Ramai rakyat Malaysia semakin celik mengenai betapa pentingnya pelaburan dalam kehidupan. Namun ada juga yang ramai yang teruja dengan skim-skim pelaburan yang ada sehingga lupa untuk mencari skim pelaburan yang halal dan patuh syariah. Ramai kurang tahu sekarang sudah banyak melabur saham patuh syariah di negara kita.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 278:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahwa ALLAH dan rasul-NYA akan memerangimu.”

Merujuk kepada firman ALLAH ini, jelas menunjukkan beratnya ancaman daripada ALLAH berkenaan riba. Justeru, sebagai Muslim, adalah wajib mencari pelaburan yang patuh syariah dan meninggalkan riba demi mencari keberkatan.

Melabur Saham Patuh Syariah

Sumber Pixabay

Kita di Malaysia beruntung kerana mempunyai Majlis Penasihat Syariah (MPS) di Suruhanjaya Sekuriti. MPS telah diberi mandat untuk membuat penyaringan saham-saham yang tersenarai di pasaran saham.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merupakan badan yang berautoriti dalam mengawal selia dan menentukan status patuh Syariah bagi setiap kaunter yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Ahli-ahli yang dilantik dalam MPS adalah mereka yang bertanggungjawab untuk menilai dan memeriksa setiap kaunter-kaunter syarikat yang tersenarai sebagai patuh Syariah atau sebaliknya.

Penilaian tersebut dibuat berdasarkan kepada ‘Penilaian Aktiviti Perniagaan Syarikat’, ‘Penilaian Ratio Kewangan’ serta ‘Penilaian Kualitatif’.

Senarai saham patuh syariah diterbitkan kepada orang ramai dua kali setahun iaitu pada akhir Mei dan November.

Cara Melabur Saham Patuh Syariah

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, untuk melabur saham patuh syariah perlu dipastikan perkara berikut:

  1. Menggunakan khidmat broker yang patuh Syariah. Pelabur-pelabur memerlukan akaun CDS (Central Depository System) bagi membolehkan mereka memulakan langkah jual beli saham di BSKL. Akaun ini boleh dibuka di bank-bank pelaburan yang diperakui oleh Bank Negara. Setiap daripada mereka diberi pilihan untuk membuka akaun jenis Islamik atau konvensional dalam berurus niaga dalam pasaran. Oleh itu, pastikan pelabur memilih untuk membuka akaun jenis Islamik (patuh syariah) kerana akaun ini hanya menyenaraikan kaunter-kaunter yang mendapat pengiktirafan patuh Syariah oleh SC. Justeru, setiap urus niaga saham yang bakal berlaku hanyalah dalam kelompok kaunter Syariah sahaja.
  2. Pelabur membuka akaun CDS jenis konvensional, maka kaunter-kaunter Syariah ini akan dinyatakan simbol bulat (⁰) pada hujung nama kaunter tersebut. Simbul ini membezakan antara kaunter Syariah dengan kaunter non Syariah. Justeru, pelabur boleh memilih untuk membeli kaunter-kaunter yang dinyatakan ini.
  3. Kami cadangkan agar mempelajari dengan mendalam realiti pelaburan yang berlaku di BSKL melalui mereka yang benar-benar ahli ikhtisas dan berkeahlian. Pada saat yang sama, mempelajari dengan lebih mendalam permasalahan muamalat dalam Islam. Ia amat penting agar sentiasa selari dengan kehendak Syariah dan tidak menyeleweng atau tersasar yang dibimbangi membawa kepada tidak patuh Syariah.

Bagaimana Untuk Mengenali Produk Patuh Syariah Di Bursa Malaysia

Mesti ramai yang kurang mengenali produk patuh syariah di Bursa Malaysia. Sebenatrnya sebelum nak melabur saham patuh syariah ni kita mesti ada ilmu tentang perkara ini.

Sebelum itu kita perlu tahu tujuan pelaburan saham terlebih dahulu. Produk-produk pasaran saham secara amnya mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Pertama, Pertumbuhan Modal (‘growth-seeking’). Bagi memaksimumkan pertumbuhan modal. Namun pelaburan dibuat dalam saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang lebih tinggi.

Seterusnya, Pertumbuhan Terimbang (‘balanced-income growth’). Ini bertujuan untuk memaksimumkan pertumbuhan modal dalam jangka panjang. Dapat memberi pulangan dan sedikit pertumbuhan dengan risiko yang rendah.

Terakhir sekali Pendapatan Stabil (‘conservative – stable income’).  Ia adalah untuk mencapai tiga tujuan iaitu pendapatan, naik nilai sederhana dan pemeliharaan modal.

Kenali Instrumen Pelaburan Syariah di Bursa Malaysia-i

bursa malaysia i

Sumber : bursa malaysia i

Dalam membangunkan Pasaran Modal Islam, Bursa Malaysia turut menawarkan pelbagai instrumen pelaburan patuh Syariah yang tersenarai di dua papan dagangan saham iaitu Pasaran Utama (“Main Market”) dan Pasaran ACE (“ACE Market”).

