Keluarga yang bahagia selalunya banyak ketawa dan melakukan aktiviti bersama. Jika anda mencari aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama keluarga, apa kata anda adakan sesi teka teki lawak. Sambil berjenaka anda juga boleh mengasah minda anak-anak untuk berfikiran secara kreatif.
Bukan sahaja aktiviti ini boleh dilakukan bersama keluarga kecil anda, malah pastinya menarik jika anda berteka teki sesama perhimpunan keluarga, majlis keramaian, reunion, berkelah, berkhemah, dan sebagainya. Jom, kami kongsikan teka teki lawak yang boleh anda cuba. Kita tengok sama ada anda dapat jawab dengan betul atau sebaliknya.
1. Ada banyak jenis hantu kat dalam dunia. Kebanyakannya seram, tapi ada yang pandai bersilat. Dalam banyak-banyak hantu, hantu apa yang pandai bersilat?
Jawapan: Hang Tuah.
2. Cuba teka benda apakah ini? Bila kita berjalan, dia jalan. Bila kita berhenti, dia tetap jalan. Tapi, bila dia berhenti, kita yang akan jalan.
Jawapan: Jantung.
3. Ada satu tempat. Dapat makanan percuma, dapat tempat tidur percuma. Ada yang jaga. Bila sakit orang bawakan pergi jumpa doktor. Tapi tak ada siapa yang nak tinggal di situ. Apakah tempatnya?
Jawapan: Penjara.
4. Dalam banyak-banyak sate, sate apa paling panas?
Jawapan: Saterika.
5. Kenapa mayat dibungkus dalam kain kafan warna putih?
Jawapan: Kalau dibungkus dalam kain warna hitam, nanti bila jadi hantu tak ada siapa yang takut. Kena kejar waktu malam pun tak nampak. Gelap. Warna hitam.
6. Kalau gajah boleh terbang, gajah terbang dengan apa?
Jawapan: Gajah terbang dengan bersusah payah.
7. Ada seorang perempuan sarat mengandung dan nak bersalin. Suami dia bawa isterinya ke hospital. Dalam perjalanan lalu ladang kopi dan lombong bijih timah. Lepas anak dia lahir, diberi nama Fatimah. Kenapa?
Jawapan: Sebab anak itu perempuan.
8. Ada dua orang ayah dan dua orang anak pergi ke hutan untuk memburu kancil. Malangnya mereka hanya dapat tiga ekor. Tetapi waktu kembali ke rumah, masing-masing membawa pulang satu ekor kancil. Macam mana boleh jadi begitu?
Jawapan: Yang pergi berburu itu hanya tiga orang. Seorang datuk, seorang anak dan seorang ayah. Bukannya 4 orang.
9. Kenapa kita tak perlu takut bila jumpa dengan kucing hitam?
Jawapan: Sebab kita manusia bukannya tikus.
10. Cuba teka apakah ia. Apabila suami dapat, maka isterinya pun dapat sama. Tetapi bila si isteri yang dapat, si suami tak dapat pula. Haa cuba teka?
Jawapan: Gelaran Dato. Bila si suami mendapat gelaran Dato, si isteri akan dapat gelaran Datin. Tetapi bila isteri mendapat gelaran Dato, suami takkan jadi Datin.
11. Pokok kan bulat. Macam mana kita nak tahu mana satu bahagian belakang dan mana satu bahagian depan sebatang pokok?
Jawapan: Dengan cara menyorok. Kalau kita menyorok mesti menyorok di belakang pokok.
12. Ada satu benda. Bila kita berdiri dia baring. Bila kita baring dia berdiri, Tapi bila kita jalan dia pun ikut sama berjalan. Nak tinggal tak boleh pulak tu.
Jawapan: Tapak kaki kita.
13. dalam banyak-banyak bom, bom apa yang tak pernah meletup?
Jawapan: Bomba
14. Dalam banyak-banyak burung, burung apakah yang boleh berdiri, boleh baring tetapi tak boleh duduk?
Jawapan: Penguin
15. Kalau anda bijak bistari, apa beza di antara jatuh pokok kelapa dengan jatuh perigi?
Jawapan: Jatuh pokok kelapa, naik dulu baru jatuh. Jatuh perigi, jatuh dulu baru naik.
