al-Ibar dan Ta’rif Ibn Khaldun telah menjadi ensiklopedia yang lengkap untuk dijadikan sebagai rujukan.  Dalam Muqaddimah, beliau mendapati wujudnya pertalian di antara ekonomi, politik, sosial, etika dan pendidikan sebagai aspek-aspek tamadun yang mempengaruhi kehidupan manusia.

Justeru itu beliau turut membicarakan konsep asas ekonomi seperti teori dan ukuran nilai ditentukan oleh penerimaan manusia, pembentukan modal, meminimumkan cukai ke atas rakyat dan meningkatkan perbelanjaan awam dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan meluaskan manfaat kewangan negara, kadar gaji atau upah boleh mempengaruhi ekonomi cergas ataupun tidak,  pembahagian buruh mengikut kemahiran, sistem harga ditentukan oleh teori permintaan dan penawaran, hukum permintaan dan penawaran yang dinamik, penggunaan dan pengeluaran, negara yang besar pengeluarannya dan melaksanakan hubungan perdagangan antarabangsa adalah lebih maju, pertumbuhan penduduk meningkatkan pengeluaran dan permintaan, kemajuan membawa kepada permintaan dan sebagainya.

Ibn Khaldun boleh dianggap sebagai perintis kepada tokoh-tokoh perdagangan kerana pandangannya tentang kepentingan emas dan perak. Beliau juga berpendapat wujudnya kaitan di antara perkembangan ekonomi dan kestabilan politik, pasaran bebas dapat memastikan pembahagian yang adil dan saksama tanpa menafikan perlunya campur tangan kerajaan.

Mengenai tenaga manusia, beliau menekankan faktor buruh dalam teori nilainya dan kepentingan modal intelektual. Beliau membincangkan tentang kebaikan dan keperluan pembahagian buruh sebelum dibincangkan oleh David Ricardo.

Beliau juga telah menjelaskan teori kependudukan sebelum Thomas Malthus. Ibnu Khaldun juga mendahului Adam Smith dalam pelbagai bidang dan perkara dan boleh dianggap sebagai guru kepada Pirre-Joseph Proundhon, Karl Marx dan Friedrich Engels. Oleh itu, berdasarkan kepada beberapa perkara di atas, Ibn Khaldun memang selayaknya digelar sebagai ahli ekonomi Islam yang terulung dan bapa sains ekonomi.

Imej via iLabur

Imam al-Ghazali (451-505 H / 1055-1111 M)

Abu Hamid Ibn Muhammad lahir di Khorman, Iran. Beliau pernah menjadi Profesor di Universiti Nizamiyah, Baghdad dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama, falsafah dan sufi. Imam Ghazali menekankan tentang penyatuan ilmu dan amal dan sentiasa mendorong masyarakat supaya mengkaji al-Quran dan al-Sunnah, juga sangat kritikal terhadap keadaan moral dan agama masyarakat serta mengkritik pemisahan urusan dunia daripada amalan akhirat.

Melalui karyanya Ihya’ Ulumuddin beliau membincangkan secara menyeluruh tentang hal-hal ibadat, muamalat, perkahwinan dan jenayah. Melalui kitab al-Mustasfa, Mizan al-Amal dan al-Tibr al-Masbuk Fi-Nasihat al-Muluk, beliau menghuraikan tentang wang dan fungsi wang sebagai alat pertukaran dan penentu nilai serta kesan riba al-fadl iaitu jual beli atau pertukaran antara dua barangan berunsur riba yang sama jenis dengan berbeza kadar berat (jika dijual dengan timbang) atau kuantiti (jika dijual secara bilangan kuantiti) dan penyorokan harta terhadap ekonomi, kerajaan patut memungut cukai tambahan ketika perlu sahaja bagi memastikan rakyat tidak dibebani sesuatu yang mereka tidak mampu.

Beliau juga mengkritik sifat sambil lewa dan malas bekerja kerana aktiviti ekonomi adalah ibadah. Memenuhi keperluan hidup individu, keluarga dan membantu golongan yang memerlukan adalah perintah agama. Walau bagaimanapun menurut beliau keinginan untuk mendapatkan pendapatan atau untung yang lebih besar meskipun baik untuk masa hadapan namun ia merupakan suatu ujian bagi manusia. 

Mengenai teori harga, menurut al-Ghazali para petani terpaksa menjual hasil pertanian dengan harga rendah jika mereka tidak mendapat harga yang memuaskan menunjukkan pengetahuan beliau mengenai kuasa pasaran. Kerajaan boleh menggunakan harta Bait al-Mal bagi menampung kekurangan ataupun memberi pinjaman.

M. Umer Chapra (1933 M –  )

Muhammad Umer Chapra dilahirkan di Bombay, India. Beliau dibesarkan dalam keluarga yang taat kepada agama sehingga beliau membesar menjadi seorang individu yang mempunyai perwatakan yang baik. Beliau merupakan penasihat merangkap penyelidik Islamic Research and Training Institute (IRTI) di Islamic Development Bank, Jeddah. Beliau juga merupakan Penasihat Kanan Ekonomi, Saudi Arabian Monetary Agency (SAMA) selama 35 tahun. Di samping itu, beliau juga seorang pensyarah di University of Winsconsin dan University of Kentucky, Amerika Syarikat, Institute of Developments Economics, Pakistan dan Islamic Research Institute di Pakistan.

Beliau juga pakar dalam bidang agama, ekonomi Islam dan perbankan Islam. Beliau mencetuskan banyak idea baru dalam ekonomi Islam melalui penulisannya seperti Objectives of Islamic Economic Order, The Islamic Welfare State and Its Role in the Economy, Towards a Just Monetary System, Contribution to Islamic Economy Theory: A Study in Social Economics, Islam and the Economic Challenge, Islam and Economic Development dan sebagainya.

Chapra menjelaskan ekonomi Islam sebagai suatu bidang pengetahuan yang membantu merealisasikan kesejahteraan manusia melalui suatu peruntukan dan pengedaran sumber-sumber yang terhad seiring dengan maqasid, tanpa mengekang kebebasan individu,menciptakan ketidakseimbangan makro ekonomi yang berpanjangan, atau melemahkan perpaduan keluarga dan masyarakat serta rangkaian moral masyarakat.

Menurut beliau lagi, ekonomi Islam ditetapkan bertujuan untuk memelihara kepentingan umat manusia, kepentingan hidup tersebut berkembang mengikuti perkembangan dan dinamik kehidupan umat manusia, rumusan ekonomi berdasarkan apa yang dijelaskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, apabila berbicara tentang ekonomi, tumpuan kita akan secara automatik terarah kepada tokoh-tokoh hebat dari Barat sedangkan Islam mempunyai tokoh-tokoh ekonomi yang tidak kurang hebatnya bahkan mungkin lebih hebat daripada tokoh-tokoh yang sering diperkata atau diceritakan.

Oleh itu, harapan penulis supaya dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat dan menambah sedikit sebanyak pengetahuan para pembaca tentang kehebatan tokoh-tokoh ekonomi Islam yang mungkin tidak semua tahu tentang penglibatan tokoh-tokoh tersebut dalam ekonomi dunia.

Rujukan

 

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.