Jom baca artikel ini yang akan membincangkan mengenai industri hallyu atau gelombang Korea yang menyebarkan budaya muzik dan drama Korea Selatan ke seluruh dunia.

Daripada sini, industri hiburan kita boleh mencontohi cara kerja mereka untuk sama-sama membangunkan dan mengembangkan lagi hala tuju industri hiburan Malaysia sekali gus menambah pendapatan ekonomi sendiri dan mungkin boleh dikesport ke negara luar.

Juga, bagaimana kedatangan ‘K-pop’ ini dikatakan boleh menjana ekonomi negara Malaysia?

Pengenalan

Jika dahulu filem dan muzik dari Amerika Syarikat melalui industri hiburan di Hollywood dilihat sebagai sumber hiburan yang terbaik, tetapi kini masyarakat dunia mempunyai pilihan untuk mendapatkan hiburan alternatif dari pelbagai genre dan budaya.

Fenomena ini telah mencetuskan ilham kepada Korea Selatan untuk menjual budaya mereka sebagai pakej komoditi yang menguntungkan melalui Hallyu.

Apa Itu Hallyu?

Imej via iLabur

Korea adalah sebuah negara yang memupuk pembentukan jati diri, pengukuhan bahasa dan budaya kebangsaan. Rancangan hala tuju pemerkasaan bahasa dan budaya mereka telah melahirkan Hallyu.

Hallyu atau Korean Wave (Gelombang Korea) adalah istilah yang diberikan untuk menyebarkan budaya pop Korea (K-Pop dan drama) ke serata dunia dengan medium utamanya iaitu dalam bahasa korea sendiri.

Kejayaan pertama Hallyu adalah apabila drama bersiri Winter Sonata pada tahun 2002 telah diterima dengan baik di Jepun, Cina, Taiwan dan termasuklah Malaysia. Sejak itu, istilah Hallyu atau “demam Korea: telah muncul terutamanya pada tahun 2007 dengan kumpulan nyanyian Wonder Girls menerusi lagu Nobody

Budaya popular Korea menggabungkan secara kreatif nilai barat dan Asia demi menghasilkan satu corak budaya Korea yang menjadi model budaya dan ekonomi terkemuka untuk diikuti dan diminati.

Pengaruh Faktor Ekonomi Korea

Faktor ekonomi telah berjaya menjadikan Korea sebagai negara pengeksport budaya yang berjaya. Arus globalisasi yang mendedahkan pengaruh media bermula 1990 telah menyaksikan televisyen berkabel dan penggunaan
internet secara bebas membantu menjayakan projek Hallyu ini.

Ini ditambah pula dengan krisis ekonomi di Asia. Dengan berlakunya krisis ekonomi di Asia, gelombang Korea telah berjaya membuka persepsi masyarakat Taiwan terhadap hasil seni budaya popular dari Korea. Dahulunya, Taiwan hanya melanggan drama dan muzik dari Jepun, China dan Hong Kong.

Dengan adanya saluran televisyen berkabel telah turut mengubah persepsi masyarakat dunia bahawa  drama dan filem boleh dinikmati dari segenapa pelusuk dunia.

Kini, masyarakat dunia boleh menonton apa sahaja rancangan televisyen terbitan dunia selain Amerika atau negara tertentu.

Strategi Pasaran Korea

Faktor harga drama Korea yang jauh lebih murah dari drama Jepun dan Hong Kong turut membantu menyebarkan Hallyu. Harga drama Korea hanyalah 1/4 daripada harga drama Jepun dan 1/10 daripada harga drama Hong Kong.

Pendapatan eksport drama Korea pula dilaporkan meningkat dari $12.7 juta pada tahun 1999 kepada $37.5 juta pada tahun 2004.

Selain itu, penampilan artis Korea turut memberikan kesan yang amat positif kepada budaya pembeli termasuk dari segi makanan, fesyen, alat solek dan penjagaan kulit, malah pembedahan plastik.

Kesannya, jumlah pelancong melawat Korea juga meningkat dengan banyaknya. Jumlah pelancong Taiwan misalnya meningkat sebanyak 50% dari sebelum Hallyu melanda negara tersebut.

Seterusnya, faktor nilai kekeluargaan yang terkandung dalam drama Korea turut membantu Hallyu. Mesej yang
sarat dengan nilai kekeluargaan telah membuka minda masyarakat Asia Timur mengenai budaya popular Korea.

Pada masa yang sama, makanan (hansik), pakaian (hanbok), bahasa (hangul) turut mendapat tempat di negara Asia yang lain.

