Penempatan FELDA biasanya di luar bandar yang memaparkan kehidupan luar bandar yang jauh dari hiruk-pikuk pencemaran bandar.

Kewujudan industri homestay atau rumah inap di kawasan FELDA banyak memberi keuntungan kepada warga FELDA sendiri.

Mari baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merupakan sebuah agensi kerajaan yang merancang penempatan semula golongan miskin luar bandar ke kawasan baru yang dibangunkan. Ia memberi tumpuan kepada pembukaan ladang-ladang pekebun kecil menanam tanaman tunaian seperti getah dan kelapa sawit.

Skim FELDA pada asasnya tertumpu kepada bumiputra, yang majoriti merupakan penduduk miskin (pada awal kemerdekaan). Penubuhan FELDA pada 01 Julai 1956 di bawah Akta Kemajuan Tanah telah dikuatkuasakan.

Dengan modal permulaan sebanyak RM10 juta, sehingga kini FELDA merupakan sebuah badan berkanun yang berjaya membawa perubahan ke atas pembangunan luar bandar dalam masa yang sama dapat membantu meningkatkan keluaran negara menerusi sumbangan utama kepada hasil komoditi utama minyak kelapa sawit dan penyenaraian FELDA Global Ventures Holding Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012.

Ia merupakan tawaran awam yang terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia yang menempatkan Malaysia dalam radar pelaburan global.

Pembangunan FELDA

Pencapaian yang telah dicapai oleh FELDA telah diiktiraf oleh Bank Dunia apabila berjaya memajukan penduduk desa melalui pembangunan tanah dan petempatan baru.

Keluasan tanah perladangan ini adalah yang terbesar di dunia dengan keluasan ladang seluas 811,140 hektar meliputi kawasan kelapa sawit di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kejayaan ini telah mendorong pembangunan program kemajuan tanah yang lain di peringkat wilayah seperti:

  • Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR)
  • Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH)
  • Lembaga Kemajuan Johor Tengah (KEJORA)
  • Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)
  • Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA)

Fokus utama penubuhan FELDA untuk meningkatkan pembangunan luar bandar dan seterusnya meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar melalui penempatan semula telah berjaya.

Aktiviti Pelancongan di Kawasan FELDA

Imej via iLabur

Antara aktiviti yang harus terus dibangunkan dalam kawasan tanah FELDA ini adalah pembangunan produk pelancongan. Ini kerana ada antara kawasan FELDA ini mempunyai tarikan pelancongan semulajadi yang menarik seperti sungai, mata air panas, air terjun dan sebagainya, selain dilengkapi dengan struktur kawasan petempatan peneroka yang berkelompok dan dilengkapi prasarana asas yang akan memudahkan pengurusan.

Ini merupakan peluang yang harus diekploitasi dan dibangunkan dikawasan tanah rancangan FELDA. Ia memberikan peluang yang baik kepada peneroka untuk terlibat sebagai alternatif untuk meningkatkan pendapatan.

Malah ia sejajar dengan matlamat kerajaan ingin meningkatkan pendapatan isi rumah seterusnya pendapatan negara dengan membangunkan kawasan luar bandar. Tanah rancangan FELDA tidak patut ketinggalan dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Industri Homestay

Imej via Malaysiatravel

Pembangunan homestay di Malaysia telah diiktiraf sebagai pemangkin kepada pembangunan masyarakat luar bandar. Menerusi program
homestay terdapat kesan nyata diperoleh komuniti yang terbahagi kepada kesan

  • ekonomi
  • sosial
  • infrastruktur
  • alam sekitar

Program homestay bukan sekadar program pelancongan desa, malahan sebagai satu strategi untuk pembangunan luar bandar yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam kalangan penduduk sekitar.

Pertumbuhan program homestay di Malaysia telah menyediakan peluang yang besar kepada masyarakat luar bandar dan menjadi penyokong kepada pembangunan sosio-ekonomi luar bandar.

Di Malaysia, pembangunan homestay ini telah bermula seawal tahun 1995 di Desa Murni Kerdau, Temerloh Pahang, yang merupakan cetusan homestay pertama. Bermula dari tarikh tersebut, bilangan homestay terus bertambah dan sehingga kini terdapat sejumlah 219 kluster homestay di Malaysia dengan jumlah pengusaha seramai 4025 pengusaha dan sejumlah 5650 bilik yang ditawarkan.

Menyedari kepentingan dan peluang ini, beberapa buah kawasan tanah rancangan FELDA yang sudah melibatkan diri dalam pembangunan pelancongan khususnya homestay.

