Jom ketahui dan belajar panduan fidyah.

Seperti yang semua ketahui, Allah S.W.T telah mewajibkan kepada semua orang Islam untuk berpuasa di bulan Ramadhan dan disempurnakan secara lansung bagi merek yang tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan bermusafir ataupun qadha’ atau ganti bagi yang tidak mampu menjalankan ibadah puasa. Qadha’ atau ganti puasa hendaklah dikerjakan bagi mereka yang memiliki keuzuran sewaktu Ramadhan sesudah Ramadhan berlalu.

Namun begitu, bagi orang Islam yang tidak lagi mampu untuk berpuasa seperti orang tersangat tua dan orang yang sakit yang sudah tidak ada harapan untuk sembuh, Allah S.W.T telah memberikan keringanan. Keringanan yang dimaksudkan adalah dengan cara mereka memberi makan kepada orang fakir dan miskin sebagai ganti puasanya.

Allah S.W.T telah berfirman di dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-184 yang membawa maksud;

“(Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang (tidak terdaya untuk berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T dengan jelas menyatakan bahawa orang yang tidak mampu lagi untuk berpuasa perlu membayar fidyah dengan cara memberi makan kepada seorang miskin.

Imam al-Bukhari juga telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Abbas yang membawa maksud;

“Ibnu Abbas membaca ayat ‘Dan wajib atas orang-orang yang tidak mampu menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) untuk membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.’ [al-Baqarah, 184]. Lalu Ibnu Abbas berkata, ayat ini tidak menghapuskan atau memansuhkan hukum berpuasa, namun untuk orang-orang yang tua dan orang-orang yang tidak berdaya kerana sakit yang dialami yang menyebabkan tidak mampu berpuasa (di bulan Ramadhan), diwajibkan untuk mereka membayar fidyah kepada seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan (tidak berpuasa).”

Dalam hadis di atas juga turut dijelaskan bahawa fidyah itu wajib untuk orang yang tidak berpuasa kerana tidak mampu untuk berpuasa. Justeru dalam erti kata lain, fidyah merupakan denda ke atas seseorang yang bernama Islam kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab yang tertentu ataupun sengaja melewatkan qadha’ atau ganti puasa bulan Ramadhan.

Golongan Yang Wajib Fidyah

Ulama’ telah bersepakat bahawa golongan yang wajib membayar fidyah terbahagi kepada dua. Di dalam dua kumpulan ini satu kumpulan hanya diwajibkan membayar fidyah, manakala satu kumpulan lagi perlu membayar fidyah dan juga menggantikan puasa.

Kumpulan yang pertama adalah mereka yang mengalami penyakit kritikal yang menyebabkan mereka tidak mampu berpuasa. Sakit yang dihadapi mereka juga mempunyai harapan untuk sembuh yang tipis. Selain itu, orang-orang tua yang sangat lemah juga tergolong dalam kumpulan ini. Bagi kumpulan ini, mereka hanya wajib membayar fidyah.

Kumpulan kedua dan kumpulan yang perlu membayar fidyah dan menggantikan puasa terdiri daripada wanita hamil atau menyusu kerana bimbang dengan kesihatan diri sendiri dan anak yang disusui atau dalam kandungan dan juga orang-orang yang gagal menggantikan puasa Ramadhan tahun sebelumnya sebelum Ramadhan pada tahun berikutnya.

Imej via iLabur

Kadar Bayaran Fidyah

Kadar bayaran fidyah dikira berdasarkan kadar harga makanan asasi penduduk seperti gandum dan beras. Bagi Malaysia, makanan asasinya adalah beras, maka kadar bayaran fidyah adalah berdasarkan kadar harga beras. Kadar bayaran fidyah juga mungkin berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat.

Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kadar bayaran fidyah adalah sebanyak RM4.00. Ianya ditentukan berdasarkan kepada harga satu gantang gandum iaitu sebanyak RM3.00. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, maka ditambah tambahan RM1.00 menjadikan kadar bayaran fidyah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah RM4.00.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah menetapkan konsep gandaan dalam penentuan bayaran fidyah. Gandaan ini diguna pakai apabila seseorang yang meninggalkan puasa dan gagal menggantikan puasa tersebut. Namun begitu, penggandaan bayaran fidyah ini hanya dikenakan ke atas orang yang berkemampuan untuk berpuasa sahaja.

Konsep gandaan atau tahun gandaan ini bermaksud bilangan tahun puasa itu telah ditinggalkan tanpa diganti kemudian ditolak satu tahun kerana tahun pertama adalah tahun dibenarkan atau diwajibkan menggantikan puasa. Ini kerana, fidyah hanya akan dikenakan setelah tiba Ramadhan yang baharu tetapi puasa Ramadhan tahun sebelumnya masih belum berganti.

Penetapan kadar bayaran fidyah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini adalah berdasarkan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 pada 30 Mei 2017 yang mana mesyuarat ini telah membincangkan tentan penambahbaikan pelaksanaan fidyah dan kaffarah di bahagian baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Anda boleh merujuk kepada perbadanan atau lembaga zakat di negeri-negeri anda untuk mendapatkan kadar bayaran fidyah kerana kadarnya mungkin berubah-ubah mengikut penetapan oleh pemerintah di negeri anda.

Cara Pengiraan Fidyah

Sebagai contoh pengiraan fidyah, kita akan mengikuti kaedah dan kadar pengiraan dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, terdapat dua cara pengiraan fidyah.

Cara 1

Bilangan hari tidak berpuasa X kadar fidyah (RM4.00)

Sebagai contoh, Encik Ahmad telah meninggalkan puasa sebanyak 4 hari, maka;

4 hari tidak berpuasa X RM4.00,

oleh itu, jumlah fidyah yang perlu dibayar adalah sebanyak RM16.00.

Cara 2.1

[Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan – satu tahun)] X kadar fidyah (RM4.00).

Sebagai contoh Puan Bella tidak berpuasa selama 7 hari pada bulan Ramadhan 1434H dan gagal menggantikan puasa tersebut sehingga tahun 1436H, oleh itu Puan Bella gagal menggantikan puasa untuk tempoh 2 tahun. Maka;

[7 hari tidak berpuasa X (2 tahun -1 tahun)] X RM4.00, oleh itu jumlah bayaran fidyah yang perlu dijelaskan oleh Puan Bella adalah sebanyak RM28.00.

Cara 2.2

[Bilangan hari tidak berpuasa X (Tahun gandaan – satu tahun)] X kadar fidyah

Sebagai contoh, Puan Fatin tidak berpuasa selama 10 hari pada Ramadhan 1434H dan masih tidak menggantikan puasa tersebut sehingga tahun 1437H. Ini bermakna Puan Fatin gagal menggantikan puasa tersebut untuk tempoh 3 tahun. Maka;

[10 hari tidak berpuasa X (3 tahun – 1 tahun)] X RM4.00. Oleh itu, Puan Fatin perlu membayar fidyah sebanyak RM80.00.

Jemput juga baca tentang asnaf zakat dan zakat perniagaan

Rujukan

Penulis: safwanrazali

safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.