Bagaimanakah sistem percukaian menurut Islam ya? Jom baca artikel ini yang akan menghuraikan sistem percukaian menurut perspektif Islam berdasarkan pendapat ilmuan Islam. Info lengkap cukai dalam Islam.

Pengenalan

Menurut Kamus Dewan, cukai didefinisikan sebagai pungutan berbentuk wang oleh kerajaan terhadap individu dan organisasi yang berkaitan dengan negara.

Hasil pungutan cukai ini akan digunakan sebagai dana untuk kegunaan negara bagi pelbagai tujuan untuk kemakmuran bersama.

Terdapat dua jenis cukai iaitu (1) cukai langsung dan (2) cukai tidak langsung.

Cukai langsung ialah cukai yang dikenakan ke atas pembayar cukai secara langsung atau terus. Beban cukai langsung ini tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Contohnya ialah cukai pendapatan milik individu yang dipotong berdasarkan pendapatannya.

Cukai tidak langsung pula ialah tanggungan beban cukai yang boleh dipindah oleh pembayar cukai kepada pihak ketiga atau penerima manfaat akhir terhadap barangan atau perkhidmatan itu. Contohnya cukai kastam dan cukai jualan.

Tujuan Cukai Dijalankan

Sistem percukaian adalah salah satu mekanisme untuk menjana kemakmuran ekonomi  dalam sesebuah negara yang telah diamalkan hampir seluruh negara di dunia dari zaman dulu hingga ke hari ini.

Dalam Islam, sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mengadakan dasar percukaian dalam memungut hasil kepada negara, asalkan dasar tersebut digubal menepati prinsip yang adil dan tidak membebankan individu rakyat. Hak ini adalah bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:

Maksud: “Sesungguhnya dalam harta seseorang terdapat tanggungjawab selebih daripada pembayaran zakat” (Riwayat At-Tirmidzi)

Jika sumber pendapatan negara tidak mencukupi, negara perlu memungut cukai daripada rakyat untuk membiayai kepentingan umum, dan kadar cukai negara boleh menaik atau menurun mengikut kemampuan rakyat.

Sejarah Percukaian dalam Islam

Jizyah

Pelaksanaan cukai telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW apabila cukai yang dikenali sebagai “jizyah” telah diperkenalkan pada ketika itu.

Jizyah ialah cukai kepala yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang menetap di bawah tempat pemerintahan kerajaan Islam.

Apabila mereka membayar cukai jizyah ini, mereka berhak untuk mendapat perlindungan dan penjagaan terhadap segala aspek sama ada harta, keluarga dan sebagainya, sebagaimana penduduk Islam yang lain.

Kharaj

Pada zaman pemerintaha Umar al-Khattab pula, beliau telah mewujudkan cukai tanah (kharaj), cukai perdagangan (ushur) dan lain-lain cukai yang kemudiannya dikembang serta diselaraskan agar dapat memberikan dana yang mencukupi bagi pembangunan negara.

Dalam konteks cukai tanah (kharaj), cukai ini dikenakan ke atas tanah-tanah yang dibuka oleh orang Islam secara peperangan.

Cukai kharaj mula dilaksanakan dengan meluas apabila Khalifah Umar al-Khattab beliau telah mengarahkan supaya tanah yang diperolehi daripada hasil peperangan tidak lagi dibahagikan kepada tentera yang berperang secara ghanimah (harta rampasan perang).

Sebaliknya tanah tersebut dijadikan wakaf bagi kepentingan orang-orang Islam dan bukan Islam.

Pendapat Ulama Berkenaan Cukai

Ulama mempunyai pendapat yang berbeza mengenai hal pelaksanaan cukai ini.

Mazhab Hanafi mengatakan tidak boleh manakala Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali membolehkannya, sekiranya ada maslahat (kebaikan) kepada masyarakat.

Ibn Hazim

Ketika membahaskan tentang permasalahan cukai, beliau tidak menggunakan perkataan cukai (dharibah) tetapi menggunakan perkataan yang sama erti dengan cukai.

Beliau telah menggunakan perkataan penetapan pemerintah dalam bentuk kewangan ke atas rakyat apabila berlaku sebab tertentu.

Imam Haramain al-Juwaini

Penetapan pembayaran cukai mengikut Imam al-Haramain al-Juwaini adalah berdasarkan oleh ijmak ulama yang menyebut bahawa menjadi kewajipan pemerintah dalam mempertahankan negara.

Maka apabila baitulmal tidak mampu menampung perbelanjaan ketenteraan, maka pemerintah boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan.

Imam al-Ghazali

Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustasfa, tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan adalah mencukupi.

Namun begitu, jika sekiranya unit ketenteraan Islam tidak memiliki wang yang cukup dan baitulmal tidak mampu menanggung perbelanjaan ketenteraan, maka harus kepada pemerintah mengenakan cukai kepada golongan yang kaya sekadar jumlah yang dapat menampung perbelanjaan ketenteraan.

