Sedia maklum, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerima suntikan dana atau subsidi daripada kerajaan untuk mengurangkan kos yuran dan pengurusan.

Oleh sebab itu, kita dapat lihat perbezaan kos operasi yang sangat luas antara IPTA dan IPTS, terutamanya dari segi yuran pengajian dan kemudahan penginapan pelajar.

Itu yang boleh kita lihat secara jelas.

Hakikatnya, apabila berlaku pengurangan bajet peruntukan untuk universiti awam tempatan, hal ini memberi kesan kepada pengendalian sesebuah universiti.

Artikel ini akan cuba mengkaji dan menyenaraikan kesan pengurangan bajet ke atas universiti awam di Malaysia.

Pengenalan

Sehingga kini, terdapat lebih 20 universiti awam yang menerima peruntukan dari kerajaan bagi membantu melicinkan pentadbiran dan pengurusan masing-masing.

5 daripadanya ialah universiti penyelidikan (research university, RU) yang dipertanggungjawabkan untuk memajukan ilmu pengetahuan dan pembelajaran melalui penyelidikan dan pendidikan berkualiti untuk negara dan kemanusiaan.

Senarai 5 RU tersebut ialah

  1. Universiti Malaya (UM)
  2. Universiti Sains Malaysia (USM)
  3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  4. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Manakala universiti awam yang lain berperanan sebagai platform melahirkan graduan yang berketerampilan dan berkualiti dalam pelbagai bidang di Malaysia.

Kebiasaannya, bajet untuk universiti-universiti ini adalah lebih rendah berbanding peruntukan untuk RU disebabkan beban tugas penyelidikan yang lebih rendah.

Senarai universiti bukan penyelidikan atau universiti pengajaran ini adalah seperti berikut:

  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Universiti Utara Malaysia (UUM)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Universiti Malaysia Sabah (UMS)
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
  • Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  • Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
  • Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA)
  • Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Trend Bajet bagi Universiti Awam

Imej via iLabur

Sektor pendidikan merupakan antara sektor yang penting negara kerana melaluinya, sumber manusia dan modal insan dilahirkan bagi meneruskan legasi pembangunan negara.

Tidak menghairankan sekiranya bajet untuk sektor pendidikan sentiasa menjadi tumpuan setiap kali Belanjawan Negara dibentangkan.

Untuk rekod, bagi Belanjawan 2020 yang diumumkan pada tahun lepas, bidang pendidikan secara keseluruhan menerima peruntukan terbanyak, iaitu RM64.1 billion, peningkatan sebanyak RM3.9 bilion daripada tahun sebelumnya.

Peruntukan untuk universiti awam masih samar bagi tahun 2020 berdasarkan pengumuman Belanjawan 2020 tersebut.

Namun, mengikut trend dan nilai peruntukan, dijangka suntikan dana untuk universiti awam meningkat. Pada tahun 2018, peruntukan sebanyak RM8.1 bilion disediakan oleh kerajaan untuk sektor pengajian tinggi (universiti, kolej komuniti, politeknik, hospital pengajaran, manakala pada 2019, nilainya meningkat kepada RM8.3 bilion.

Data untuk tahun 2016 dan 2017 bagi peruntukan untuk universiti awam sahaja, masing-masing ialah RM1.671 bilion dan RM1.670 bilion.

Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan tanpa mengira parti pemerintah, mereka memberi tumpuan kepada bajet untuk universiti awam.

Walau bagaimanapun, agigah peruntukan mengikut universiti pula berubah-ubah pada setiap kali belanjawan; mungkin kita dengar peruntukan untuk universiti awam meningkat, tetapi agihannya mungkin berkurangan bagi tahun ini berbanding tahun lepas untuk universiti A dan sebaliknya bagi universiti B.

Oleh itu, artikel ini melanjutkan lagi kupasan umum berkenaan kesan pengurangan bajet ke atas nasib yang dialami oleh sesebuah universiti awam.

Kesan Pengurangan Bajet ke atas Universiti

Universiti awam mempunyai yuran pengajian yang agak murah dan berpatutan, sesuai dengan status sebagai kemudahan pendidikan awam.

