Jom belajar tentang zakat perniagaan serta kepentingan zakat perniagaan.

Perniagaan adalah sebahagian daripada pengumpulan kekayaan yang tertakluk kepada zakat. Islam sememangnya menggalakkan semua individu Muslim untuk menjalankan perniagaan yang sah dan halal untuk menjana pendapatan.

Perniagaan atau dalam bahasa Arabnya Tijarah bermaksud jual dan beli untuk mendapatkan keuntungan. Semua jenis perniagaan wajib ditaksir zakat selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak sama ada perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat, koperasi atau lain-lain.

Perniagaan juga boleh ditakrifkan sebagai sebarang perusahaan yang bersifat untung dan rugi. Oleh itu, zakat perniagaan adalah zakat yang dikeluarkan ke atas hasil yang diperolehi daripada perniagaan tidak kira sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perkongsian, syarikat atau lain-lain lagi.

Dalil Zakat Perniagaan

Allah S.W.T telah berfirman di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-267 yang bermaksud;

“Wahai orang yang beriman! Nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”.

Allah S.W.T menggunakan perkataan “hasil usahamu yang baik” setelah arahan untuk “menakafkahkan” yang membawa maksud segala usaha yang baik untuk menjana kehidupan daripada individu Muslim adalah termasuk dalam apa yang difirmankan oleh Allah S.W.T. Ini termasuklah kepada perniagaan.

Allah juga telah berfirman dalam surah an-Nur pada ayat ke-37 yang membawa maksud;

“Orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual beli daripada mengingati Allah, melaksanakan solat dan menunaikan zakat. Mereka takut kepada hari ketika hati dan penglihatan menjadi goncang (hari Kiamat).”

Pada ayat ini, jelas sekali Allah menegaskan bahawa mengeluarkan zakat perniagaan adalah sebagai salah satu tanda ketakwaan dan kesyukuran individu Muslim kepada Allah S.W.T.

Selain itu, di dalam kitab al-Amwal, Abu Ubayd al-Qasim Ibn Salam telah meriwayatkan daripada Maimun Ibn Mihran;

“Apabila tiba masa (cukup haul) untuk kamu mengeluarkan zakat, hitungkanlah berapa banyak wang tunai yang kamu ada, dan barang-barang perniagaan yang kamu ada dinilaikan dengan matawang, dan hitungkan juga hutang pelanggan-pelanggan kamu (yang mampu diharap kembali) dan juga hutang-hutang kamu, kemudian keluarkanlah zakat ke atas bakinya itu.”

Sebagai makluman, asas pengiraan zakat perniagaan adalah berlandaskan riwayat daripada Abu Ubayd al-Qasim Ibn Salam di atas.

Syarat Wajib Zakat Perniagaan

Walaupun zakat perniagaan itu wajib ke atas individu, perkongsian, syarikat atau lain-lain, namun begitu sesuatu perniagaan itu hanya dianggap wajib mengeluarkan zakat perniagaan apabila telah menepati enam syarat wajib zakat.

Syarat pertama ialah Muslim. Ini bermaksud sekiranya perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang Islam sahaja yang perlu dikenakan zakat.

Kedua, perniagaan itu perlu sempurna milik. Iaitu harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

Seterusnya, harta tersebut perlu cukup nisab. Nisab di sini bermaksud paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Bagi zakat perniagaan, nisabnya adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

Kemudian, harta perniagaan tersebut mesti cukup haul atau tempoh satu tahun. Ini bermakna harta perniagaan perlu dinilai untuk zakat dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul atau bila genap satu tahun.

Yang kelima, perlu ada kewujudan niat berniaga. Niat berniaga di sini membawa maksud sesuatu perniagaan itu dibina untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

Yang terakhir atau yang keenam, barang perniagaan dan perkhidmatan mesti yang sah atau halal. Ini kerana, perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

Justeru, sekiranya perniagaan anda sama ada persendirian atau perkongsian telah menepati keenam-enam syarat di atas, maka wajiblah ke atas anda untuk mengeluarkan zakat perniagaan.

zakat pendapatan

Imej via iLabur

Kaedah Pengiraan Zakat Perniagaan

Di Malaysia, pengiraan zakat perniagaan adalah mengikut kepada kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Majlis Agama Negeri sementara nisab ditentukan berdasarkan nilai 85 gram emas semasa. Secara umumnya terdapat enam kaedah pengiraan zakat perniagaan seperti di bawah;

1. Kaedah berdasarkan aset semasa

Pengiraan zakat perniagaan berdasarkan jumlah tunai yang ada di tangan, di bank, akaun bersih iaitu setelah ditolak dengan hutang lapuk dan hutang ragu serta inventori-inventori yang dimiliki. Inventori ini akan dinilai berdasarkan harga pembelian.