16. Lima pasang stokin direndam di dalam laut merah. Setiap pasang stokin itu berwarna putih, hijau, biru, kuning dan hitam. Apa akan terjadi kepada semua stokin tersebut?
Jawapan: Semua stokin akan basah.
17. Pak Ali ada sebuah ladang. Pak Ali nak tanam 2 jenis pokok iaitu pokok getah dan pokok koko. Jadi Pak Ali pun tanamlah pokok getah separuh dan pokok koko separuh. Soalannya sekarang, pokok apa yang akan tumbuh dulu?
Jawapan: Dua-dua tak tumbuh, sebab dia tanam separuh saja.
18. Dalam banyak-banyak cecair, cecair apakah yang akan menjadi beku apabila dipanaskan?
Jawapan: Telur.
19. Bila makan pisang, buang kulit. Tapi kalau makan kulit, kita buang apa?
Jawapan: Buang tebiat.
20. Dalam banyak-banyak kuih, kuih apakah yang orang makan tepinya sahaja? Tengahnya tidak dimakan.
Jawapan: Kuih Donut.
21. Seorang lelaki memakai pakaian serba hitam. Seluar hitam, kasut hitam, sarung kaki hitam, sarung tangan hitam, dan kaca mata hitam. Dia berjalan di sebuah lorong hitam. Seluruh lampu di lorong itu padam. Kemudian, sebuah kenderaan berwarna hitam dengan lampu yang juga padam meluncur memasuki lorong. Namun tepat di depan lelaki itu kenderaan berhenti. Bagaimana mungkin pemandu kenderaan itu boleh melihat lelaki serba hitam itu?
Jawapan: Waktu kejadian adalah siang, bukannya malam.
22. Sebuah kedai buah terbakar. buah-buahan habis terbakar kecuali 3 jenis buah. Apakah tiga jenis buah yang terselamat dalam kebakaran itu?
Jawapan: Buah keranji sebab dalam perahu, pisang emas sebab dibawa belayar dan buah cempedak sebab diluar pagar.
23. Apabila ditarik, yang diatas gembira dan yang di bawah merana. Apakah ia, cubalah teka.
Jawapan: Pengail yang dapat ikan.
24. Dalam banyak-banyak kotak di dunia, kotak apa yang tak boleh di angkat?
Jawapan: Kotak penalti.
25. Aku berjalan di tepi pantai, diatas pasir tanpa mencecah air. Bila aku toleh kebelakang, tiada kesan tapak kakiku. Kenapa?
Jawapan: Aku berjalan secara mengundur.
26. Batang apa berlubang-lubang, tirus di atas, di bawahnya kembang, Terkadang tegak terkadang tumbang, celaka benar kalau ditebang.
Jawapan: Batang hidung.
27. Seekor lembu berdiri menghadap utara. Kemudian lembu tadi pusing ke kanan 180 darjah, kemudian 270 darjah ke kiri. Ke arah mana lembu itu menghadap sekarang?
Jawapan: Ke bawah. Ia masih menghadap ke bawah dan sedang makan rumput.
28. Kalau ditutup dia akan mengintai, tapi kalau dibuka dia akan marah-marah?
Jawapan: Orang naik beca semasa hujan
29. Bila loceng bas ditekan, bas akan berhenti. Apa yang akan turun dahulu?
Jawapan: Speedometer bas.
30. Badannya keras tapi kurus, tidak mempunyai tangan dan berkepala hitam. Apakah itu?
Jawapan: Batang mancis.
31. Kenapa doktor bedah kalau melakukan pembedahan mulutnya ditutup?
Jawapan: Kalau matanya yang ditutup, dia tak dapat melihat. Macam mana nak bedah orang?
32. Jika sebatang pokok dipotong. pokok akan jadi semakin rendah. Apa benda pula, semakin dipotong semakin tinggi?
Jawapan: Seluar panjang. Bila dipotong ianya akan semakin tinggi.
33. Bila gajah jadi ayam, lalu singa jadi ayam, dan kambing jadi ayam, maka ayam menjadi apa?
Jawapan: Ayam jadi banyak.