Berbeza dengan pusat pengajian swasta yang menjadikan yuran pengajian sebagai sumber pendapatan utama, universiti awam memang bergantung penuh terhadap peruntukan kerajaan untuk beroperasi.

Berikut ialah kesan yang boleh dilihat apabila berlakunya pengurangan bajet universiti:

#1 Pemotongan kos pentadbiran

Perbelanjaan pentadbiran melibatkan bayaran upah, penyelenggaraan, kos operasi terpaksa dikurangkan. Hal ini sedikit sebanyak mengganggu kelancaran operasi, seterusnya menyebabkan sistem pentadbiran yang tidak efisyen.

#2 Pengurangan subsidi makanan

Apabila subsidi makanan dikurangkan, harga jualan di kafetaria akan meningkat sebagaiman harga jualan pasaran di luar.

Hal ini memberi kesan ke atas mahasiswa yang tidak mempunyai pendapatan dan hanya bergantung harap kepada pinjaman pendidikan dan nilai biasiswa yang cukup-cukup makan.

Kebajikan mahasiswa akan terjejas dan mengakibatkan prestasi yang kurang memberangsangkan, terutamanya buat mereka yang datang dari keluarga B40.

#3 Penyelidikan yang kurang bermutu

Impak yang jelas boleh dilihat ke atas penyelidikan yang terbatas disebabkan kekangan peruntukan geran.

Sekiranya kita bandingkan dengan penyelidikan universiti luar, mereka mempunyai nilai geran yang besar untuk menjalankan kajian dengan baik.

Bagi kajian sains dan teknologi, kos analisis dan bahan kimia adalah sangat tinggi dan tidak berpadanan jika mendapat nilai geran yang kecil. Kesannya, idea penyelidikan menjadi terhad dan tidak mencapai tahap novelti yang tinggi.

Penerbitan daripada penyelidikan ini sangat penting bagi menentukan kedudukan universiti di tangga dunia. Bagaimana mahu hasilkan penerbitan berimpak tinggi, jika hasil penyelidikan tidak bertaraf dunia?

#4 Bilangan pasca siswazah yang menurun

Selain penyelidikan yang terhad, nilai geran yang rendah akan mengurangkan kebarangkalian pengambilan pelajar pasca siswazah yang baru.

Ada dilaporkan, pensyarah univerisiti sendiri yang menjalankan kajian yang sepatutnya bertugas sebagai penyelia, disebabkan kekurangan dana untuk menggaji pelajar pasca siswazah.

Apabila penyertaan pelajar pasca siswazah menurun, negara akan mengalami kerugian dari segi bilangan penghasilan pakar dalam negara.

#5 Kehilangan pakar

Ahli akademik yang berstatus profesor di universiti merupakan pakar bagi sesuatu bidang dan menjadi tonggak penting.

Antara kesan pengurangan bajet ialah, ketidakmampuan universiti untuk menyambung kontrak pakar-pakar ini.

Hal ini adalah sesuatu yang sangat merugikan, kerana mereka boleh bertindak sebagai penggerak atau penasihat akademik yang cemerlang di fakulti, selain berperanan sebagai mentor kepada pensyarah-pensyarah yang baru mula bertapak.

Kesimpulan

Pendidikan tertiari atau pengajian tinggi ini merupakan sektor yang sangat penting bagi melahirkan graduan yang akan berbakti kepada negara. Selain itu, universiti merupakan hub ilmu yang penting dalam menjalankan penyelidikan untuk manfaat bersama.

Peruntukan daripada kerajaan kepada universiti awam merupakan nadi utama penggerak sesebuah universiti.

Diharapkan suntikan dana ini akan terus disalurkan dengan kadar yang mencukupi untuk menjadikan universiti awam kita cekap dalam mengurus dan beroperasi dengan baik.

Pengurangan bajet hanya akan memberi kesan yang negatif.

Rujukan

  1. https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/10/616641/pendidikan-terima-peruntukan-tertinggi
  2. Varghese, N. V. (2001). Impact of the economic crisis on higher education in East Asia: An overview. Impact of the economic crisis on higher education in East Asia: Country experiences, 23-60.
  3. Zusman, A. (2005). Challenges facing higher education in the twenty-first century. American higher education in the twenty-first century: Social, political, and economic challenges, 2, 115-160.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.