Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck merupakan filem yang diadaptasi dari sebuah novel yang ditulis oleh Hamka. Ia adalah sebuah kisah cinta yang pastinya memberikan kesan kepada para penonton dan pembaca. Jika anda belum pernah membaca novel atau menonton filemnya pasti anda ingin tahu apakah sinopsisnya. Dan dalam masa yang sama pasti anda tertanya-tanya sama ada adakah ianya kisah benar atau sekadar rekaan Hamka?

Adakah ianya sebuah kisah benar?

Sumber: Justwatch

Tidak. Ia adalah sebuah novel karya Hamka namun penulisan novel ini adalah berdasarkan konflik yang sedang berlaku pada zaman berkenaan di mana wujudnya diskriminasi terhadap orang yang bercampur-bangsa dalam kalangan masyarakat Minang pada masa itu.  Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah berkisar tentang kegagalan percintaan antara Zainuddin yang merupakan seorang lelaki kacukan dan Hayati yang merupakan seorang wanita Minang tulen.  Selain berkisar tentang kisah percintaan mereka yang penuh dengan halangan, ia juga adalah sebuah kritikan sosial tentang isu taksub dengan adab.

Sinopsis Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Novel ini menceritakan tentang Zainuddin yang berlatar belakangkan ibu Bugis-Mengkasar dan bapanya yang merupakan orang Minangkabau. Selepas meninggal sahaja kedua ibu bapanya semasa dalam buangan sebagai hukuman membunuh, Zainuddin yang yatim piatu telah dibesarkan oleh penjaganya yang dipanggi Mamak di Batipuh, Sumatra. Sebagai seorang yang berketurunan campuran, Zainudin menghadapi banyak diskriminasi daripada kaum Minang yang konservatif.

Apabila meningkat dewasa, Zainuddin bercadang untuk kembali ke tanah asal bapanya untuk mencari asal-usul dan keturunannya. Walaupun ditentang keras oleh Mamaknya, Zainuddin tetap berdegil dan pulang ke Padang Panjang. Kepulangan Zainudin disambut baik namun tidak diterima dengan sepenuhnya memandangkan adat Minangkabau lebih mementingkan belah perempuan dan  ibu Zainuddin pula adalah daripada keturunan Bugis, bukannya Minang.

Zainudin kecewa dengan penerimaan ahli keluarganya namun dalam masa yang sama dia bertemu Hayati iaitu seorang gadis yang berpelajaran agama dan baik budi pekertinya. Mereka berkawan dan Zainudin meluahkan rasa cinta kepada Hayati. Asalnya Hayati menolak namun akhirnya tak mampu untuk menipu diri sendiri. Mereka saling mencintai. Malangnya sebaik sahaja berita percintaan mereka sampai ke telinga ayah Hayati, masalah bermula.

Cinta mereka terhalang. Hayati dikurung dalam rumah dan Zainudin diminta untuk keluar dari Padang Panjang.Zainudin pulang ke rumah Mamaknya selepas dia dan Hayati berikrar untuk tetap bersama walaupun jasad mereka terpisah jauh. Mereka terus berutus surat. Satu hari Hayati datang ke Batipuh untuk menemui sahabat karibnya Khadijah.

Sumber: Shopee

Semasa di Batipuh, Hayati mengalami kejutan budaya akibat pengaruh Khadijah yang moden dan hidup dengan cara barat. Akhirnya, Zainuddin dan Hayati ditemukan semula dalam sebuah pesta. Sayangnya Zainuddin diperkecilkan oleh Khadijah kerana sifat kekampungannya. Lebih malang lagi Hayati termakan dengan kata-kata Khadijah dan mula percaya bahawa cinta memerlukan wang. Cinta sahaja tidak cukup. Sedangkan itu adalah pegangan Zainudin.

Khadijah berhajat untuk menjadikan Hayati sebagai kakak iparnya iaitu isteri kepada abangnya yang bernama Aziz. Aziz juga tertarik dengan kecantikan Hayati. Rombongan meminang dihantar ke Padang Panjang namun dalam masa yang sama Zainuddin juga masuk meminang Hayati, namun pinangannya dihantar menerusi surat. Pinangan Aziz diterima kerana dia mempunyai wang dan datang dari keturunan yang baik serta meminang dengan cara penuh beradat.

Hayati bersetuju dengan pilihan ayahnya namun Zainudin patah hati sehingga mengalami gangguan psikologi dan kesihatan fizikal. Badanya mula susut dan dia kemudiannya jatuh sakit. Namun akhirnya Zainudin bangkit dan mula mengejar cita-citanya untuk menjadi seniman. Ditemani oleh Muluk, anak kepada wanita yang menumpangkan Zainuddin semasa sakit, mereka berpindah ke Jakarta.

Di Jakarta Zainuddin berjaya menempa nama sebagai seorang seniman yang berjaya dalam bidang penulisan dan pementasan. Kemudian Zainudin berpindah ke Surabaya untuk membuka syarikat sendiri. Ditakdirkan tuhan, Aziz dan Hayati juga berpindah ke Jakarta dan mereka bertemu kembali. Mereka berkawan semula dan perasaan lama mula berputik.

Aziz pula kaki perempuan dan suka berjudi sehingga pada satu hari Aziz meminjam wang daripada Zainuddin akibat kehabisan duit. Kemudiannya Aziz membunuh diri akibat tekanan hidup rasa kecewa dengan diri sendiri kerana gagal melunaskan tanggungjawabnya kepada Hayati. Pada waktu itu Zainudin tidak berada bersama Hayati. Dia minta Hayati datang ke pangkuannya, dan keesokan harinya Hayati menaiki Kapal Van Der Wijck untuk bersatu kembali dengan Zainudin.

Malangnya, kapal tersebut tenggelam di luar pantai utara Jawa. Zainuddin bertemu Hayati di hospital namun Hayati meninggal dunia didalam pangkuannya. Zainudin patah hati dan kesihatannya mula menurun. Zainudin jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Jasadnya dikebumukan disebelah pusara Hayati. Ia adalah sebuah kisah cinta yang agung namun berkahir dengan tragis.

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dianggap sebagai sebuah karya terbaik yang pernah dihasilkan oleh Hamka. Ia padat dengan kisah cinta dan kritikan budaya yang sangat diperlukan pada masa tersebut. Menarik bukan. Bolehlah anda dapatkan novel ini atau boleh juga menonton filemnya.

Itulah dia info  tentang Tenggelamnya kapal Van Der Wijck kisah benar sebenarnya (serta sipnosis) yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang kata-kata Buya Hamka.

Rujukan:

  1. Wikipedia
  2. Sukriyusoff
Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.