Isu diskriminasi berdasarkan jantina atau seksis telah berlaku sejak zaman dahulu lagi. Adakah di zaman moden ini, masih berlaku perbezaan bayaran upah gaji mengikut jantina, khususnya di Malaysia?

Mari baca artikel ini untuk ketahui lebih lanjut selagi persis tak terkikis seksis!

Pengenalan

Pengasingan pekerjaan biasanya merujuk kepada kategori pekerjaan iaitu:

  1. pekerja mahir
  2. pekerja separa mahir
  3. pekerja tidak mahir

Pekerja mahir termasuk dalam kategori mereka yang mempunyai kelulusan peringkat diploma ke atas iaitu peringkat profesional.

Kategori pekerjaan separa mahir pula termasuklah pekerja dalam golongan yang berkelulusan teknikal pada peringkat sijil, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pekerja separa mahir ini adalah bilangan pekerja yang belum mendapat latihan sepenuhnya. Terdapat sebilangan pekerja separa mahir ini mempunyai potensi yang baik dari segi kualiti kerja dan peluang upah, menerusi pengalaman yang telah diperolehi.

Bagi pekerjaan tidak mahir pula terdiri daripada pekerja yang hanya berkelulusan darjah 6 ke bawah dan juga terdapat sebilangan golongan pekerja yang tidak mempunyai apa-apa kelulusan.

Dalam konteks jantina, diskriminasi berlaku apabila pekerja dari jantina yang berbeza dibayar upah yang lebih tinggi, walaupun mereka mempunyai produktiviti yang sama dengan wanita dan situasi yang sering berlaku pekerja lelaki dibayar lebih tinggi.

Penyertaan Wanita dalam Tenaga Buruh

Imej via iLabur

Di Malaysia, sektor perkhidmatan banyak menyerap tenaga kerja wanita selain daripada sektor pertanian dan sektor pembuatan.

Selain itu, kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam pasaran buruh juga dilihat mengalami peningkatan terutamanya semenjak tahun 1990-2007, iaitu antara 44.0% hingga 47.0% pada tahun-tahun tersebut.

Perkembangan sedemikian menggambarkan beberapa perubahan dalam dimensi sosial wanita seperti:

  • gaya hidup
  • perspektif majikan
  • pendidikan
  • kesihatan dan sebagainya

Peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh telah turut membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi. Namun, kebiasaanya pekerja wanita dibayar upah yang lebih rendah daripada pekerja lelaki yang boleh dikaitkan dengan amalan diskriminasi majikan.

Diskriminasi Majikan

Diskriminasi majikan merupakan salah satu faktor berlakunya perbezaan upah dalam pasaran buruh. Banyak kajian mendapati bahawa pekerja lelaki dibayar upah yang lebih tinggi daripada pekerja wanita, walaupun mereka memiliki tahap pendidikan dan kemahiran yang sama.

Ini kerana majikan menganggap wanita sebagai:

  • kurang produktif
  • bermobiliti rendah
  • menimbulkan banyak masalah kepada institusi tempat bekerja
  • kerap bercuti seperti cuti bersalin
  • kurang keupayaan menjadi pemimpin

Fenomena ini boleh memberi implikasi negatif kepada pasaran buruh kerana diskriminasi boleh membawa kepada ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja wanita dan selanjutnya menyebabkan mereka tidak menyumbang kemahiran yang ada secara optimum.

Undang-undang Kesamaan Upah

Walaupun undang-undang kesamaan upah yang terkandung dalam Akta Buruh Negara telah lama wujud tetapi pelaksanaannya masih gagal dilaksanakan oleh majikan dalam pengambilan pekerja kerana terdapat majikan yang masih membezakan pekerja untuk membayar upah.

Hal ini berlaku disebabkan oleh kurangnya kawalan pihak kerajaan terhadap pelaksanaannya. Jadi, dengan ini kerajaan perlu lebih tegas dan melakukan kawalan yang lebih ketat dalam melaksanakan undang-undang tersebut.

Bagi pihak majikan pula, mereka perlu lebih telus dalam mengambil pekerja berdasarkan merit dan bukan berdasarkan jantina.

Persaingan Pekerjaan

Imej via iLabur

Pasaran kerja kini lebih bersifat dinamik ekoran perubahan pesat dalam penggunaan teknologi terkini dan kepelbagaian keperluan kemahiran oleh majikan. Keadaan ini telah mewujudkan persaingan yang hebat antara buruh, terutamanya antara kaum lelaki dan wanita.

