Betul ke ada pepatah mengatakan bahawa hujan emas di negeri orang, hujan  batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri?

Jadi, kenapa berlakunya trend yang agak ketara berkenaan migrasi dalaman iaitu anak watan negeri sendiri mencari kerja di negeri luar? Contohnya, anak kelahiran Kelantan banyak cari rezeki di Selangor.

Jom baca artikel ini yang merungkai trend migrasi dalaman pekerjaan rakyat Malaysia.

Pengenalan

Migrasi merupakan pergerakan, perpindahan atau penghijrahan penduduk dari satu tempat ke satu tempat yang lain sama ada merentasi sempadan antarabangsa mahupun sempadan negeri.

Penghijrahan penduduk dilihat semakin penting pada masa kini kerana ia merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi urbanisasi dan juga pembangunan sesebuah negara.

Migrasi dalaman bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah migrasi dalaman ini turut berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan juga semua negara di seluruh dunia.

Penghijrahan migrasi keluar masuk ke kawasan destinasi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri di mana berlakunya penghijrahan tenaga kerja professional ke kawasan destinasi.

Kesan Penghijrahan

Imej via iLabur

Penghijrahan ini telah mengakibatkan kawasan asal mereka mengalami kekurangan golongan professional akibat migrasi dan mungkin menyebabkan pertumbuhan ekonomi di kawasan asal dilihat bergerak perlahan berbanding dengan pertumbuhan ekonomi di kawasan membangun.

Contohnya di China, kebanyakan penduduk meninggalkan ladang mereka dan berhijrah ke kawasan bandar untuk aktiviti selain dari pertanian. Aliran buruh itu pada dasarnya diarahkan dari kawasan pedalaman ke kawasan pantai, atau dari kawasan pusat bandar dan wilayah barat ke kawasan timur China.

Kebanyakan penduduk berhijrah dari kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi ke kawasan berkepadatan rendah. Di samping itu, mereka juga berhijrah dari kawasan pendapatan rendah ke kawasan berpendapatan lebih tinggi.

Keadaan ini memberi gambaran tentang migrasi dalaman sebenarnya bergerak ke arah keseimbangan ruangan ekonomi tertentu.

Trend dan Statistik Migrasi Dalaman di Malaysia

Imej via iLabur

Kadar pergerakan migrasi masuk ke negeri-negeri di Malaysia yang 5 tertinggi pada tahun 1981 ialah:

  1. Kuala Lumpur (40.62 orang per 1000 penduduk)
  2. Pahang (36.14 orang per 1000 penduduk)
  3. Negeri Sembilan (28.7 orang per 1000 penduduk)
  4. Selangor (27.95 orang per 1000 penduduk)
  5. Melaka (27.25 orang per 1000 penduduk)

Arah pergerakan penduduk pada awal 1980-an, 1990-an dan awal abad ke-21 dilihat lebih tertumpu ke kawasan yang sedang membangun seperti Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kuala Lumpur merupakan ibu negeri bagi Malaysia dan tempat inilah yang menjadi tarikan untuk penduduk berhijrah bagi memperbaiki taraf hidup. Kadar migrasi masuk ke negeri ini dilihat sentiasa berada di kedudukan 5 teratas dari tahun 1981 hingga 1996.

Pada tahun 1989, Kuala Lumpur menduduki tangga ke-2 iaitu dengan kadar pergerakan migrasi masuk sebanyak 24.71 orang per 1000 penduduk dan pada tahun 1996 (juga berada di kedudukan kedua), sebanyak 29.70 orang per 1000 penduduk direkodkan.

Namun selepas berlakunya kemelesetan ekonomi pada tahun 1997-1998, pergerakan kadar migrasi masuk ke negeri ini mula berkurangan dan hanya 2.63 orang per 1000 penduduk direkodkan bagi tahun 2011.

Tahun 2012, walaupun pergerakan kadar migrasi negeri ini dilihat meningkat sedikit kepada 5.96 orang per 1000 penduduk, namun kadar kemasukan ke negeri ini masih lagi berada di kedudukan 3 terendah berbanding negeri-negeri lain.

Bagi negeri maju lain seperti Pulau Pinang, pergerakan kadar migrasi masuk ke negeri ini dilihat agak konsisten pada tahun 1980an hingga kini dan negeri ini telah berada di kedudukan tertinggi bagi kadar migrasi masuk tahun 2011 dan 2012 di mana masing-masing sebanyak 11.5 orang per 1000 penduduk dan 11.6 orang per 1000 penduduk.

Faktor Pendorong Berlakunya Migrasi

#1 Faktor Pekerjaan

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat tiga sebab utama penduduk berhijrah atas faktor pekerjaan iaitu:

  1. berpindah tempat kerja atau memulakan pekerjaan baru
  2. mencari kerja
  3. berhenti kerja/bersara

#2 Tahap Pendidikan

Tahap pendidikan yang dimiliki juga dilihat menjadi faktor pendorong kepada penghijrahan penduduk yang bertujuan untuk memperoleh kehidupan yang lebih selesa.

