Trend membeli rumah lelong telah semakin meningkat. Dan ramai yang sudah mula terbuka minda untuk membeli rumah lelong. Malah ramai pakar telah berkongsi cara beli rumah lelong.

Ini mungkin juga kerana ramai yang mencari dan ingin tahu bagaimana untuk mendapatkan rumah lelong dengan mudah.

cara beli rumah lelong

Imej via conceptzhomeandproperty

Namun ada beberapa cara yang perlu kita ketahui sebelum membeli rumah lelong ini. Jika kita tahu cara atau faham aliran proses pasti semuanya menjadi mudah.

Jom baca tips dan cara beli rumah lelong yang mudah dan lengkap.

7 Tips Dan Cara Beli Rumah Lelong

Bajet

Bukan sahaja membeli rumah lelong. Nak beli apa pun perlukan bajet. Sebelum membeli perlu pastikan berapa modal tunai yang ada dalam tangan.

Perlu diingatkan  untuk membeli rumah lelong perlu membayar duit muka atau deposit. Iaitu sebanyak 10% daripada harga rumah yang anda telah menang melalui lelongan tersebut.

Terdapat juga kos-kos lain yang perlu anda ketahui.

  1. yuran guaman – perjanjian pinjaman & MOT
  2. laporan penilai
  3. kos baik pulih

Kos baik pulih agak subjektif kerana kos-kos tersebut bergantung kepada keadaan rumah lelong itu.  Ada yang perlu dicat semula, ada yang perlukan pendawaian elektrik dibuat semula. Jika bernasib baik dapat rumah lelong tanpa kos baik pulih.

Sebab itu bajet perlu dikira sebelum membeli rumah lelong. Jadi pilihlah jenis rumah yang bersesuaian dengan tunai yang ada dalam tangan.

Semak Kelayakan Pinjaman

Jika ada modal ditangan namun tak dapat buat pinjaman tak jadi juga. Kecuali anda membeli rumah lelong secara tunai. Untuk mengelak masalah ini berlaku, semak dulu kelayakan anda terutamanya status kewangan.

Pastikan nama anda tidak disenaraihitam oleh mana-mana agensi.

Untuk lebih mudah sediakan dokumen-dokumen penting yang diperlukan pihak bank. Bawa slip gaji dan pergi ke bank untuk tanya berapa harga rumah yang anda layak meminjam.

Menyemak kelayakan pinjaman adalah penting. Ini kerana jika anda gagal mendapatkan pembiayaan, deposit anda akan hangus.

Sebagai info  anda ada tempoh 90 atau 120 hari dari tarikh lelongan untuk buat bayaran baki harga jualan.

Pemilihan bank pembiaya juga penting. Jangan hanya pergi ke satu bank sahaja. Anda perlu rajin untuk bertanya untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman.

Cari Maklumat Rumah Lelong

Salah satu cara beli rumah lelong dengan mudah adalah cari maklumat dahulu. Anda boleh kenal pasti rumah-rumah yang dilelong di platform-platform seperti lelongtips.

Selain itu, maklumat-maklumat ini juga diiklankan di akhbar. Kalau rajin, pergi ke bank untuk melihat senarai rumah yang akan di lelong.

Pemilihan Lokasi

Ada yang cadangkan lokasi rumah lelong perlu tepat. Kawasan yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti kemudahan pengangkutan awam atau sekolah pasti menjadi tumpuan.

Namun pemilihan lokasi perlu juga kepada bajet anda. Rumah di kawasan tumpuan pasti nilainya tinggi.

Anda juga boleh dapat rumah lelong di bukan kawasan tumpuan. Menurut tuan Azizul Azli Ahmad, cari kawasan baru yang bukan semua orang tumpu disitu.

Ramai rakannya yang menang pada harga 30%-45% bawah harga pasaran sebenar, memang menguntungkan.

Tak perlu sangat LRT dan MRT, sekarang banyak perkhidmatan GRAB. Jauh sikit pun tak jadi masalah. Janji dapat rumah yang murah dan kena dengan bajet.

Ada banyak lagi penunjuk yang boleh diguna pakai. Pastinya akan membantu anda dalam membuat keputusan memilih kawasan yang sesuai dengan bajet.

