Universiti merupakan tempat pendidikan tertiari yang menawarkan sijil pengijazahan bagi graduan mencari kerja dengan pendapatan yang selesa.

Pernah tak terlintas di fikiran, bagaimana agaknya, universiti mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara?

Memandangkan di setiap universiti terdapat ramai pakar yang tentunya mempunyai pelbagai buah fikiran yang bernas.

Tambahan pula, setiap universiti ini khususnya universiti awam telah menerima suntikan dana oleh kerajaan yang mencecah jutaan ringgit bagi menggerakkan institusi masing-masing.

Berikut merupakan antara kejayaan atau cadangan sumbangan universiti untuk membantu sektor ekonomi di Malaysia.

#1 Kerjasama dan kolaborasi antara industri-universiti

Imej via iLabur

Kerjasama antara universiti dan industri memberi banyak manfaat bagi kedua-dua pihak.

Kepakaran melalui penyelidikan saintifik di universiti boleh memajukan lagi sektor perindustrian dengan mencapai hasil yang optimum pada kos yang rendah, manakala universiti boleh memupuk budaya daya saing dan mempraktikkan teori.

Selain itu, antara manfaat lain yang boleh diperolehi melalui kerjasama ini ialah:

  • Universti mendapat dana tambahan dan akses kepada peralatan industri
  • Program pendidikan dan jaringan perhubungan yang berterusan
  • Penghasilan paten
  • Peningkatan teknologi menerusi kajian lapangan, pemindahan pejabat dan taman sains

#2 Menaik taraf tahap kewangan pelajar

Walaupun masih bergelar pelajar, kursus keusahawanan yang diajar di universiti dapat melatih mereka untuk bersedia berhadapan dengan alam pekerjaan, sambil menjana pendapatan sendiri bagi menampung kos kelangsungan hidup.

Pihak universiti boleh menyediakan tapak jualan atau pameran yang disertai oleh para pelajar menjual barangan atau perkhidmatan mereka, sama ada sebagai agen dropship mahupun perniagaan sendiri.

Hal ini akan membuka peluang kepada kemakmuran ekonomi yang bermula dengan aliran tunai yang sihat dari kelompok pelajar lagi.

Pujian harus diberikan kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMaP) yang baru-baru ini telah menubuhkan pusat ekonomi gig dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dengan cara ini, para pelajar dapat mencari wang poket tambahan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan pinjaman pendidikan sahaja.

#3 Penggubalan kursus

Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan oleh pihak universiti perlulah sentiasa disemak dan digubal bagi memenuhi permintaan pasaran kerja. Hal ini boleh mengelakkan isu pengangguran dalam kalangan graduan atau ketepuan bidang.

Pelbagai sektor baru yang boleh memberi jaminan pekerjaan yang cerah perlu diterokai oleh pengurusan universiti.

Contohnya, kepakaran teknologi robotik kini merupakan antara bidang yang menjanjikan bayaran tertinggi iaitu sekitar RM400 sejam.

Seiring dengan kepesatan teknologi, pekerjaan berasaskan analisis data, pengkomputeran dan teknologi maklumat akan sentiasa menjadi rebutan para majikan.

Universiti juga sebenarnya sedang berhadapan dengan cabaran pekerjaan masa depan yang mana, akan adanya peluang pekerjaan yang belum pernah wujud atau dicipta sebelum ini.

Dengan matlamat menghasilkan pelajar berminda digital, sistem pengajaran juga perlu sentiasa disemak untuk menyediakan para pelajar menjadi inovatif, cerdas dan tangkas dengan sebarang perubahan.

Namun begitu, pemantapan program sedia ada yang sama penting seperti pendidikan, kesihatan dan teknologi makanan perlulah seiring bagi menyeimbangkan keperluan pasaran.

#4 Penyelidikan bermanfaat

Malaysia mempunyai 5 universiti penyelidikan (Research University, RU) iaitu UM, UKM, UPM, USM dan UTM yang mempunyai tanggungjawab untuk fokus dalam menghasilkan penerbitan dan penyelidikan berimpak tinggi.

Universiti yang lain pula perlu turut sama membantu meningkatkan trend penyelidikan di negara kita, bukan hanya cepat berpuas hati dengan KPI masing-masing.

Penyelidikan ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dan industri untuk dijadikan panduan baru yang lebih sistematik, sama ada dalam bidang sains sosial mahupun sains dan teknologi.

#5 Tarikan pelajar asing

Imej via iLabur

Universiti di Malaysia perlu menampilkan imej dan kredibiliti yang cemerlang di mata dunia. Antaranya ialah dengan mempunyai kedudukan yang selesa di tangga universiti terbaik dunia.

Pendekatan yang boleh diambil untuk melonjakkan tempat dalam carta universiti terbaik di dunia ini ialah dengan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam:

  1. Penyelidikan berkelas dunia
  2. Pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang
  3. Infrastruktur dan kemudahan yang lengkap
  4. Graduan yang berjaya

Dengan setiap pendaftaran pelajar dari negara luar ke dalam universiti tempatan, hal ini boleh melonjakkan ekonomi negara.

Terutamanya apabila mereka tamat belajar di sini, mereka akan menjadi duta kecil mempromosikan universiti kita di tempat mereka untuk menarik lebih ramai lagi pelajar asing di negara kita.

Kemasukan pelajar asing ini boleh diibaratkan seperti kemasukan pelancong yang akan membelanjakan duit mereka di sini melalui bayaran yuran, kos kehidupan dan sebagai diversiti yang tentunya akan membantu pertumbuhan ekonomi kita.

Jika sebelum ini kita mempunyai terma medical tourism iaitu pelancong datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan di sini kerana kecemerlangan institusi perubatan kita,

kenapa tidak kita mantapkan juga universiti tempatan untuk menarik lagi pelajar asing ke negara kita melalui sistem ekonomi yang dipanggil k-ekonomi (knowledge economy) ini?

#6 Khidmat sosial dan kebajikan

Selain mengejar kemajuan penyelidikan dan sebagainya, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan perlu juga ditekankan bagi mewujudkan ekonomi yang harmoni.

Kepentingan ekonomi harmoni ini hanya dapat dilihat jika kita ingin menghapuskan sistem kapitalisme yang menunjukkan golongan kaya semakin kaya, yang miskin bertambah miskin.

Ramai yang tidak tahu bahawa perkhidmatan sosial dan aktiviti menyantuni masyarakat sebenarnya dapat memulihkan motivasi dan mentaliti pembangunan ekonomi masyarakat, baik yang susah mahupun mereka yang berada.

Universiti merupakan platform yang terbaik bagi menyebarkan kesedaran ini memandangkan institusi universiti merupakan salah satu institusi yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Capaian universiti-masyarakat ini juga dapat mendekatkan jurang ilmu dengan masyarakat. Di samping itu, masyarakat boleh mempraktikkan hasil penyelidikan yang dapat membantu menaiki taraf hidup mereka, daripada kajian tersebut hanya disimpan di dalam perpustakaan universiti sahaja.

Contohnya, kaedah pengurusan tanaman pertanian yang praktikal, penggunaan baka yang baik, teknologi pintar untuk kegunaan masyarakat dan sistem sokongan sosial.

Jemput juga baca artikel:

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.