Tahap pendidikan rendah sering dikaitkan dengan masyarakat di kawasan luar bandar. Ini kerana masyarakat luar bandar mempunyai kekangan dalam aspek mendapatkan ilmu pendidikan, peluang pekerjaan dan memperoleh pendapatan tinggi.

Selain itu, faktor kemiskinan keluarga juga merupakan punca anak-anak tercicir daripada pelajaran kerana ibu bapa tidak mampu menyediakan kemudahan pembelajaran yang selesa.

Ayuh baca artikel ini untuk lebih mendalami situasi ini apabila tahap kemiskinan mempengaruhi tahap pendidikan anak-anak.

Pengenalan

Umumnya, terdapat kebenaran yang membuktikan bahawa golongan masyarakat luar bandar mempunyai masalah kemiskinan, tahap pendidikan rendah, kurang peluang pekerjaan dan perolehan pendapatan yang rendah.

Semua isu sosial seperti

  • kurangnya aspek pendidikan
  • kekurangan aspek kesihatan
  • tidak mempunyai peluang pekerjaan

adalah antara isu yang sering dikaitkan dengan golongan masyarakat ini.

Kemiskinan bukan hanya terbatas kepada maksud ketaksamaan pendapatan serta pendapatan yang rendah tetapi termasuk dengan tahap pendidikan yang kurang, tahap kesihatan yang kurang baik, dan jangka hayat yang rendah.

Jurang Bandar vs Luar Bandar

Imej via iLabur

Peningkatan kadar kenal huruf, perbandaran, pendapatan, jangka hayat dan sebagainya dikenal pasti dapat membantu mengatasi masalah kemiskinan. Justeru hubungan antara kemiskinan dan pendidikan yang sering dikaitkan dengan satu sistem putaran ganas ada rasional dan implikasinya.

Ini adalah kerana pendidikan ibu bapa yang rendah cenderung menyebabkan pencapaian pendidikan turut rendah dalam kalangan anak mereka dan kesan insiden kemiskinan akan mewujudkan persekitaran yang tidak menggalakkan pembelajaran, seperti suasana kebisingan serta terpaksa membantu pekerjaan ibu bapa.

Keadaan ini menyebabkan wujudnya jurang perbezaan antara masyarakat di luar bandar dan bandar terutama dalam aspek tahap pendidikan yang diterima. Berdasarkan perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa pendidikan merupakan satu elemen yang sangat penting untuk kemajuan sesebuah negara.

Fenomena Global

Kebanyakan pelajar miskin tidak mendapat bimbingan pelajaran di rumah. Dari segi ini, jurang akademik antara pelajar miskin dan kaya semakin meluas kerana rakan sebaya mereka yang lebih berada mampu mendapat tuisyen.

Seperti yang dapat dilihat di negara kita Malaysia, keputusan peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Persekolahan Malaysia (SPM) mendapati bahawa masih wujud jurang perbezaan yang ketara antara sekolah dalam bandar dan luar bandar.

Di China misalnya, masalah perbezaan jurang pendidikan antara masyarakat bandar dan luar bandar memang sudah berlaku. jurang perbezaan pendidikan masyarakat bandar dan luar bandar dalam masyarakat di China adalah disebabkan oleh dua faktor utama iaitu:

  1. perbezaan dari sudut keadaan dan suasana persekitaran sekolah bagi lokasi di luar bandar dan bandar
  2. perbezaan dari segi peluang kemasukan pelajar dalam persekolahan antara kawasan di luar bandar dan bandar

Di Amerika Syarikat, penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mereka sangat diutamakan seperti Family Math Program yang disasarkan kepada ibu bapa. Program ini bertujuan memberi mereka keyakinan dan kemahiran ibu bapa untuk membantu anak mereka dalam sesuatu matapelajaran.

Pengaruh tahap pendidikan penjaga atau ibu bapa kepada pelajar sekolah di Afrika Selatan juga didapati mempengaruhi perkembangan dan pencapaian seseorang pelajar. Pada peringkat nasional, program untuk membantu perkembangan pendidikan kepada ibu bapa yang buta huruf telah diperkenalkan bagi mengurangkan masalah kemunduran pendidikan di kalangan mereka.

Latar Belakang Kemiskinan

Imej via iLabur

Golongan miskin kebanyakannya terdiri daripada golongan masyarakat luar bandar yang tidak mampu untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan hanya disebabkan mereka hidup dalam keadaan yang miskin dan melarat.