Impak Pembangunan Homestay di FELDA

#1 Ekonomi

Penyertaan homestay dapat menambah pendapatan sampingan tanpa bergantung kepada pendapatan utama hasil tanaman kelapa sawit.

Peluang perniagaan dan pembangunan di FELDA akan menambahkan pendapatan melalui gaji dan bonus. Impak ini secara langsung dapat meningkatkan taraf hidup penduduk FELDA.

Kemudahan awam penting berjaya dipertingkatkan yang merupakan keperluan asas disebabkan kedudukan penempatan peneroka yang jauh daripada bandar. Hal ini dapat memberi keselesaan kepada mereka.

Penyertaan dalam homestay dapat membasmi kemiskinan dalam kalangan mereka selain dapat meningkatkan kuasa beli yang menyebabkan kualiti hidup yang lebih baik serta berkurangnya jurang pendapatan antara peserta dengan bukan peserta.

#2 Sosial

Penglibatan dalam homestay memberikan manfaat sosial kepada masyarakat setempat. Hubungan sosial dan perpaduan yang lebih erat antara keluarga dan masyarakat juga dapat digalakkan dan ini boleh menjamin kualiti hidup yang lebih baik, meningkatkan kerjasama antara masyarakat dan mewujudkan masyarakat bertanggungjawab.

Dengan membangunnya homestay, pengusaha berkeyakinan ini berupaya mengurangkan jenayah dan gejala sosial kawasan kampung  kerana masyarakat lebih sibuk dan terikat dengan aktiviti harian daripada membuang masa dengan aktiviti kurang sihat.

Kemahiran berkomunikasi juga dapat dipertingkatkan apabila berinteraksi dengan pelancong yang berlainan latar belakang.

#3 Sosio-budaya

Dengan membangunkan homestay, pelbagai aktiviti kebudayaan tempatan, adat resam tradisional dan gaya hidup masyarakat dapat dikekalkan. Pemuliharaan kebudayaan amat perlu kerana berupaya menjadi tarikan yang membawa kepada kedatangan pelancong.

Pelancongan berasaskan warisan kebudayaan merupakan antara tarikan yang membawa kepada kedatangan pelancong ke negara membangun. Bagi Malaysia pula, jumlah kedatangan pelancong antarabangsa berasaskan warisan kebudayaan dianggarkan berjumlah 3.54 juta pada tahun 2016 dengan jumlah pendapatan pelancongan yang diterima adalah sebanyak RM10.865 bilion.

Nilai budaya amat penting dalam diri masyarakat kerana budaya tempatan dapat dikomersialkan bagi memenuhi permintaan pelancong.

#4 Alam Sekitar

Pembangunan homestay di kawasan FELDA telah meningkatkan imej dan pemandangan kampung, menggalakkan pemuliharaan alam
semulajadi, meningkatkan pengurusan sampah sarap, meningkatnya pembinaan lebih banyak taman dan rekreasi dan meningkatkan tahap kebersihan secara keseluruhan.

Kesimpulan

Pembangunan homestay dalam kalangan komuniti FELDA perlu diteruskan kerana faedah positif yang bakal diperolehi. Dengan penglibatan komuniti dalam pembangunan pelancongan memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam arus pembangunan ekonomi selain yang paling utama dapat memberi peluang meningkatkan pendapatan di samping beberapa faedah lain.

Dalam usaha memantapkan pembangunan, oleh sebab homestay ini dalam kawasan FELDA, tindakan memaju dan memperbaiki kelemahan dalam kalangan pengusaha homestay ini boleh dilakukan bersama. Sementara itu, sokongan kewangan dan pembangunan infrastruktur yang lebih lengkap, boleh disediakan oleh pihak FELDA dalam usaha menjayakan pembangunan produk pelancongan ini.

Rujukan

  1. Ibrahim, Y., & Razzaq, A. R. A. (2010). Homestay program and rural community development in Malaysia. Journal of Ritsumeikan Social Sciences and Humanities2(1), 7-24.
  2. Razzaq, A. R. A., Hadi, M. Y., Mustafa, M. Z., Hamzah, A., Khalifah, Z., & Mohamad, N. H. (2011). Local community participation in homestay program development in Malaysia. Journal of Modern Accounting and Auditing7(12), 1418.
  3. Salleh, N. H. M., & Samad, S. (2018). Impak Pembangunan Homestay dalam kalangan Komuniti Rancangan Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia52(2).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.