Bursa Malaysia-i pula merupakan platform pelaburan patuh Syariah sepenuhnya yang pertama di dunia yang telah dilancarkan oleh Bursa Malaysia pada 5 September 2016. Platform ini menggabungkan keseluruhan rangkaian perkhidmatan bursa saham berlandaskan Syariah meliputi penyenaraian (‘listing’), dagangan (‘trading’), penjelasan (‘clearing’), penyelesaian (‘settlement’) dan depositori (‘depository’).

Pelancaran platform Bursa Malaysia-i ini bertujuan menawarkan perkhidmatan kepada pelabur yang ingin berurus niaga dalam produk patuh Syariah menerusi perkhidmatan berlandaskan Syariah sepenuhnya.

Langkah Bursa Malaysia memperkenalkan platform Bursa Malaysia-i ini adalah komitmen untuk menjadikan Bursa Malaysia sebagai sebuah hab pelaburan patuh Syariah di dunia yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam, sekaligus mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa. Ini dapat memperkukuhkan lagi kedudukan Bursa Malaysia sebagai peneraju pasaran global bagi penyenaraian dan pelaburan Syariah, terutamanya dalam pembangunan pasaran ekuiti Syariah.

Kecenderungan pemilihan pelaburan patuh Syariah dan urus niaga dalam produk dan perkhidmatan yang patuh Syariah oleh segelintir masyarakat telah mewujudkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk pasaran modal Islam. Platform Bursa Malaysia-i ini menjadi pelengkap kepada platform pelaburan konvensional yang sedia ada, dan dapat memenuhi permintaan pelabur yang hanya ingin berurus niaga dalam produk dan perkhidmatan pelaburan yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.

Terdapat permintaan dalam pelaburan patuh Syariah dan ini menjadi satu penanda aras kepada pasaran modal Islam yang semakin diterima ramai, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Platform Bursa Malaysia-i juga membolehkan data, transaksi dan prestasi keseluruhan pasaran Syariah dijejaki dan diawasi dengan lebih terperinci. Ini dapat mengukuhkan sumbangan keseluruhan aktiviti dan prestasi perkhidmatan pembrokeran patuh Syariah, meningkatkan pembangunan syarikat pembrokeran saham yang menawarkan perkhidmatan pembrokeran secara patuh Syariah, dan seterusnya, memberikan kesan positif kepada pengukuhan ekosistem industri pembrokeran saham negara.

Terdapat 4 instrumen di Bursa Malaysia-i

Saham Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Stock’ atau ‘i-Stock’)

i-Stock yang disenarai dan didagangkan di Bursa Malaysia memperolehi status patuh Syariah setelah melalui proses saringan yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Syariah (“MPS”) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”) dua kali setahun pada setiap bulan Mei dan November.

Dana Dagangan Bursa Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Exchange Traded Fund’ atau ‘i-ETF’)

i-ETF adalah dana penjejak indeks patuh Syariah yang tersenarai dan didagangkan di bursa saham seperti saham. i-ETF terdiri daripada kelompok aset patuh Syariah seperti saham atau pelaburan berpendapatan tetap menjadikannya berbeza daripada ETF. i-ETF distrukturkan sebagai satu unit amanah tetapi didagangkan di bursa saham dan nilai dagangan i-ETF ditentukan oleh permintaan dan penawaran pasaran. Seperti i-Stock, pelabur boleh berjual beli i-ETF melalui broker saham berlesen pada bila-bila masa sahaja sepanjang hari dagangan.

Amanah Pelaburan Hartanah Patuh Syariah (‘Shariah-compliant Real Estate Investment Trust’ atau ‘i-REIT’)

i-REIT adalah salah satu alternatif untuk melabur dalam sektor hartanah tanpa membeli hartanah secara fizikal. Ia merupakan skim pelaburan kolektif yang menggabungkan ciri-ciri terbaik hartanah dan unit amanah, di mana penyewa mengendalikan aktiviti yang dibenarkan mengikut prinsip Syariah. i–REIT adalah dana atau saham amanah yang memiliki dan menguruskan hartanah komersial yang menjana pendapatan seperti kompleks membeli-belah, hospital, perladangan hartanah perindustrian dan blok-blok pejabat. i-REIT disenaraikan di Bursa Malaysia dan didagangkan seperti saham.

Bon dan Sukuk Dagangan Bursa (‘Exchange Traded Bonds and Sukuk’ atau ‘ETBS’)

ETBS ialah sekuriti pendapatan tetap, juga dikenali sebagai bon atau sukuk, yang disenaraikan dan didagangkan di pasaran saham. Dahulunya, pasaran bon dan sukuk hanya boleh dilabur oleh pelabur institusi dan kategori pelabur bernilai tinggi. Kini dengan ETBS, semua pelabur boleh melabur dalam pasaran bon dan sukuk melalui pasaran saham.

Kesimpulan

Pelabur-pelabur Islam mestilah memastikan setiap kaunter yang dibeli adalah patuh Syariah. Dengan ilmu inilah pelaburan-pelaburan akan lebih berkeyakinan dalam tindakan urusniaga yang diambil.

Melabur saham patuh syariah ini bukan sahaja untuk keuntungan malah lebih kepada keberkatan.

Rujukan

Laman Sesawang Mufti Wilayah Persekutuan

Majalah Labur

Bursa Malaysia

 

 

Copy

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.