Tahukah anda, dalam urusan jual beli rumah atau hartanah, terdapat klausa untuk perlindungan hutang peminjam sekiranya berlaku kecelakaan atau kematian, menerusi gadai janji perumahan atau juga dikenali sebagai mortgage.

Jom baca dengan lebih lanjut dalam artikel ini. Maklumat dalam artikel ini datang daripada Encik Rejaie Arbee di Twitter dan diberi izin untuk diolah dalam artikel ini. Ketahui info gadai janji perumahan antara MRTA VS MLTA.

Pengenalan

Sejak kebelakangan ini, pasaran hartanah semakin mendapat perhatian dan ramai mula mengumpul aset dengan membeli rumah.

Apabila anda membuat pinjaman rumah dengan gadai janji perumahan, pernah tak anda fikirkan, apa yang akan berlaku kepada baki hutang jika anda meninggal dunia sebelum sempat melangsaikan hutang keseluruhan?

Bagi umat Islam, perkara hutang tidak boleh dibuat main. Roh mereka yang mati syahid pun tergantung jika masih mempunyai hutang yang belum diselesaikan.

Baiklah, untuk gadai janji perumahan, terdapat dua jenis perlindungan mortgage iaitu MRTA/MRTT (Mortgage Reducing Term Assurance/Takaful) dan MLTA/MLTT (Mortgage Levelled Term Assurance/Takaful).

Untuk bacaan dalam artikel ini, terma MRTT dan MLTT akan digunakan. Kelebihan dan kelemahan kedua-duanya akan dibincangkan.

Perlindungan pada Tempoh Bayaran

Mengambil contoh jika sesebuah mortgage hartanah itu bernilai RM300k, tempoh bayaran (term) pula ialah selama 30 tahun, nak dijadikan cerita, kematian berlaku pada tahun ke-15 bayaran pinjaman dibuat.

Kita anggap baki komitmen pinjaman yang perlu dibayar pada tahun ke-15 daripada 30 tahun ini ialah separuh daripada nilai asal, iaitu sekarang berjumlah RM150k,

Takaful melalui MRTT akan bayarkan baki pinjaman RM150k tersebut kepada bank, hutang pun langsai dan waris boleh memiliki rumah tersebut.

MLTT pula akan membayar jumlah penuh. Takaful akan membayar RM400k kepada waris dan pandai-pandailah waris tersebut akan gunakannya untuk langsaikan baki hutang. Kelebihannya, waris akan mendapat rumah (setelah hutang diselesaikan) dan baki duit itu boleh digunakan untuk tujuan tertentu waris.

Perlindungan Kematian

MLTT akan melindungi kematian dan ketidakupayaan kekal secara automatik, tanpa perlu caruman tambahan.

Manakala MRTT melindungi kematian dan ketidakupayaan kekal dengan tambahan caruman.

Perlindungan Kewangan

Imej via iLabur

MRTT melindungi kewangan mengikut mortgage. Jika anda menambah mortgage tambahan, anda perlu mendapatkan MRTT yang lain untuk mortgage tambahan itu.

MLTT pula melindungi kewangan individu. Jadi, biarpun dengan tambahan mortgage, dan jumlah hutang berada dalam amaun yang dilindungi sepenuhnya, tidak perlu tambah caruman MLTT yang baru. Jika nilai perlindungan tidak mencukupi, hanya perlu tambah secukupnya untuk pelindungan.

MRTT pula melindungi kewangan dalam tempoh pinjaman sahaja; perlindungan MRTT luput apabila term tamat.

Sementara itu, perlindungan MLTT adalah sehingga kematian individu tersebut, bermaksud, sedangkan term kewangan sudah tamat, masih ada perlindungan.

Nilai Kematangan Perlindungan

Selesai term, nilai MRTT akan menjadi sifar dengan tiada nilai kematangan (maturity value). Nilai MRTT akan berkurang selari dengan baki mortgage. Maka, pada hujung term mortgage, baki pinjaman sifar dan nilai MRTT turut menjadi sifar.

