Jom baca sebab buat pinjaman peribadi serta keburukan pinjaman peribadi yang mungkin kita tidak sedar.

Pinjaman peribadi ialah pinjaman yang dibuat kepada pihak peminjam seperti pihak bank atau syarikat peminjaman wang berlesen di mana tujuan peminjaman tidak perlu dimaklumkan.

Jika dibandingkan dengan pinjaman lain seperti pinjaman perumahan, pinjaman perniagaan dan sebagainya, pinjaman peribadi merupakan jenis pinjaman yang paling mudah diluluskan tanpa perlu meletak cagaran atau menyediakan penjamin.

Syarat Kelayakan Peminjam

Antara kriteria peminjam yang membolehkannya mendapat kelulusan peminjaman peribadi adalah seperti berikut:

  • Berumur melebihi 21 tahun (namun syarat ini berbeza mengikut bank– sesetengah bank menerima pemohon pinjaman yang berumur 18 tahun atau lebih)
  • Warganegara Malaysia atau mempunyai status penduduk tetap (PR)
  • Mempunyai akaun bank yang masih aktif
  • Mempunyai pendapatan tetap / gaji, atau bekerja sendiri dengan penyata pendapatan yang stabil bagi tempoh 2 tahun

Tujuan Pinjaman Peribadi Dilakukan

Duit pinjaman ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan bergantung kepada kehendak peminjam itu sendiri. Berikut merupakan antara faktor yang popular tujuan pinjaman peribadi dilakukan:

1. Rawatan Perubatan

Adakah anda pernah fikir tentang pembayaran kos perubatan kecemasan? Sebagai contohnya, jika anda dijangkiti penyakit yang tidak dapat dijangka dan diramalkan, atau mengalami kemalangan dan kecelakaan yang tidak disengajakan, ia memerlukan kos perubatan yang tinggi untuk merawat dan anda mungkin susah untuk membayar kos perubatan yang tinggi itu.

Pinjaman peribadi merupakan salah satu cara terbaik untuk menguruskan hal kecemasan ini. Lebih-lebih lagi sekiranya anda tidak mempunyai insurans perlindungan, wang pinjaman ini boleh digunakan untuk membiayai bil hospital dan pembiayaan harian sementara sembuh.

Sekiranya ada dilindungi pakej insurans sekalipun, pinjaman peribadi yang dilakukan boleh digunakan untuk kegunaan lain sementara tempoh rawatan untuk pembiayaan tempat tinggal penjaga orang sakit, ubatan luar, makan minum dan sebagainya.

2. Kos Pengubahsuaian Rumah

Ramai antara kita yang ingin mengubah suai rumah dari segi hiasan dalaman atau tambahan bahagian rumah seperti bilik tambahan, beranda, dapur dan garaj yang lebih selesa. Walau bagaimanapun, bukan semua orang layak memohon pinjaman pengubahsuaian kerana kebanyakan pinjaman pengubahsuaian datang sebagai sebuah pakej bersama-sama dengan pinjaman perumahan.

Secara umumnya, nilai pinjaman peribadi adalah lebih rendah berbanding pinjaman perumahan. Pinjaman peribadi untuk urusan pengubahsuian rumah ini pula boleh dilakukan pada bila-bila masa yang anda ingin lakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor seperti kedudukan kewangan yang sudah mula stabil dan keperluan untuk melakukan pengubahsuaian dalam kadar yang segera.

3. Penyatuan Hutang

Salah satu sebab yang paling popular untuk mengambil pinjaman peribadi adalah untuk menyatukan semua hutang sedia ada sebagai satu hutang sahaja. Hutang daripada kad kredit, pinjaman peribadi dan overdraf dari bank akaun akan bertambaha apabila anda  perlu membayar kadar faedah bagi kesemuanya.

Anda juga perlu sentiasa peka dengan tempoh bayaran bagi setiap hutang tersebut pada masa yang telah ditetapkan.

Penyatuan hutang boleh membantu anda menjimatkan kos kadar faedah dan rancangan yang lebih baik dengan membayar balik jumlah hutang pada satu jumlah yang lebih kecil.

