Jom fahami kisah Mahsuri, lagenda pulau Langkawi.

Mahsuri. Sebut sahaja perkataan ini pastinya anda akan teringatkan Pulau Langkawi serta lagenda Mahsuri yang berdarah putih. Tak lupa juga sumpah ke atas Pulau Langkawi agar menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan. Pada hari ini Pulau Langkawi semakin berkembang pesat dan menjadi tarikan utama pelancong bukan sahaja dari dalam Malaysia malah ramai pelancong dari luar negara yang suka berkunjung ke sana.

Di sebalik kemajuan dan kemakmuran Pulau langkawi pada hari ini, kisah lagenda Mahsuri tetap meniti dari mulut ke mulut. Malah Makam Mahsuri merupakan salah satu daya tarikan pelancongan yang popular di sana. Istimewa untuk anda hari ini kami akan kongsikan info tentang leganda kisah Mahsuri Pulau Langkawi ( mitos dan fakta ).

Sumber: Iluminasi

Siapakah Mahsuri?

Mahsuri merupakan seorang gadis yang dilahirkan di kampung Ulu Melaka, Pulau Langkawi pada penghujung kurun ke18.  Bapanya bernama Pandak Mayah sementara ibunya bernama Endah Alang Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi. Ibu bapa Mahsuri berhijrah ke Pulau Langkawi dari Kampung Kemala, Phuket, Thailand.

Setiba di Pulau Langkawi, mereka berdua bekerja sebagai petani dan pencari rotan. Lama-kelamaan hidup mereka semakin senang dan mampu membeli tanah sawah yang luas. Hidup mereka semakin mewah setelah keluarga ini menceburkan diri dalam bidang perniagaan kemeyan dan sarang burung.

Sejak kanak-kanak lagi Mahsuri telah menunjukkan ciri-ciri luar biasa dimana dia tidak seperti kanak-kanak yang lain. Mahsuri sering memakai pakaian berwarna hitam iaitu warna kegemarannya. Mahsuri memiliki wajah yang cantik dan penuh sopan santun.

Apabila dewasa ciri-ciri kewanitaan Mahsuri semakin terserlah sehingga menjadi buah mulut seluruh penduduk Pulau Langkawi. Kisah tentang Mahsuri akhirnya sampai ke telinga Wan Yahya atau Dato Pekermajaya iaitu wakil sultan untuk memerintah Langkawi pada masa tersebut. Mahsuri dikahwinkan dengan Wan Derus, iaitu adik kepada Wan Yahya.

Fitnah ke atas Mahsuri

Kedah dan Siam berperang lalu Wan Derus keluar untuk berperang meninggalkan Mahsuri yang sedang mengandung. Mahsuri tinggal bersama ibu bapanya. Waktu itu juga Deramang iaitu seorang penyair dari Indonesia singgah di Pulau Langkawi dan ditumpangkan di rumah ibu bapa Mahsuri. Kepandaian Deramang dalam bersyair sekali lagi menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah lalu menyebabkan Wan Mahura iaitu kakak ipar Mahsuri berasa cemburu. Apabila Mahsuri melahirkan anaknya, Wan Mahura menuduh Mahsuri berzina dengan Deramang hingga melahirkan anak.

Wan Yahya yang dihasut oleh isterinya terus menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Mahsuri tanpa menunggu kepulangan adiknya dari medan perang. Mahsuri dan Deramang dibawa ke Padang Matsirat untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat pada batang pokok dan ditikam dengan tombak namun tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akhirnya Mahsuri menyuruh mereka mengambil keris yang berada di alang rumahnya. Mahsuri mati ditikam dengan keris tersebut dan darah yang keluar berwarna putih.

Sumber: Makemytrip

Sumpahan Mahsuri

Di penghujung nyawanya Mahsuri menyebut bahawa beliau tidak menghalalkan darahnya yang tumpah ke bumi Langkawi. Mahsuri berterusan mengetakan bahawa beliau adalah mangsa fitnah dan menyumpah Pulau Langkawi agar menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan sebagai bukti bahawa beliau difitnah. Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang ke Pulau Langkawi selepas kalah dalam peperangan melawan Siam. Kecewa dengan berita kematian isterinya, Wan Derus membawa anaknya Wan Hakim keluar dari Pulau Langkawi.

Tidak lama kemudian tentera Siam menyerang Pulau Langkawi. Pulau Langkawi musnah dalam sekelip mata. Wan Yahya cuba melarikan diri  bersama orang kuatnya Panglima Hitam namun berjaya ditangkap oleh tentera Siam. Wan Yahya diseksa dan dibunuh dengan kejam. Isterinya Wan Mahura yang menfitnah Mahsuri telah diseksa dan dirogol sehingga mati oleh tentera siam.

Anak mereka Wan Muhamad Ali pulang ke Pulau Langkawi dan berjaya menumpaskan tentera Siam. Akhirnya beliau dilantik sebagai pengganti ayahnya namun sejak itu Pulau Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur. Pulau Langkawi tidak berjaya dimajukan semula akibat masalah jenayah di kalangan penduduk dan serangan lanun yang tidak dapat dikawal.

Maka benarlah mungkin bahawa Mahsuri adalah mangsa fitnah semata-mata dan sumpahan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi berterusan selama tujuh keturunan seperti yang disebut oleh Mahsuri pada panghujung hayatnya.

Pulau Langkawi pada hari ini

Sebelum tahun 1980-an, Pulau Langkawi sangat gersang sehinggakan lebih banyak kerbau daripada penduduk di sana. Semasa Tunku Abdul rahman bertugas sebagai Pegawai Daerah di Pulau Langkawi, beliau berjaya menjejak kubur Mahsuri lalu dibina tanda sebagai Makam Mahsuri. Sehingga hari ni Makam Mahsuri boleh dilawat oleh pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi.

Pada tahun 80-an Pulau Langkawi mula makmur semula dan pada masa itulah keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Wan Aishah Wan Nawawi dilahirkan di Kampung Kemala, Phuket, Thailand iaitu kampung asal ibu bapa Mahsuri. Pulau Langkawi semakin berkembang pesat sejak diwartakan sebagai pusat pelancongan dan jualan bebas dan ditambah lagi denganm pertunjukan LIMA yang diadakan setiap tahun di sana.

Adalah dipercayai bahawa pada hari ini sumpahan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi sudah berakhir dan hari ini Pulau Langkawi semakin makmur. Itulah dia info tentang leganda kisah Mahsuri Pulau Langkawi ( mitos dan fakta )yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang sejarah penubuhan Tabung Haji

Rujukan:

1. Mahsuri. Wikipedia

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.