Apabila dunia semakin maju, semakin banyak inovasi teknologi yang dicipta bagi memudahkan urusan seharian.

Kini, sistem kewangan mengalami satu lagi revolusi cara pembayaran kaunter iaitu dengan kaedah bayaran nir tunai atau cashless yang tidak memerlukan anda membawa kepingan wang fizikal.

Sejauh mana konsep ini diterima oleh para pengguna? Adakah konsep ini praktikal dan sesuai untuk diteruskan dalam masyarakat khususnya di Malaysia?

Baca artikel ini untuk tahu lebih lanjut.

Pengenalan

Aplikasi pengkomputeran kini menjadi satu medium yang banyak memudahkan urusan manusia seharian terutamanya dengan wujudnya jaringan sejagat (worldwide-web) yang merupakan sistem menghubungkan hypertext dokumen melalui internet.

Kewujudannya yang bermula pada 28 Oktober 1969 telah banyak membantu dalam mengubah gaya hidup nyata kepada aplikasi atas talian pengguna. Sehingga akhir tahun 2019 sahaja, purata penduduk Malaysia yang menggunakan aplikasi internet berada pada 67% daripada populasi penduduk.

Kepesatan penembusan jalur lebar ini telah membolehkan bank komersil tempatan memperkenalkan perbankan eletronik di Malaysia pada pertengahan tahun 2000 sebagai medium transaksi kewangan yang baru.

Sistem e-perbankan diklasifikasikan sebagai penyampai automatik baru bagi produk bank tradisional dan perkhidmatan terus kepada pengguna melalui elektronik untuk mewujudkan rangkaian komunikasi yang lebih interaktif.

Model Baru Ekonomi

Model Baru Ekonomi (MBE) yang diwujudkan dalam memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 memberi penekanan aspek kreativiti dan inovasi menerusi jalur lebar.

Tujuan utamanya bagi menyokong industri untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa dan juga sebagai membentuk masyarakat Malaysia yang berinovasi dalam semua bidang.

Insentif sebegini juga mampu mewujudkan rakyat Malaysia yang celik teknologi terus meningkat dan lebih terdedah dengan perubahan dalam arus perbankan dalam negara.

Seterusnya memberi kesan dalam mewujudkan kecekapan pentadbiran dan memudahkan urusan pengguna.

Operasi Perniagaan Atas Talian

Imej via iLabur

Terdapat 6 kunci kualiti faktor analisis untuk pengguna menggunakan kaedah perbankan atas talian ini iaitu:

  1. kebolehpercayaan
  2. tindak balas
  3. capaian
  4. kemudahaan penggunaan
  5. minat
  6. keselamatan dan kredibiliti

Pelanggan internet lebih mementingkan kaedah pelbagai cara untuk menghubungi peniaga atas talian seperti alamat rumah, email, dan nombor telefon. Kemudahan penggunaan adalah berkaitan dengan ciri-ciri unik sistem atas talian iaitu:

  • mengekalkan laman web
  • penjual online hendaklah fokus
  • kemudahan capaian
  • mudah dikendalikan
  • struktur katalog yang baik dan mudah difahami terma dan syarat perkhidmatan diberi

Oleh itu, pengguna akan lebih tertarik untuk beralih kepada operasi perniagaan atas talian.

Kelebihan Perbankan Atas Talian dan e-bayaran

Imej via iLabur

Impak positif e-dagang

Peningkatan aplikasi perbankan atas talian, semakin meningkat sejak era 2000-an dan ia telah membawa banyak faedah terutama dalam e-dagang. Ia membantu mewujudkan:

  • pengurangan kos
  • peningkatan peluang perniagaan
  • mendorong penjimatan masa
  • menyediakan perkhidmatan persendirian dengan pelanggan

Sistem Perniagaan Negara

Kemudahan yang wujud mampu merancakkan sistem peruncitan, perniagaan dan perdagangan negara dengan agensi dalam dan luar negara. Oleh itu, sebagai sebuah negara yang menuju ke arah berpendapatan tinggi, proses inovasi dalam semua bentuk ekonomi negara harus diterima dan ia akan mampu membantu negara menjadi negara yang berdaya bersaing.