4. Perkahwinan

Perancangan perkahwinan yang sempurna kadang kali merupakan tugas yang amat membebankan situasi kewangan anda.Kadang kala, perkahwinan tertangguh hanya disebabkan oleh duit hantaran atau bayaran kepada pihak perancang perkahwinan yang masih belum mencukupi, sedangkan persiapan lain telah lama selesai dibuat.

Adakah mengambil pinjaman peribadi untuk membayar kos perkahwinan adalah satu keputusan yang bijak? Tepuk dada tanya selera kerana dalam situasi yang tertentu, pinjaman peribadi dapat mempercepatkan tarikh perkahwinan anda.

Selain itu,  jika pulangan perkahwinan dapat membantu membayar sebahagian kos perkahwinan, mengapa tidak?

5. Pendidikan

Melanjutkan pengajian untuk meningkatkan kualiti kerjaya atau peluang untuk naik pangkat merupakan langkah yang baik. Namun, sekiranya pinjaman pendidikan tidak diluluskan atau tidak mendapat cuti belajar bergaji, pinjaman peribadi merupakan pelaburan yang baik dilakukan untuk meneruskan cita-cita ini.

Selain itu, pinjaman peribadi ialah langkah yang praktikal untuk membayar  kos pendidikan dan perbelanjaan tambahan semasa anda belajar. Jadi lebih baik anda bekerja sepenuh masa sambil belajar daripada menangguhkan proses pelanjutan pendidikan. Dengan itu, anda masih boleh belajar sambil membayar balik setiap bulan.

6. Hiburan atau Kehendak

Seiring dengan perkembangan teknologi, pelbagai gajet seperti telefon pintar dihasilkan dengan spesifikasi yang sentiasa bertambah mantap. Namun, harga bagi gajet ini selalunya tidak masuk akal! Tidak mampu untuk dimiliki jika hanya berharapkan pada nilai gaji semasa dan simpanan.

Oleh itu, wang pinjaman ini membolehkan anda memiliki alatan teknologi yang canggih dan terkini. Berbanding skim bayaran ansuran yang disedikan oleh pihak Telco ataupun kredit ansuran, pinjaman peribadi merupakan pilihan yang lebih baik kerana lebihan pinjaman boleh digunakan untuk urusan lain.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan ini, sila berfikir masak-masak supaya berpegang kembali kepada kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Juga, jangan terlalu taksub untuk biar papa asal bergaya.

7. Simpanan atau Perlaburan

Dana pinjaman peribadi boleh digunakan untuk tujuan simpanan pendidikan atau pelaburan.

Menariknya, nilai dividen daripada hasil simpanan dan pelaburan ini boleh digunakan untuk membayar kembali komitmen bulanan pinjaman; bergantung kepada institusi pelaburan yang anda pilih.

Kesimpulan

Sebelum memohon pinjaman peribadi, adalah disyorkan untuk anda membandingkan pakej pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh beberapa bank supaya anda mendapat pinjaman peribadi yang paling sesuai untuk bajet dan situasi anda. Bandingkan peratus bunga pinjaman per tahun supaya anda tidak perlu terbeban untuk melangsaikannya.

Proses untuk mendapat pinjaman peribadi adalah cepat dan mudah bagi memperoleh jumlah tunai yang besar. Namun, hal ini terserah kepada anda sendiri untuk menguruskan wang pinjaman yang diperolehi bagi tujuan yang betul-betul anda perlukan. Kegagalan anda memberikan komitmen bayaran balik setiap bulan akan mendatangkan kesan yang buruk seperti diisytiharkan muflis.

Jemput juga baca artikel cara menyimpan duit gaji dan cara mudah untuk menabung

Rujukan

  1. https://loanstreet.com.my/ms/pusat-pembelajaran/5-sebab-yang-paling-popular-untuk-mengambil-pinjaman-peribadi
  2. https://ipinjamanperibadi.com.my/kelebihan-memohon-pinjaman-peribadi/

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.