Industri Muzik Korea

Muzik Korea (K-pop) jelas menggambarkan keyakinan diri rakyat Korea dengan menampilkan imej maskulin atau seksi dengan jayanya ditambah rupa paras yang kacak dan jelita. Ada yang menganggap artis k-pop ini sebagai berwajah comel dan “jambu”!

Kejayaan muzik pop Korea (K-Pop) menduduki tangga di bawah 100 di Amerika Syarikat membuktikan muzik mereka diterima oleh masyarakat antarabangsa.

Evolusi Ekonomi Korea Melalui Hallyu

Secara keseluruhannya, imej Korea Selatan telah bertukar dari negara mundur, tanah bumi yang gersang, cuaca sejuk ekstrim yang panjang, miskin dan selalu berkonflik dengan Korea Utara, kepada negara yang sangat pesat membangun.

Korea Selatan bukan sahaja dapat menambah pendapatan melalui hasil automobil dan industri elektronik, tetapi juga melalui komoditi budaya mereka melalui Hallyu.

Bagaimana K-Pop Membantu Ekonomi Malaysia?

Imej via Instagram

Pada tahun lepas, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumukan bahawa pihak mereka sedang dalam usaha untuk membawa kumpulan K-Pop terkenal BTS bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Cukup sahaja dengan mendengar perkataan BTS, kumpulan tersohor yang mempunyai jumlah pengikut seramai hampir 36 juta pengikut di ruang media sosial ini pastinya memberikan gambaran yang positif bukan sahaja golongan remaja malah dari setiap peringkat umur.

Menurut Institut Penyelidikan Hyundai, BTS dijadikan sebagai aset ekonomi yang bernilai. Kira-kira 800,000 pelancong dipercayai telah memilih Korea Selatan sebagai destinasi mereka pada 2017 kerana BTS.

Jika BTS mengekalkan popularitinya, mereka dijangka menjana nilai ekonomi 41.8 trilion won (RM202 billion) dalam tempoh 10 tahun akan datang, tambah mereka lagi.

Ini merupakan salah satu contoh tarikan peminat yang dimiliki oleh artis K-Pop yang semestinya, para peminat mereka dari seluruh dunia, tidak berfikir panjang untuk memberi sokongan di mana-mana sahaja konsert dan persembahan mereka.

Bayangkan, terdapat berpuluh-puluh lagi selebriti Korea yang mempunyai “aura” sebegini.

Sektor Pelancongan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerangkan bahawa dengan menjemput artis popular dari luar negara, dapat menjana ekonomi negara terutama dari sektor perlancongan kerana peminat di negara jiran turut akan sama-sama hadir untuk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka.

Sebagai contoh apabila kumpulan BTS dan Coldplay membuat persembahan di Singapura, tiket jualan habis dijual dalam masa empat jam. Ramai peminat dari seluruh negara datang ke Singapura semata-mata untuk menyaksikan konsert tersebut.

Ekonomi Sampingan

Beliau turut memberi contoh Stadium Wembley di England yang sering disewakan untuk mengadakan konsert besar-besaran yang mampu mendatangkan keuntungan selain dari hanya tertumpu dalam aktviti sukan.

Sebelum ini, apabila artis antarabangsa Ed Sheran membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil, peminat membanjiri stadium tersebut. Hal ini telah memberi keuntungan kepada pihak stadium dan peniaga-peniaga kecil.

Hasil kajian beliau dan kementerian juga mendapati bahawa impak terhadap membuat konsert artis luar di negara mampu menjana peningkatan terhadap ekonomi sesebuah negara secara amnya.

Kesimpulan

Dalam Hallyu, drama dan lagu-lagu Korea yang menggunakan bahasa Korea sepenuhnya tidak menjadi penghalang untuk menembusi pasaran antarabangsa. Perkara yang penting ialah nilai positif, mesej dan kualiti tinggi yang setaraf antarabangsa.

Sekiranya Malaysia berhasrat melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa, faktor jati diri boleh diambil kira. Jadikan juga bahasa Melayu sebagai salah satu pakej daya penarik pelancong untuk ke Malaysia.

Rujukan

  1. https://ohbulan.com/ditegur-selebriti-tempatan-sebab-nak-bawa-bts-ke-malaysia-ini-respon-syed-saddiq/
  2. http://www.astroawani.com/berita-dunia/jangan-hanya-lihat-bts-sebagai-artis-popular-206421
  3. Jalaluddin, N. H., & Ahmad, Z. (2011). Hallyu di Malaysia: Kajian sosiobudaya. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication, 27(2).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.