Ini termasuk perubahan produk baru atau perubahan dalam produk sedia ada yang mengalami penambahbaikan.

Langkah Pengurusan Hutang dan Kewangan

Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan paras hutang isi rumah daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sentiasa meningkat. Paras hutang isi rumah ini adalah melibatkan masalah pengurusan bil utiliti iaitu perbelanjaan isi rumah yang berisiko memudaratkan pengurusan kewangan isi rumah dan jika tidak diatasi,  berkecenderungan ke arah masalah kewangan isi rumah.

Masalah ini berpunca daripada pengurusan kewangan isi rumah yang tidak sistematik ditambah dengan kesibukan rakyat Malaysia bekerja. Oleh itu, kewujudan pembayaran elektronik ini diharapkan mampu menjadi platform pengurusan kewangan pengguna.

Praktikal

Kini, pembayaran melalui telefon bimbit sebagai medium pembayaran eletronik mula diperkenalkan kerana ia bukan sahaja mudah diakses tetapi situasi rakyat Malaysia yang merupakan pengguna telefon bimbit tertinggi dengan menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun. Ini membolehkan aplikasi e-pembayaran dipertingkatkan potensinya menjadi medium transaksi rakyat Malaysia secara menyeluruh.

Selain  itu, dengan galakan pihak kerajaan mempertingkatkan kadar komunikasi dan celik IT dalam negara membolehkan instrumen pembayaran ini dimajukan dan menjadi aktiviti harian rakyat Malaysia.

Tinjauan Sambutan Pengguna

Imej via iLabur

Shairil Izwan Taasim dan Hasnah Ali pada tahun 2103 ada membuat kajian tinjauan mengenai sambutan pengguna terhadap penggunaan e-bayaran ini.

Kajian mereka telah mendapati tahap penerimaan dalam e-pembayaran adalah tinggi (hampir 90% menyokong), namun penerimaan dalam menggantikannya sebagai kaunter maya berada pada tahap yang minimum.

Dapatan ini penting sebagai pengurusan kewangan pengguna dengan lebih sistematik dan seterusnya mampu menjadikan pengguna yang bijak dalam pengurusan kewangan.

Antara penemuan lain mereka ialah:

  • jantina tidak memberi kesan langsung dalam penerimaan teknologi
  • golongan berpendidikan tinggi lebih mengutamakan kaedah pembayaran atas talian berbanding golongan berpendidikan rendah
  • hubungan faktor manfaat dan kepercayaan pengguna terhadap e-perbankan adalah faktor utama penerimaan bagi menggunakan aplikasi teknologi perbankan

Kesimpulan

Kemudahan dalam penggunaan pembayaran elektronik memberi kesan yang baik kepada pengguna.

Dapat dirumuskan daripada kajian penerimaan pengguna terhadap e-pembayaran dipengaruhi apabila hubungan faktor manfaat dan kepercayaan mereka terhadap e-perbankan adalah faktor utama penerimaan bagi menggunakan aplikasi teknologi perbankan.

Penguasaan internet yang boleh dianggap sebagai pasaran atau gerai kepada penyedia pembayaran elektronik adalah wajar jika kiosk iaitu kaunter pembayaran maya adalah harus dipertingkatkan capaiannya bagi masa hadapan.

Situasi di Malaysia pada masa kini, mampu menjadikan pembayaran eletronik sebagai kaedah terbaik untuk menggantikan kaedah konvensional yang penuh dengan birokrasi disamping kesibukan rakyat Malaysia dalam pengurusan pembayaran.

Rujukan

  1. Mohamad, S. A., & Kassim, S. (2017). AN OVERVIEW OF E-PAYMENT ADOPTION AMONG MUSLIM MICRO-ENTREPRENEURS IN MALAYSIA. International Journal of Accounting2(5), 49-59.
  2. Rosly, R. M., & Khalid, F. (2018). Evaluation of the “e-Daftar” System Using the Technology Acceptance Model (TAM). Creative Education9(5), 675-686.
  3. Taasim, S. I., & Ali, H. (2013). Penerimaan pengguna terhadap kaedah pembayaran elektronik. Jurnal Ekonomi Malaysia47(1), 3-12.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.