Ramai daripada kita terutamanya generasi muda dan belia yang menyimpan cita-cita untuk memiliki kenderaan import yang mewah dan berjenama. Tapi melihatkan harga kereta yang tinggi, tepuk dahi masing-masing lah jawabnya.

Pernah terfikir kenapa harga kereta yang dijual di sini mahal?

Jom baca artikel ini yang akan mengupas mengenai trend jualan kereta tempatan dan kereta import di negara kita.

Pengenalan

Kereta merupakan mod pengangkutan yang penting terutamanya bagi keluarga atau orang persendirian untuk tujuan seperti pengangkutan ke tempat kerja, bergerak ke sesuatu tempat dengan selesa, balik kampung dan sebagainya.

Memiliki kereta merupakan langkah pengumpulan aset yang agak baik kerana kegunaan jangka panjangnya.

Malaysia mempunyai dua syarikat pengeluar kereta tempatan kita sendiri iaitu Perusahaan Otomobil Sdn. Bhd. (PROTON) dan Perusahaan Otombil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA).

Rakyat Malaysia boleh memilih untuk membeli kenderaan melalui dua syarikat ini ataupun kenderaan berrjenama lain yang diimport. Secara umumnya, harga kereta keluaran Proton dan Perodua ini adalah jauh lebih murah berbanding kereta yang diimport.

Statistik Jualan Kereta di Malaysia

Setakat laporan jualan kereta sehingga Ogos 2019, jualan kereta tertinggi ialah kereta berjenama Perodua yang telah menjual keseluruhan kenderaan sebanyak 161,776 unit.

Di tempat kedua ialah Proton yang telah menjual sebanyak 61,235 unit.

Bagi kenderaan import, Honda mengungguli jualan sebanyak 59,371 unit, diikuti oleh jualan Toyota sebanyak 42,326 unit dan Nissan sebanyak 14,093 unit.

Sementara itu, jualan di bawah 10,000 unit adalah seperti Mazda (8496 unit), Mercedes (7098 unit), Mitsubishi (5488 unit), BMW (6560 unit) dan Isuzu (5524 unit). Jenama kenderaan lain mencatatkan jualan 5000 unit ke bawah.

Keluaran Kereta Tempatan

Imej via BHOnline

Menurut laporan Berita Harian, permintaan kukuh dan berterusan terhadap Perodua Myvi and Axia beserta model Proton yang berdaya saing seperti Persona dan Iriz akan terus memacu sektor automobil tempatan dalam tempoh jangka pendek.

Masyarakat sering salah faham berkenaan harga kenderaan tempatan yang dikatakan tinggi yang disebabkan oleh cukai yang tinggi.

Sebagai contoh, dikatakan cukai jualan kereta atau duti eksais sebanyak 50% kenderaan telah menyebabkan harga Perodua MyVi menjadi RM46,000 sedangkan hanya boleh dijual pada nilai RM23,000 sahaja!

Salah faham ini boleh dijawab dengan membandingkan jualan MyVi di kawasan bebas cukai seperti Langkawi dan Labuan dengan jualan MyVi di lokasi lain.

Harga jualan MyVi di Langkawi ialah RM41,598 manakala harga jualan biasa ialah RM44,590.

Hanya berbeza RM2992 iaitu beza 7% sahaja.

Faktor Harga Kereta Tempatan yang Tinggi

Ramai yang tidak tahu, kos pembikinan kereta tempatan adalah sangat tinggi dari proses awal lagi.

Dari segi ekonomi, untuk sesebuah syarikat pengeluar kenderaan balik modal dengan mengeluarkan 1 juta model setahun.

Namun begitu, syarikat tempatan kita iaitu Proton dan Perodua hanya mampu menghasilkan sekitar 200 ribu unit setahun yang disebabkan faktor kekangan seperti kemahiran, teknologi, sumber dan kos pengeluaran.

Persaingan dengan syarikat pengeluar kereta import pula menjadi lemah kerana perbezaan jurang kos pembangunan dan teknologi.

Kereta Import

Imej via iLabur

Kenderaan yang diimport ke dalam negara datang dalam dua bentuk iaitu CBU (complete built-up) atau CKD (complete knock-down).