Al-Shatibi

Mengikut al-Shatibi, pengambilan cukai menjadi keharusan apabila pemerintah itu seorang yang adil dan membelanjakan harta tersebut pada jalan yang diharuskan syarak.

 Ibn Khaldun

Mengikut Ibn Khaldun pula dalam karyanya al-Muqaddimah, beliau telah menggariskan dasar khusus dalam penggubalan percukaian sesebuah negara. Antara saranan yang dinyatakan beliau tentang dasar percukaian ialah:

“Apabila taksiran cukai dan kewajipan membayar cukai ke atas rakyat adalah sedikit, mereka mempunyai kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan sesuatu. Budaya keusahawanan menjadi berkembang dan meningkat, sebab pengenaan cukai yang rendah itu mendorong kepada suatu kepuasan hati.

Apabila budaya keusahawanan meningkat, jumlah kewajipan terhadap orang perseorangan dan taksiran cukai akan berlipat ganda. Sebagai akibatnya, hasil pendapatan cukai yang merupakan jumlah keseluruhan daripada (taksiran terhadap orang perseorangan) akan meningkat.”

Daripada pandangan Ibn Khaldun ini, antara yang ditekankan dalam isu percukaian ialah pembentukan cukai terhadap rakyat hendaklah pada kadar yang rendah kerana ia akan merangsang semangat keusahawanan dan jika jumlah cukai perlu ditingkatkan, maka ia hendaklah pada kadar yang minimum.

Selain itu, pemerintah juga perlu sentiasa berwaspada agar kemewahan yang mengakibatkan perbelanjaan negara meningkat perlu sentiasa dikawal.

Ulama Kontemporari

Bagi ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, dan Syeikh Mahmud Syaltut, mereka berpendapat harus pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur.

Hal ini bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pegawai-pegawai kerajaan dan penyediaan infrastuktur untuk kemudahan rakyat.

Penggubalan Sistem Cukai Menurut Ulama Islam

Berdasarkan pendapatr-pendapat yang tleah diutarakan oleh para ulama Islam, daapt disimpulkan bahawa terdapat 4 perkara yang menjadi penekanan ulama dalam penggubalan sistem percukaian, antaranya:

  1. Sistem percukaian hendaklah dibina pada asas keadilan dan merupakan salah satu tanggungjawab ke atas golongan kaya (berkemampuan)
  2. Cukai yang dikenakan hendaklah pada kadar minimum dan tidak membebankan rakyat
  3. Cukai hanya dipungut apabila pemerintah mendapati sumber pendapatan negara tidak mencukupi bagi menanggung pentadbiran negara
  4. Penetapan pembayaran cukai itu adalah bertujuan kegunaan yang diakui syarak

Perbelanjaan Hasil Kutipan Cukai

Para ulama telah bersepakat bahawa hasil cukai yang dipungut wajiblah dibelanjakan untuk kepentingan umum yang merangkumi hal-hal seperti berikut:

  1. Jihad (fisabilillah) -pendidikan rakyat, aktiviti kemakmuran, penerangan dan pemerkasaan Islam
  2. Kebajikan masyarakat – golongan yang kesempitan hidup, penyediaan tapak kediaman bagi golongan miskin dan kelainan upaya, bantuan pakaian, alat-alat bantu sekolah dan seumpamanya
  3. Maslahat (faedah) umum – melibatkan kepentingan dan keperluan masyarakat umum. Contohnya, pembinaan jambatan, jalan raya, wakaf, pos-pos keselamatan dan seumpamanya

Kesimpulan

Secara ringkasnya, cukai bukanlah suatu perkara yang dibebankan secara berterusan kepada rakyat dan bukan sesuatu yang fardhu (kewajipan).

Cukai tidak sama seperti zakat yang diwajibkan adalah secara berterusan dan dikeluarkan dengan kadar yang tetap pada setiap tahun.

Sebaliknya, cukai ialah satu pungutan yang diperlukan, selaras dengan kehendak dan keperluan semasa negara yang selari dengan konsep siyasah syari’yyah (politik dan peraturan) yang digariskan oleh Islam.

Percukaian merupakan perkara yang diharuskan bagi menampung keperluan dan pembangunan rakyat. Sesebuah negara memerlukan dana yang mencukupi bagi mewujudkan pentadbiran dan pengurusan negara yang baik dan lancar.

Rujukan

  1. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sistem_Percukaian_Dalam_Islam
  2. Nafiu, O. S. (2012). A Framework of Islamic Economics With Reference to Islamic Taxation and Allowable Expenditures. IIUM Law Journal, 20(2).
  3. https://www.facebook.com/notes/jabatan-kemajuan-islam-malaysia-jakim/konsep-percukaian-islam-satu-tinjauan-dari-sudut-pelaksanaan-cukai-barangan-dan-/745096618874243/
  4. Wahid, H., Ahmad, S., & Kader, R. A. (2009). Pengagihan zakat oleh institusi zakat di Malaysia: Mengapa masyarakat Islam tidak berpuas hati?. Jurnal Syariah, 17(1), 89-112.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.