Jika dilihat peratus migran yang berhijrah ke kawasan luar bandar pada tahun 1992, golongan migran yang tiada pendidikan lebih banyak tertumpu ke kawasan tersebut diikuti migran berpendidikan rendah, migran yang mempunyai pendidikan peringkat menengah dan seterusnya migran peringkat tertiari.

Manakala pada tahun 2003, migran peringkat rendah lebih tinggi peratusan berbanding migran-migran lain yang berhijrah ke kawasan luar bandar.

Bagi penghijrahan migran ke kawasan bandar pula, golongan migran yang mempunyai tahap pendidikan tertiari lebih tertumpu ke kawasan ini dan peratusan ini meningkat dari tahun 1992 iaitu sebanyak 67% menjadi 74.3% pada tahun 2003.

#3 Urbanisasi

Peningkatan pendudukan di kawasan bandar sejajar dengan perkembangan pembangunan negara.

Jika dilihat kepada paras urbanisasi bagi setiap negeri di Malaysia, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan paras urbanisasi 100% manakala Kelantan mencatatkan paras urbanisasi paling rendah iaitu sebanyak 42.4%.

Migrasi dalaman yang berlaku sebenarnya merupakan salah satu faktor berlakunya kepadatan penduduk di kawasan destinasi.

#4 Polisi dan Dasar Kerajaan

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan di Malaysia adalah signifikan dan memberi kesan positif kepada etnik melayu untuk berhijrah sebaliknya etnik bukan Melayu tidak memberi kesan kepada migrasi.

Terdapat dua polisi yang dirangka iaitu meliputi pembangunan desa dan wilayah serta pembandaran dan perbandaran. Polisi pembangunan luar bandar dan wilayah digubal bertujuan untuk:
mentransformasikan kehidupan masyarakat setempat

  • meningkatkan taraf hidup
  • menambah pendapatan
  • penambahbaikan infrastruktur
  • mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih moden dan lain-lain

Kawasan luar bandar biasanya dikaitkan dengan aktiviti pertanian. Maka, fokus bagi membangunkan tanah pertanian telah diberi perhatian di dalam polisi ini dan seterusnya menggalakkan penghijrahan penduduk ke kawasan luar bandar.

#5 Pelaburan Domestik

Pelaburan domestik juga berperanan sebagai sumber pendapatan utama bagi negeri-negeri di Malaysia. Namun secara tak langsung, kemasukan pelaburan domestik ini juga berupaya mempengaruhi keputusan penduduk untuk bermigrasi.

Justeru, pihak pemerintah telah mengambil langkah mengawal kadar migrasi dalaman melalui tindakan membangunkan pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan tertentu dengan menubuhkan Koridor Pembangunan Ekonomi Baru pada tahun 2007.

Hari ini terdapat sebanyak 5 agensi yang diberi tugas untuk membangunkan Koridor Pembangunan Ekonomi Baru iaitu:

  1. Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER)
  2. Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR)
  3. Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER)
  4. Wilayah Pembangunan Sabah (SDC)
  5. Sarawak Corridor Of Renewable Energy (SCORE)

Kemasukan pelaburan asing dan domestik ke negeri-negeri ini dilihat turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

#6 Faktor Ekonomi

Faktor ekonomi dilihat memberi pengaruh besar kepada migrasi dalaman untuk mengatasi isu seperti kemiskinan, pengangguran dan pendapatan.

Salah satu faktor penghijrahan individu adalah dengan mengambil kira jangkaan perolehan pendapatan dan kepuasan yang akan mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Perpindahan isi rumah ke kawasan pinggir wilayah seperti Lembah Klang adalah disebabkan oleh keinginan penduduk untuk memiliki rumah kediaman dan hartanah yang lebih murah berbanding di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur.

Kesimpulan

Migrasi adalah dianggap sebagai salah satu strategi pembangunan dan pemacu kepada pertumbuhan dan juga laluan penting untuk penduduk keluar daripada kemiskinan hidup. Migrasi dikatakan suatu kejayaan dalam meningkatkan tingkat pendapatan, menambah pengalaman kerja dan meningkatkan tahap kepuasan hidup.

Pelan pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan berjaya membuka peluang pekerjaan dan menarik minat penduduk untuk berhijrah masuk ke negeri-negeri tertentu.

Walau apa pun, bagi mereka yang cekal mencari rezeki, ingatlah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Rujukan

  1. Hussain, N. E., Abdullah, N., & Abdullah, H. (2015). Hubungan migrasi dalaman dengan faktor-faktor penarik: Kajian kes di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia49(2), 121-133.
  2. Hussain, N. E., Shaari, M. S., Akhir, N. H. M., & Abdullah, D. N. C. (2018). Macroeconomic Variables and In-Migration in Malaysia’s Developed States (Migrasi Masuk dan Pembolehubah Makroekonomi bagi Negeri-Negeri Maju di Malaysia). Jurnal Ekonomi Malaysia52(1), 245-261.
  3. Mohamed, N. A., Ajis, M. N. E., & Zain, Z. M. (2019). Dilema majikan dalam isu menggaji pekerja tempatan atau pekerja asing di Malaysia: Perspektif majikan (Employer’s dilemma on the issues of hiring foreign workers or local workers in Malaysia: Employer’s perspective). Geografia-Malaysian Journal of Society and Space15(3).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.