Ia dikaitkan dengan persekitaran mereka yang jauh terpencil dan tidak mendapat akses kemajuan khususnya dari aspek pendidikan.

Pelajar-pelajar miskin yang kekurangan sumber kewangan mungkin terpaksa membantu ibu bapa dalam mencari rezeki bagi menambah pendapatan keluarga. Ini bererti masa untuk belajar dan membuat kerja rumah akan berkurangan.

Aspek Kesihatan dan Persekitaran

Aspek kesihatan dan persekitaran dalam merangsangkan pembangunan dan pendidikan kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik, mereka akan mempunyai taraf kesihatan yang tinggi dan berkemampuan bersaing dalam semua bidang.

Sebaliknya bagi kanak-kanak yang tinggal dalam persekitaran tidak baik seperti keadaan rumah yang sesak, kekurangan sanitasi dan kebersihan, kurang pemakanan dan pendidikan akan mengalami tekanan kehidupan seperti kemiskinan.

Latar Belakang Ibu Bapa dan Keluarga

Kemiskinan boleh menyebabkan pencapaian pendidikan rendah dan seterusnya menyebabkan kemiskinan diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak.

Pendidikan ibu bapa yang rendah cenderung menyebabkan pencapaian pendidikan turut rendah dalam kalangan anak mereka.

Tambahan pula, kemiskinan yang dialami oleh ibu tunggal akan membawa kesan kepada anak-anak di bawah penguasaannya. Kalangan anak-anak daripada ibu tunggal juga adalah lebih cenderung untuk berhenti sekolah lebih awal berbanding anak-anak dari kalangan ibu bapa lain.

Perkara ini akan bertambah serius apabila tanggungjawab ibu tunggal atau bapa tunggal terpaksa menanggung jumlah bilangan anak yang ramai dengan perolehan pendapatan yang rendah sebagai masyarakat miskin

Kesan Kemiskinan ke atas Kesejahteraan Anak

Imej via iLabur

Hubungan kemiskinan dengan pencapaian pendidikan dapat dikaitkan dengan kesan negatif terhadap perkembangan minda. Kesan ini mempengaruhi konsentrasi dan pembelajaran harian seperti:

  • kekurangan nutrien atau zat yang mempengaruhi pembesaran
  • kekurangan pengawasan oleh ahli dewasa dan penjagaan anak yang akan menghad pembelajaran
  • kekurangan stimulasi yang mengakibatkan kekurangan motivasi untuk belajar
  • melambatkan perkembangan kognitif
  • tingkah laku yang bermasalah
  • sikap kendiri yang rendah
  • buta huruf
  • pencapaian rendah
  • gangguan kepada kehadiran ke sekolah
  • tercicir dari sekolah,
  • kekurangan kemasukan ke universiti

Kesimpulan

Kecenderungan anak-anak dari keluarga miskin untuk mewarisi kemiskinan keluarga amatlah tinggi. Hal ini kerana kemiskinan keluarga mempunyai pengaruh yang kuat terhadap tahap pendidikan anak-anak keluarga berkenaan.

Masalah utama dalam memberi pendidikan kepada anak-anak adalah berpunca daripada faktor kewangan yang terbatas dan dibebani dengan bilangan anak yang ramai serta menanggung anak yang masih bersekolah.

Pembangunan pendidikan luar bandar tidak hanya terhad kepada pembangunan pendidikan anak-anak di sekolah, namun pembangunan keluarga yang sempurna dan bahagia juga merupakan kunci kejayaan sekaligus berupaya mempengaruhi tahap pendidikan di luar bandar.

Rujukan

  1. Allang, B. A., Awang, M. M., Ahmad, A. R., & Ahmad, A. (2019, October). Influenced Factors of B40 Students’ Academic Achievement. In THE 2ND INTERNATIONAL CONFERENCE ON SUSTAINABLE DEVELOPMENT & MULTI-ETHNIC SOCIETY (pp. 171-175). Redwhite Pres.
  2. Musofa, M., Casmini, C., & Sutrisno, S. (2019). Pencarian Makna Hidup Siswa dari Keluarga Miskin di Kabupaten Wonosobo. Psympathic: Jurnal Ilmiah Psikologi6(1), 85-98.
  3. Rashid, S. M. R. A., & Samat, N. (2018). Kemiskinan keluarga dan pengaruhnya terhadap tahap pendidikan rendah masyarakat luar bandar: Kajian kes di jajahan Bachok, Kelantan (Family poverty and its influence on rural community low education: Case study in Bachok District, Kelantan). e-Bangi15(2).
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.