Wah, suri rumah tangga yang tidak bekerja kini boleh mencarum di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Jom baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan i-Suri KWSP online. Serta dikongsikan cara daftar i-suri KWSP.

Pengenalan

Jika sebelum ini, KWSP melibatkan mereka yang bekerja di sektor swasta atau mereka yang bekerja sendiri dan ingin membuat simpanan bulanan di KWSP bagi pengeluaran ketika mereka sudah pencen atau bersara.

Kini, atas inisiatif Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Azizah melancarkan satu skim simpanan KWSP buat para suri rumah tangga yang tidak bekerja bagi membantu sedikit-sebanyak perlindungan kewangan mereka pada masa akan datang.

Pengenalan KWSP

Imej via KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.

Hal ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik.

KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan.

KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan.

Oleh itu, kita dapat simpulkan di sini bahawa KSWP sangat memainkan peranan yang penting sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan semua rakyat Malaysia.

Pengenalan i-Suri

KWSP mengumumkan bahawa mulai 15 Ogos 2018, pendaftaran untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat, dan mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai i-Suri dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

Mudah, bukan?

Di samping itu, golongan suri rumah, balu dan ibu tunggal yang maklumat mereka didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka.

KWSP akan membuat tuntutan sumbangan kerajaan secara berkala berdasarkan caruman bagi separuh tahun tempoh pertama (Januari hingga Jun) dan separuh tahun tempoh kedua (Julai hingga Disember) pada setiap tahun. Wang sumbangan oleh kerajaan akan dikreditkan ke akaun ahli selepas KWSP menerimanya daripada Kerajaan. Sumbangan ini akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 ahli (Akaun Persaraan) dan Akaun 2.

i-Suri Sebagai Perlindungan Kewangan Suri Rumah

Inisiatif ini diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengiktiraf peranan dan perjuangan suri rumah dalam membantu mereka mempunyai kehidupan yang lebih dan sejahtera.

Kalau kita congak-congak, apabila anda terlibat dalam caruman i-Suri KWSP ini, katakan sekarang anda berumur 30 tahun, dan pengeluaran KWSP adalah pada usia 55 tahun,

nilai simpanan KWSP anda ialah (RM5 + RM40) X (25 x 12 bulan) = RM13 500!

Sebagaimana yang kita tahu, setiap tahun KWSP akan mengagihkan dividen dan nilai ini akan disimpan dan dilaburkan sehinggalah ke usia pengeluaran KSWP.

Anda boleh anggar sendiri berapa nilai simpanan KWSP yang bakal anda nikmati! Macam-macam boleh dibelanjakan untuk itu, kan?

Contohnya di usia 55 tahun, mungkin pada waktu itu anda berhajat untuk menunaikan umrah atau boleh gunakan untuk cukupkan duit simpanan haji. Selain itu, boleh gunakan untuk melancong dalam negara atau negara jiran berdekatan, modal perniagaan kecil-kecilan, ubah suai rumah atau sekadar buat belanja harian.

Selain itu, simpanan i-Suri KWSP ini mempunyai beberapa faedah yang perlu anda tahu!

Faedah Simpanan i-Suri

  1. Menerima sumbangan kerajaan sebanyak RM 200* pada tahun 2018, dan RM480 pada setiap tahun yang berikutnya. umbangan kerajaan ke dalam akaun KWSP sehingga RM200 kepada mereka yang layak bagi caruman untuk tempoh Ogos – Disember 2018. Bagi tahun berikutnya, jumlah sumbangan adalah sehingga RM480 setahun (tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan).
  2. Caruman dalam apa-apa amaun dan pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka dan masih boleh membuat pengeluaran mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
  3. Menerima dividen tahunan KWSP
  4. Pengeluaran pada umur 50, 55 atau 60
  5. Bantuan Kematian: RM2,500
  6. Bantuan Hilang Upaya

Siapa yang Boleh Mencarum dalam i-Suri?

  • Diri sendiri (isteri)
  • Suami kepada pasangan yang layak

Syarat-syarat Kelayakan

  • Warganegara Malaysia
  • Belum mencapai umur 60 tahun
  • Isteri kepada ketua isi rumah
  • Golongan suri rumah yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) setakat 30 Nov 2018
  • Mencarum sekurang-kurangnya RM5 sebulan atau RM60 setahun ke dalam akaun KWSP
  • Suri rumah hanya dibenarkan memilih satu (1) insentif sahaja pada satu masa. Jika anda telah mendaftar dengan Insentif Persaraan (i-Saraan), anda perlu membatalkannya dahulu sebelum membuat permohonan baru bagi i-Suri.

Cara dan Saluran Bayaran

  1. Perbankan internet melalui pemindahan wang secara elektronik
  2. Tunai atau cek di kaunter ejen bank seperti RHB, Maybank, Public Bank, BSN
  3. Tunai (maksimum RM500) /cek di semua kaunter KWSP Ibu Negeri termasuk KWSP Muar

Prosedur Pendaftaran

Muat turun siap-siap Borang i-Suri-KWSP 16G(M) yang boleh didapati di laman sesawang KWSP.

Kemudian, setelah isi dengan lengkap, bawa borang tersebut bersama MyKad ke mana-mana Pejabat KWSP yang berhampiran secara serahan tangan.

Kesimpulan

Menurut statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu, dan 28,116 ibu tunggal dari segmen masyarakat miskin tegar layak menerima insentif kerajaan setelah mendaftar untuk i-Suri.

Ayuh rebut peluang ini untuk persiapan di hari depan di samping melatih semangat menabung.

Tidak tahu siapa untuk dihubungi? Untuk maklumat lanjut mengenai eKasih, boleh hubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di 03-8000 8000, dan untuk penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Rujukan

  1. https://www.kwsp.gov.my

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.