Berbeza dengan MLTT yang mempunyai nilai kematangan biarpun selepas term berakhir, tetapi nilainya berkurangan daripada nilai asal yang dibayar semasa dalam tempoh term.

Sumbangan Caruman

MRTT merupakan sumbangan tunggal yang biasanya disekalikan dengan jumlah kewangan. Secara teknikalnya, anda akan membayar nilainya sedikit demi sedikit secara ansuran bulanan.

MLTT pula sumbangan secara berkala yang perlu dibayar dengan amaun tertentu pada setiap bulan.

Umumnya, kadar MRTA adalah sedikit rendah berbanding MLTT.

Memilih MRTA VS MLTA?

Jadi, apakah kesimpulan yang boleh diambil? Mahu MRTT atau MLTT?

Semuanya berbalik kepada 3K iaitu Kemahuan, Keperluan dan Kemampuan.

Kedua-dua MRTT dan MLTT ada kekuatan tersendiri. Ingat, MRTT mahupun MLTT TIDAK BOLEH dipaksa untuk diambil. Jika dipaksa, boleh buat aduan.

Ada sesetengah kes, ada bank akan murahkan kadar MRTT tetapi tempoh perlindungannya dipendekkan.

MRTT jauh lebih murah kerana disekalikan dengan pembayaran komitmen bulanan mortgage anda. Sebenarnya, nilainya akan lebih murah lagi jika dibayar secara lump sum secara tunai sendiri kerana MRTT yang disekalikan dengan bayaran semula mortgage ini tertakluk dengan kadar bunga dan jangka masa panjang. .

Adakah ini bermaksud MLTT lebih bagus? Mungkin, tapi halangannya, nilainya lebih mahal berbanding MRTT.

Life Takaful

Sekiranya kita ada life takaful, adakah lebih baik dan disarankan untuk ambil MRTT? Perkara ini subjektif sebenarnya kerana bergantung juga dengan keperluan dan kemampuan.

Kalau ada life takaful, jumlahnya adalah LEBIH daripada jumlah mortgage, jadi tak perlu pun  untuk MRTT. Hanya tunjuk summary page Life Takaful policy kepada Bank. Sebagai bukti ada Collateral untuk langsaikan hutang sekiranya meninggal sebelum habis term.

Boleh ke kalau begitu kalau kita andaikan MLTT = life takaful? Maksudnya kalau ada MLTT, jadi tak perlu ambil lagi life takaful dan begitu juga sebaliknya?

Secara teknikalnya, ya, tapi lebih kepada bahagian MLTT dalam life takaful bukan secara keseluruhan kerana perlu mengambil kira semua hutang, legasi dan gantian pendapatan.

Penukaran MRTA/T, MLTT

Walaupun menggunakan prinsip yang sama, skim MRTA (assurance) atau MRTT (takaful) ini berdasarkan jenis pinjaman. Jika anda menggunakan pinjaman konvensional, skim anda ialah MRTA. Jika kewangan islamik, skim MRTT.

MRTT boleh cover kedua-dua jenis pinjaman konvensional dan kewangan Islamik, manakala MRTA hanya boleh cover pinjaman konvensional . Kadang-kadang, MRTA/T ialah dalam term pendek, bukan sama dengan tempoh pinjaman. Kalau kena renew, boleh minta tukar menjadi MRTA atau MRTT atau dikekalkan. Untuk dijadikan MLTT pun dibenarkan dengan perlu tambahan sumbangan.

Semoga artikel ini membantu memberi sedikit kefahaman kepada mereka yang sedang mencari info mengenai MRTT dan MLTT ini.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh dikemukakan kepada Encik Rejaie Arbee di akaun Twitter beliau @rejaie atau boleh juga berhubungan di talian 016 6655304 serta alamat e-mel [email protected] Semoga anda menyukaia rtikel MRTA VS MLTA ini.

Jemput juga baca artikel tentang MRTA VS MLTA dan kepentingan insurans

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.