Rumah Elok ke Tak?

Rumah lelong yang pastinya dijual dalam keadaan ‘as it is’. Apa yang anda nampak, macam tu la yang anda akan dapat.

Sebarang kerosakan pada rumah tersebut perlu ditanggung oleh pihak pembeli. Anda tak boleh claim kerosakan tersebut.

Sebab itu sebelum membuat bidaan, pastikan anda melihat dahulu rumah tersebut. Jangan dengar sahaja harga rumah lelong dengan tawaran harga yang murah, terus tak fikir panjang.

Itulah sebabnya ramai yang terpedaya dengan harga yang murah. Kesudahannya, terlopong lihat fizikal rumah.

Semak Dahulu Harga Pasaran

Ini pun penting juga. Selalunya rumah lelong akan 30% rendah dari harga pasaran rumah baharu. Tetapi ia bergantung kepada lokasi juga.

Anda kena selalu semak harga pasaran. Jangan pula terbeli rumah lelong lebih dari harga pasaran. Rugi nanti.

Ada rumah lelong yang mendapat penurunan harga sehingga 50%. Namun jangan lupa tengok dahulu fizikal rumah dahulu. Selalunya anda perlu keluar duit untuk baiki kerosakan rumah tersebut.

Anda boleh rujuk dengan penilai untuk tahu harga pasaran rumah yang nak dibeli tu.

Pastikan Tiada Sebarang Kaveat

Orang selalu terlepas pandang tentang kaveat ini. Ramai sifu hartanah yang menulis cara beli rumah lelong akan tekankan perkara ini.

Kaveat (caveat) berasal dari bahasa Latin yang bermaksud “memberi amaran kepada seseorang”. Dari sudut hartanah, kaveat merupakan langkah sementara untuk melindungi hak hartanah tersebut.

Kaveat persendirian bertujuan untuk melindungi hak individu dibawah perjanjian jual beli buat sementara waktu, dengan jangkaan tindakan undang-undang diambil selepas mendaftar kaveat tersebut.

Jadi, kaveat akan menjadi penghalang kepada mana-mana proses, dari pendaftaran hinggalah ke pertukaran nama pemilik sewaktu kaveat ini berkuatkuasa.

Kalau anda beli rumah lelong guna ejen, pastikan mereka buat cepat-cepat.

Jika tidak, anda boleh jugak buat semakan sendiri kat Pejabat Tanah berhampiran.

Perkara ini perlu dipastikan dengan betul supaya tidak ada masalah yang akan timbul.

Rumah yang dilelong berpotensi untuk memiliki kaveat persendirian. Jika hal ini berlaku, walaupun anda telah memenangi bidaan untuk membeli rumah tersebut, anda masih lagi perlu mencabar pihak ketiga (yang mendaftar kaveat persendirian).

Ini kerana kaveat persendirian hanya boleh dibatalkan oleh:

  • Kaveator (individu yang mendaftar kaveat)
  • Pendaftar
  • Perintah mahkamah

Permohonan untuk membatalkan kaveat melalui perintah mahkamah boleh dibuat oleh pihak yang terganggu dengan kewujudan kaveat ini. Dalam kes ini, pembeli rumah lelong yang memiliki kaveat persendirian.

Selain itu, rumah lelong yang memiliki kaveat persendirian juga bermakna anda tidak boleh membiaya pembelian rumah tersebut dengan pinjaman perumahan. Hal ini demikian kerana bank tidak akan meluluskan pinjaman jika adanya kaveat persendirian didaftarkan untuk sesebuah hartanah.

Jadi, kalau beli secara tunai anda tak perlu risau pasal perkara ni.

Penutup

Melihat dari tips dan cara beli rumah lelong, anda sebenarnya tidak perlu risau. Jika anda ingin membuat bidaan sendiri tanpa menggunakan ejen, perkara paling penting adalah bertenang.

Jangan terlalu teruja untuk membuat bidaan. Sentiasa kawal emosi dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Tidak perlu kecewa jika kalah. Itu adat dalam proses membida.

Paling penting adalah untuk anda menang pada harga yang menarik dan berbaloi, iaitu, di bawah harga pasaran.

 

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.