Anda pernah lihat iklan pelakon popular Neelofa di Televisyen yang mempromosikan AHB? Haa jangan tak tahu pulak yer bahawa kita sebagai golongan bumiputera ni telah diberi keistimewaan bantuan untuk melabur dalam hartanah.
Kalau nak harap kita beli asset hartanah sendiri, entah bila lah yer memandangkan harga asset sekarang telah naik meninggi. Jadi, dengan adanya AHB ini, kita boleh turut serta melabur dengan harga minimum yang tak sampai ribuan ringgit pun. Best kan?
Sebelum nak melabur tu, kita kena lah tahu terlebih dahulu apakah AHB itu. Dah jelas semua, barulah kita lebih yakin untuk melabur ke dalam AHB ini.
Secara ringkasnya, AHB ditubuhkan oleh Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan diuruskan oleh Maybank Asset Management Sdn Bhd manakala pemegang amanah bagi AHB adalah AmanahRaya Trustees Berhad. AHB merupakan salah satu bentuk dana unit amanah (unit trust) yang patuh Shariah di mana dana tersebut dilaburkan untuk pembangunan hartanah komersial di serata Malaysia terutamanya di kawasan-kawasan utama seperti Lembah Klang.
Dana ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada golongan pelabur di kalangan bumiputera untuk melabur dalam perusahaan hartanah komersial tersebut menerusi dana unit amanah AHB sebagai pemegang unit saham. Sebagaimana pelaburan ASB, pelaburan AHB juga menawarkan harga tetap iaitu RM1.00 per unit untuk jumlah dana sebanyak 1 billion unit. Pada tahun 2017, dana ini telah bertambah kepada 4 billion unit.
Nak melabur ke dalam AHB ni mudah sahaja. Anda hanya perlu pergi ke mana-mana cawangan Maybank atau Ambank untuk membuka akaun AHB di sana. Jumlah minimum untuk pelaburan ini adalah hanya sebanyak RM100. Konsepnya mudah, lagi banyak anda labur, lagi banyak pulangan yang bakal anda dapat.
Bagi yang kesuntukan wang dan berhajat untuk melabur, anda juga boleh menggunakan wang KWSP untuk pelaburan AHB ini. Namun, jumlah minimum bagi pelaburan AHB dari KWSP adalah sebanyak RM1000.
Buat pengetahuan anda, terdapat dua jenis akaun iaitu Akaun Dewasa dan Akaun Remaja yang berumur kurang dari 18 tahun. Maksudnya kat sini, bukan kita sahaja yang boleh melabur, tapi anak-anak kita yang masih kecil juga layak untuk melabur. Wah kecil-kecil pun dah mula melabur. Dah besar nanti senang lah!
Dah pergi ke bank tu, jangan lah pula lupa untuk membawa dokumen penting seperti kad pengenalan atau surat beranak anak yer. Dokumen terpenting ini WAJIB ada, kalau tak ada tak dapat lah nak melabur.
Kalau dah Neelofa pun melabur ke dalam AHB, mestilah ada banyak kelebihannya. Antara kelebihan melabur ke dalam AHB adalah:
Seperti yang kita tahu, hartanah komersial mendatangkan pulangan yang lumayan buat si pelabur. Pelaburan AHB ini adalah di kawasan-kawasan utama seperti di bandar sekitar Lembah Klang yang sentiasa ada kemajuan pembangunan dan nilai asetnya sukar untuk jatuh.
Jadi, bayangkan jika semakin lama semakin maju, nilai asetnya semakin naik, ini akan menguntungkan bagi orang yang melabur ke dalam AHB.
Kita sebagai umat Islam amat penting untuk memilih pelaburan yang berlandaskan hukum syarak. InshaaAllah, pelaburan ini akan membawa keuntungan di dunia dan juga di akhirat keran dana ini telah diiktiraf sebagai skim pelaburan yang patuh shariah.
Dividen yang diperoleh dikecualikan cukai dan telah dibayar zakat yang sangat memudahkan urusan kita sebagai umat islam.
Ramai orang yang ragu-ragu apabila diajak untuk melabur kerana takutkan risiko kerugian. Dengan pelaburan AHB ini, anda tidak perlu ragu-ragu lagi kerana dana ini diuruskan oleh golongan yang professional dan cukup berpengalaman dalam mengendalikan isu hal ehwal pelaburan.
Hanya dengan jumlah minimum RM 100, anda sudah boleh membuka akaun pelaburan AHB. Manakala pelaburan ini hanya mengenakan yuran pengurusan dan pemegang amanah yang sangat rendah tanpa ada caj jualan, penebusan dan penukaran dikenakan ke atas pelabur.
Ramai yang takut untuk melabur jika berlaku sebarang masalah dan kerugian. Untuk dana AHB ini, anda tidak perlu khuatir kerana pelaburan ini dipantau ketat oleh pemegang amanah. Jika berlaku sbarang penindasan atau masalah, pihak ini akan melindungi hak anda sebagai pelabur.
Pelaburan AHB adalah pelaburan jangka masa panjang di mana dapat mendatangkan pulangan baik buat para pelabur. Salah satu objektif pelaburan AHB adalah untuk memberi pulangan yang stabil dan konsisten kepada para pelabur di samping mngekalkan modal pelaburan.
Oleh sebab itu, sasaran pulangan minimum bagi pelaburan AHB adalah sebanyak 6% setahun.
Meskipun pelaburan AHB ini sangat bagus, namun perlu diingatkan bahawa bilangan unitnya sangat terhad. Pelabur tidak dapat menambah dana pelaburan jika bilangan unit yang telah dikeluarkan telah habis.
Para pelabur dapat menambah dana pelaburan kembali hanya selepas diumumkan terdapat pertambahan bilangan unit yang baru. Jadi, anda perlu pantas untuk melabur dalam AHB ini ya!
Jika anda melabur ke dalam Tabung Haji atau ASB, pulangan yang anda dapat biasanya akan dilaburkan semula ke dalam dana. Namun, berbeza dengan AHB, segala pulangan yang diperoleh tidak dilabur semula ke dalam dana sebaliknya akan disalurkan terus ke dalam akaun bank pelabur.
Jadi, pulangan yang diperoleh tidak dimaksimumkan. Anda perlu berfikir untuk menyalurkan pulangan tersebut ke pelaburan lain pula untuk menikmati pulangan atas pulangan.
Seperti yang kita maklum, pelaburan ini hanya bersandarkan kepada hartanah semata-mata, jadi jika terdapat risiko atau masalah yang berlaku pada asset hartanah atau pasaran hartanah, pelaburan ini juga mungkin akan terjejas.
Setiap pelaburan ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tugas kita sebagai pelabur adalah untuk menyenaraikan segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap pelaburan agar kita dapat membuat pilihan yang tepat untuk melabur.
Jika anda ingin menambah asset kewangan anda, pelaburan adalah salah satu jalan terbaik berbanding anda hanya menyimpan wang simpanan anda ke dalam bank. Hanya memerlukan sedikit analisis dan pembacaan, InshaaAllah anda dapat membuat pilihan yang terbaik untuk masa depan anda.
Kami berharap agar artikel ini dapat memberi manfaat buat anda dan dapat membantu anda untuk membuat pilihan yang terbaik untuk pelaburan anda. Jangan lupa untuk LIKE dan SHARE artikel yang mengandungi info-info penting ini ya!