Implikasinya mereka terpaksa menerima apa sahaja tawaran yang diberikan oleh pihak majikan yang kadang kala tidak bersesuaian dengan bidang pengajian yang mereka perolehi. Dalam kesukaran mendapatkan pekerjaan cenderung berakhir dengan pekerjaan yang bukan pilihan mereka, walaupun pada masa yang sama mereka masih mencari pekerjaan lain yang lebih  sesuai dengan minat dan cita rasa mereka.

Situasi yang sering berlaku adalah penyisihan kaum wanita daripada pekerja formal yang menyebabkan mereka bekerja di
sektor tidak formal. Dengan yang demikian, mereka berhadapan dengan situasi seperti:

  • suasana tempat kerja yang kurang kondusif
  • sukar untuk dinaikan pangkat
  • tiada peluang untuk meningkatkan pengalaman dan pengetahuan
  • tidak diberi latihan
  • menerima upah yang rendah

Kajian Saintifik

Kajian oleh Noorazeela Zainal Abidin & Rahmah Ismail pada tahun 2016 menggunakan pendekatan dua model matematik untuk menganalisis fenomena diskriminasi ini dengan Model Multinomial Logit dan Model Upah.

Model Multinomial Logit digunakan untuk mendapatkan kebarangkalian taburan pekerjaan mengikut jantina dan juga untuk mendapatkan nilai inverse mills ratio.

Model upah Mincer yang digunakan untuk menganggarkan model regresi dalam setiap kategori pekerjaan berdasarkan kepada ciri-ciri individu dengan mengasingkan antara jantina lelaki dan wanita.

Didapati bagi kategori pekerjaan mahir, peratus taburan dijangka bagi wanita adalah lebih tinggi daripada taburan sebenar. Hal ini boleh dikaitkan dengan pencapaian pendidikan yang diserap ke dalam kategori pekerjaan ini. Sebaliknya, bagi pekerjaan separa mahir dan tidak mahir pula taburan jangkaan pekerjaan dalam kalangan wanita adalah lebih rendah daripada taburan sebenar.

Secara keseluruhannya, perbezaan upah jantina yang berlaku adalah sebesar 0.2916 dengan pekerja lelaki menerima upah yang lebih tinggi. Tiga komponen yang menerangkan perbezaan ini adalah perbezaan upah yang berlaku dalam pekerjaan yang sama, antara pekerjaan dan selectivity bias. 

Penemuan Kajian

Faktor yang tidak dapat dijelaskan menyumbang sebahagian besar daripada perbezaan upah jantina dalam kajian ini, iaitu merangkumi
67.38% dan ini berpunca daripada diskriminasi oleh majikan.

Sementara faktor yang dapat dijelaskan atau ciri-ciri individu menyumbang sebanyak –11.69% atau dengan kata lain dapat merapatkan jurang upah jantina.

Di samping itu, sumbangan sample selection bias kepada perbezaan upah jantina adalah agak besar, iaitu sebanyak 44.31%.

Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar pekerja memegang pekerjaan bukan mengikut pilihan tetapi disebabkan tidak mendapat pekerjaan yang mereka ingini. Keadaan ini juga menunjukkan terdapat diskriminasi majikan dalam memilih pekerja yang cenderung kepada pekerja lelaki.

Kesimpulan

Memandangkan diskriminasi memainkan peranan yang amat penting dalam membezakan upah jantina, maka kawalan terhadap amalan ini perlu diperketatkan. Majikan sepatutnya membayar upah yang sama bagi pekerjaan yang sama tanpa mengira jantina.

Perbezaan bayaran juga boleh berpunca daripada diskriminasi dalam menaikkan pangkat pekerja mengikut jantina.

Selain itu, diskriminasi dalam pengambilan pekerja yang lebih mengutamakan pekerja lelaki akan membawa kepada wanita terlibat dalam pekerjaan yang lebih rendah daripada kelayakan mereka.

Rujukan

  1. Abidin, N. Z., Ismail, R., & Sulaiman, N. (2016). Pengasingan Pekerjaan dan Perbezaan Upah Jantina di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia50(1), 53-66.
  2. Dashper, K. (2019). Challenging the gendered rhetoric of success? The limitations of women‐only mentoring for tackling gender inequality in the workplace. Gender, Work & Organization26(4), 541-557.
  3. Gilbert, S. B., Allshouse, A., & Skaznik-Wikiel, M. E. (2019). Gender inequality in salaries among reproductive endocrinology and infertility subspecialists in the United States. Fertility and sterility111(6), 1194-1200.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.