Selepas tamat belajar, kita akan mula memasuki dunia yang nyata iaitu alam pekerjaan. Di situ, kita akan lihat bagaimana kita menguruskan kewangan dengan sendiri tanpa bantuan ibu bapa dan keluarga kita. Semasa zaman belajar, ibu bapa kita yang tolong kita dalam menguruskan perbelanjaan makan minum, pakaian dan duit untuk kita berbelanja.

Setelah memasuki alam pekerjaan, kita tidak boleh bergantung harap lagi kepada ibu bapa kita. Kita perlu belajar berdikari dan cara uruskan wang tersendiri. Masa inilah kita perlu tunjukkan kepada ibu bapa kita bahawa kita sudah cukup dewasa untuk menguruskan diri sendiri.

Selain itu, semestinya kita ingin meringakan beban ibu bapa kita. Bagi pelajar yang belajar sambil bekerja ‘part-time’ mereka mungkin bijak mengawal wang mereka dan berpengalaman dalam menguruskan wang. Tetapi bagi pelajar yang tiada pengalaman dalam menguruskan wang, ia mungkin susah bagi mereka.

Jangan bimbang ada tips mudah untuk menguruskan kewangan bagi orang yang tiada pengalaman.

Mari kami kongsikan info sebenar mengenai tips untuk menguruskan kewangan diri. Info ini dikongsikan oleh Encik Amir Syahir. Beliau gemar berkongsikan tips mengenai ilmu hartanah dan pengurusan wang. Selain itu, beliau juga berkongsikan tentang tips ASBF.

Imej via carvalhoadm.com

Tips-tips menguruskan kewangan diri bagi permulaan

1. Analisa kewangan sendiri

Analisa dan kaji selidik dulu berapa simpanan kau mampu buat tiap bulan. Apa? Tak tahu duit hilang ke mana? Kadang dapat simpan RM100, kadang dapat simpan RM200?. Itu sebab kau perlukan bantuan ‘force saving’. Buatlah potongan tetap ke Tabung Haji daripada akaun gaji korang ataupun buat ASB Financing.

2. Pastikan buat tiga komponen utama

i. Tabung kecemasan : 3-6 bulan pendapatan. Lagi banyak lagi bagus.

ii. Takaful: Pastikan ada medical card untuk lindungi kau dan tampung kos perubatan.

iii. Pelaburan: Melabur di tempat yang dijamin selamat oleh kerajaan. Jauhi sebarang skim cepat kaya dan MLM.

3. Kehendak VS Keperluan

Masih ramai lagi yang tak tahu bezakan antara keperluan dan kehendak. Secara ringkasnya kita perlukan makan dan minum. Tapi tiap minggu kau makan tempat hipster tu dah kenapa? Perut kau perut orang Itali ke? Dah la makan mahal, tak kenyang pulak tu. Kau kena tahu perbezaan belanja untuk sara hidup dengan gaya hidup. Jangan kau sengsara nanti sebab gaya hidup.

4. Jangan buat kesilapan ini

i. Hutang kad kredit

ii. Hutang kereta

iii. Hutang pembiayaan peribadi

Anak muda yang dilaporkan muflis disebabkan tiga perkara di atas. Jadi, fikir masak-masak kalau kau nak buat tiga perkara tersebut. Hutang tersebut kalau kau tak mampu kawal, kau akan merana.

Kalau pandai manipulasikan kad kredit untuk bayaran bil utiliti, petrol, membeli barang keperluan boleh saja. Belilah kereta biar padan dengan gaji. Tak perlu buat pembiayaan peribadi untuk beli barang mengikut kehendak kau yang menggunung tu.

5. Buat bajet

Hari cuti atau hari minggu cuba kau kira berapa komitmen kau dan peruntukan belanja tiap bulan. Buat bajet sendiri. Pastikan kau boleh ikut dan realistik sikit. Senang kau urus dan tahu ke mana kau nak belanjakan.

6. Tutup kebocoran wang

Biasanya, kau tak sedar kebocoran wang kau berlaku. Sarapan sampai habis RM20. Padahal bawa bekal ke pejabat lagi jimat kan. Kau dah ada bajet RM200 untuk hiburan. Jangan biarkan bajet tersebut lebih daripada RM200. Jika lebih, ganti balik bulan depan. Duduk je rumah bila terlebih belanja.

7. Analisa, kawal dan monitor

Jika kau sudah analisa, mengawal, kau juga perlu monitor kewangan kau. Sebab perbelanjaan tiap bulan selalu berubah. Yelah, kau kan ada makwe high maintenance. Kereta import mewah pun nak tukar sport rim dan hisap vape pulak tu. Jadi, kau kena monitor lah kau boleh ikut ke tak dengan bajet yang kau buat tu.

*Tips ini sesuai bagi graduan yang baru mula bekerja dan tidak tahu cara untuk menguruskan kewangan mereka. Pada mulanya, ia agak susah kerana banyak benda yang kita perlu berhenti seperti ‘shopping’ yang terlalu banyak. Tetapi lama-kelamaan, kita akan biasa dan akan nampak hasilnya dalam 2-3 tahun.

Artikel ini diberi kebenaran sepenuhnya oleh penulis. Baca artikel asal di sini.

Copy

Penulis: aqirah

Penulis di iLAbur yang suka berkongsi tentang ilmu dunia kewangan untuk generasi muda.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.