CBU bermaksud kereta tersebut diimport secara “seketul” masuk ke dalam negara, manakala kenderaan CKD diimport secara komponen utama yang akan disambungkan dan dihasilkan di dalam negara oleh kilang tempatan.

Perbezaan yang ketara pastinya berkenaan tempoh menunggu mendapatkan kereta tersebut. Tempoh menunggu kereta CBU lebih cepat berbanding CKD yang boleh memakan masa sehingga setahun.

Namun, harga kereta bagi CKD ini adalah lebih murah berbanding kereta CBU apabila duti eksais bagi CKD adalah lebih rendah berbanding CBU.

Duti Eksais bagi Kereta CBU dan CKD

Selain daripada nilai 10% yang dikenakan oleh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), setiap kenderaan turut dikenakan duti eksais dan duti import.

Setiap kenderaan yang dihasilkan akan dijual dengan kadar 60-105% duti eksais bergantung kepada jenis kereta (MPV, kereta penumpang, 4×4) dan cc kereta (bawah 1.8, 1.8-1.9, 2.0-2.49, 2.5 dan ke atas).

Sebagai contoh, kereta penumpang dengan cc 1.8 ke bawah dikenakan duit eksais sebanyak 75% manakala MPV bawah 1.8 cc dikenakan duti eksais 60%.

Yang menambahkan lagi harga kereta, terutamanya kereta import ialah duti import sebanyak 30% bagi model kereta import dari negara luar. Namun, kereta yang diimport dari negara ASEAN dan Jepun dikecualikan daripada duti import ini dengan syarat sijil asal perlu dikemukakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata kerajaan akan mengumumkan pengurangan duti eksais yang dikenakan ke atas kenderaan.

Namun, perancangan ini masih lagi dalam kajian pelaksaanan.

Kos Penyelidikan Syarikat Kereta Tempatan

Perodua yang berkongsi penyelidikan dengan syarikat kereta Jepun seperti Toyota dan Daihatsu dapat mengurangkan kos penyelidikan.

Namun bagi Proton yang melakukan penyelidikan sendiri, mereka hanya berharap kepada nilai jualan kereta di pasaran untuk menampung semula kos penyelidikan ini.

Persaingan Sesama Syarikat Pengeluar Kereta

Perodua juga bertuah kerana melalui boleh mengimport keretanya ke pasaran luar seperti Indonesia dan negara lain atas jenama Toyota dan Daihatsu.

Proton sememangnya menyasarkan kepada rakyat Malaysia sebagai pembeli untuk menampung segala beban kewangan syarikat.

Melihatkan kepada senario ini, syarikat luar telah menjadikan harga jualan kereta tempatan sebagai “standard” atau “set the bar” untuk harga jualan kereta mereka kerana keyakinan dengan kualiti kereta mereka untuk dijual dengan harga lebih mahal berbanding kereta tempatan.

Kesimpulan

Siapa saja yang tidak mahu bermegah dengan kereta mewah, bukan? Tetapi pucuk pangkal kepada pembelian dan pemilikan kereta ini perlulah sentiasa bersandarkan kepada ukur baju di badan sendiri.

Mungkin ada yang mampu memiliki kereta import walaupun denga harga dan kos penyelenggaraannya yang agak tinggi. Kualiti kereta tempatan kita pun makin setanding dengan kereta luar ditambah dengan penyelidikan yang berterusan.

Jika tidak menjadi satu kemestian untuk memiliki kereta import, apa kata kita sokong kereta buatan tempatan?

RUJUKAN

  1. https://careta.my/article/turunkan-duti-eksais-kereta-realistik-atau-khazanah-alam-mistik
  2. https://iluminasi.com/bm/punca-sebenar-harga-kereta-di-malaysia-tinggi-tinggi-belaka.html
  3. https://paultan.org/2019/10/03/data-jualan-kenderaan-ogos-2019-ikut-jenama/
  4. https://www.bharian.com.my/bisnes/auto/2019/06/576689/jualan-kereta-nasional-dijangka-terus-memberangsangkan
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.