2. Kaedah berdasarkan modal kerja

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah shariah yang mana ia mengambil kira kedudukan aset semasa dengan menolak liabiliti semasa perniagaan dan mengambil kira beberapa penyesuaian yang berkaitan dengan zakat. Pelarasan ini dilakukan berdasarkan butiran-butiran yang telah dikenal pasti sama ada untuk ditambah atau ditolak dalam pengiraan zakat.

3. Kaedah berdasarkan aset semasa dan pulangan daripada pelaburan

Kaedah ini akan mengambil kira aset semasa dan ditambah dengan keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan serta menilaikan inventori-inventori yang ada pada harga semasa.

4. Kaedah berdasarkan pertumbuhan modal

Kaedah ini mengambil kira modal pemilik, barang-barang perniagaan, sumber pembiayaan lain serta pelarasan yang boleh menyebabkan ekuiti pemilik meningkat atau berkurang. Secara ringkas, kaedah ini menggunakan formula modal ditambah dengan keuntungan.

5. Kaedah berdasarkan modal kerja bersih dan keuntungan

Kaedah ini pula akan mengambil kira semua aset semasa perniagaan kemudian menolak jumlah liabiliti semasa dan ditambah dengan keuntungan bersih.

6. Kaedah berdasarkan keuntungan

Kaedah ini mengambil kira pendapatan atau jualan setahun kemudian menolak perbelanjaan atau kos yang ditanggung dalam setahun.

Secara keseluruhannya, terdapat enam kaedah untuk mengira zakat perniagaan. Walau bagaimanapun, berdasarkan keadaan semasa hanya kaedah berdasarkan modal kerja, kaedah pertumbuhan modal dan kaedah berdasarkan keuntungan sahaja telah digunakan dalam pengiraan zakat perniagaan oleh Majlis-Majlis Agama Negeri di Malaysia dan juga pusat-pusat pengutipan zakat.

1. Kaedah modal kerja

[(Aset Semasa – Liabiliti Semasa) +/- Pelarasan] x% Saham Dimiliki oleh Muslim x 2.5%

Kaedah ini digunakan untuk syarikat-syarikat seperti Syarikat Terhad, Syarikat Awam Terhad,
Koperasi, Perusahaan, Perdagangan dan lain-lain.

2. Kaedah pertumbuhan modal

[(Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa) +/- Pelarasan] x
% Saham Dimiliki oleh Muslim x 2.5%

Kaedah ini sesuai untuk digunakan oleh Institusi-institusi Kewangan dan Perbankan Islam dan Syarikat-syarikat Takaful.

3. Kaedah keuntungan

Pendapatan / Jualan / Pendapatan setahun – Perbelanjaan / Kos setahun = Untung bersih setahun x 2.5%

Kaedah ini sesuai untuk perniagaan yang tidak mempunyai rekod perakaunan atau penyata kewangan sedemikian
sebagai perniagaan kecil dan peruncit seperti penjaja, restoran, gerai makanan dan lain-lain yang berkaitan
perniagaan.

Kesimpulannya, ketiga-tiga kaedah ini diguna pakai kerana bersesuaian dengan keadaan ekonomi negara Malaysia khususnya kepada ekonomi Muslim semasa. Justeru, Majlis-Majlis Agama Negeri dan pusat-pusat pengutipan zakat sangat telus dan tekun dalam kaedah pengiraan zakat agar usahawan atau badan korporat Muslim tidak terjejas atau terbeban dengan pengeluaran zakat.

Jemput juga baca tentang kelebihan bayar zakat dan cara pengiraan zakat pendapatan

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.