34. Mula-mula aku buka baju, lepas tu aku sapu bedak. Setelah badanku disapu bedak, aku pun terjun ke dalam tasik. Lalu aku mandi. Setelah selesai mandi, aku pun naik dari tasik. Siapakah aku?
Jawapan: Pisang Goreng.
35. Kenapa di tepi rel kereta api diletakkan banyak batu kerikil?
Jawapan: Kerana kalau diletak pisang goreng pasti habis dimakan orang.
36. Tulang seperti ikan, jinjang seperti zirafah. Kadang di atas, kadang di bawah. Kalau salah kedudukan boleh kabur pandangan, kurang pendengaran.
Jawapan: Antena TV. Kadang orang pasang kat atas bumbung, kadang pacak je kat tanah, kalau kedudukan tak betul, gambar pun kabur, suara pun tak ada.
37. Ape benda bila masuk bentuk segitiga tapi bila keluar bergulung-gulung?
Jawapan: Seluar dalam.
38. Lampu apa yang kalau dipecahkan keluar orangnya?
Jawapan: Lampu jiran tetangga kita. Cubalah pecahkan, nanti akan keluar orangnya.
39. Kalau kancil dengan rusa berlaga, siapa yang akan mati?
Jawapan: Pemandunya yang mati. Kalau kereta kancil dengan rusa berlanggar. Mati lah orang tu.
40. Negara apa yang banjir dulu lepas tu baru hujan?
Jawapan: Bahrain – bah tu banjir, ‘rain’ tu hujan.
41. Mengapa guru sejarah selalu botak di bahagian belakang kepala, sedangkan profesor dibahagian depan?
Jawapan: Kerana guru sejarah memikirkan masa lampau, sedangkan profesor memikir untuk masa depan.
42. Apakah benda bertali yang apabila kita pegang, ia akan mati. Tetapi bila dilepaskan ia akan hidup, namun akan mati juga bila dibiarkan lama-lama?
Jawapan: Gasing.
43. Ikan apakah yang separuh jawa dan separuh inggeris?
Jawapan: Ikan Belukang kerana “Blue” adalah perkataan Inggeris, “Kang” adalah perkataan Jawa.
44. Kalau manusia panjat pokok nampak bukit, kalau kura-kura panjat pokok nampak apa?
Jawapan: Nampak pembohongnya. Sebab kura-kura mana boleh panjat pokok.
45. Kenapa kebanyakkan motosikal namanya YAMAHA?
Jawapan: Kerana yang menciptanya orang jepun. Kalau arab yang cipta mungkin namanya YAMAHMUD.
46. Apakah yang berada diantara langit dan bumi.
Jawapan: Mungkin ada banyak jawapan, tapi kat sini jawapan yang dikehendaki adalah “dan”.
47. 10 ekor burung sedang terbang. Tiba-tiba berdentum guruh dengan kuat. 6 ekor burung terus terbang tanpa masalah. Namun, 4 ekor burung telah jatuh ke bumi. Kenapa 4 ekor burung itu jatuh ke bumi?
Jawapan: Kerana 4 ekor burung itu menutup telinga dengan kepaknya dan menyebabkan ia tidak dapat terbang seperti biasa.
48. Haiwan apakah perutnya di kepala, kakinya di kepala, bahkan mata dan mulutnya juga di kepala?
Jawapan: Kutu. Sebab memang duduk kat kepala orang!
49. Binatang apakah yang paling kaya di dunia?
Jawapan: Beruang (sebab binatang ni ber wang).
50. Apakah hidupan yang masa kecilnya berkaki 4, bila besar berkaki 2 kaki dan bila tua pula berkaki 3?
Jawapan: Manusia! Semasa kecil merangkak, bila besar berjalan dengan dua kaki dan bila tua bertongkat.
Itulah dia 50 teka teki lawak yang anda boleh cuba. Anda dapat jawab semuanya? Tak mengapa kalau ada yang anda tak tahu jawapannya, sekarang anda dah tahu. Semoga anda bergembira bersama keluarga. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang 5 artis usahawan Malaysia, cara beli rumah lelong, dan kisah kejayaan Donald Trump.
Rujukan: