Jom kita singkap kisah kejayaan Walt Disney. Kisah sejarah Disney dari dulu lagi.

Pengenalan Syarikat Walt Disney

Syarikat Walt Disney ialah sebuah syarikat korporat yang menjalankan perniagaan berasaskan media dan hiburan yang ketiga terbesar di dunia, selepas Time Warner di tempat kedua dan News Corporation di tempat teratas.

Syarikat ini diasaskan pada 16 Oktober 1923 oleh adik-beradik Walt dan Roy Disney yang bermula sebagai studio animasi kecil. Kini, syarikat ini telah berkembang menjadi salah sebuat studio di Hollywood yang terbesar dan memiliki 11 buah taman tema Disney dan beberapa rangkaian televisyen.

Ibu pejabat korporat dan prasarana bagi penerbitan utama Disney terletak di Studio Walt Disney (Burbank), California.

Hasil pendapatan Walt Disney dilaporkan mencecah USD 164 bilion bagi tahun semasa.

Sejarah Awal Penubuhan Walt Disney

Walt Disney pada awalnya bekerja sebagai pemandu bagi Syarikat Ambulans Amerika semasa Perang Dunia I. Pada tahun 1919, Walt mahu menukar kerjanya menjadi artis. Di Studio Seni Komersial Pesmen-Rubin, beliau berkenalan dengan Ubbe Iwerks yang merupakan seorang ahli animasi yang cukup terkenal dan berbakat pada masa itu.

Awal tahun 1920, Walt dan Iwerks memulakan studio mereka sendiri tetapi tidak berjaya. Mereka mengambil keputusan untuk bekerja di syarikat Film A Co. di bahagian pengiklanan. Mereka juga menjalankan projek bersama untuk menguruskan sebuah siri komedi Laugh-O-Grams. Usaha sama antara dua tokoh ini terhenti seketika pada tahun 1923 apabila Walt mengambil keputusan untuk mengembangkan kerjaya ke Hollywood.

Di Hollywood, Walt meyakinkan adiknya Roy untuk sama-sama memulakan Disney Brothers Studio yang kemudiannya dijenamakan semual sebagai Walt Disney Studio. Tidak lama selepas itu, Walt mengajak Ubbe Iwerks untuk menyertai Walt Disney selaku rakan sekerja.

Belajar Dari Kesilapan

Pada peringkat permulaan, syarikat ini bekerja untuk Universal Pictures dengan mencipta watak animasi yang dipanggil “Oswald the Lucky Rabbit.” Pada tahun 1928, Walt, Roy dan Iwerks diuji apabila semua ahli animasi dalam syarikat kecilnya telah diambil untuk bekerja di Universal Pictures. Hak cipta bagi “Oswald the Lucky Rabbit: pula milik Universal sepenuhnya.

Pengalaman ini mengajar Walt Disney untuk mengejar impian mengusahakan perniagaan sendiri tanpa perlu bekerja untuk sesiapa. Beliau mula mencari pengedar untuk karya yang dihasilkannya sendiri.

Watak Mickey Mouse dan Perkembangan Walt Disney Studio

Imej via iLabur

Walt menubuhkan satu pasukan yang baru untuk menghasilkan satu watak baru untuk filem animasinya yang dikenali sebagai Mickey Mouse. Sambutan dua filem awal ini tidak begitu memberangsangkan sehinggalah filem animasi Mickey Mouse yang ketiga, “Steamboat Willie” yang sangat mendapat sambutan. Kejayaan filem tersebut turut dikaitkan dengan kerja seni studio yang sangat kemas dengan sistem bunyi dan animasi yang terbaik bagi era itu.

Pada dekad seterusnya, Studio Walt Disney mengorak langkah dalam menghasilkan filem animasi berdurasi panjang yang semakin berjaya diterima ramai seperti Snow White and The Seven Dwarfs, Bambi, Fantasia dan Cinderella.

Rentetan itu, mereka menubuhkan syarikat edaran filem mereka sendiri iaitu Buena Vista.

Taman Tema Disneyland

Imej via iLabur

Walt Disney berhajat untuk mewujudkan sebuah tempat yang dianggap sebagai “tempat paling menggembirakan di dunia.” Oleh itu, lahirlah idea asas untuk Taman Tema Disneyland, namun usaha ini memerlukan kos yang tinggi. Selepas suntikan dana daripada syarikat swasta, pinjaman daripada insurans hayatnya dan berkolaborasi dengan  beberapa pihak untuk mengumpul dana yang mencukupi.

Taman Tema Disneyland pertama dibuka pada tahun 1955 dan mendapat kejayaan yang besar. Lima tahun kemudian, syarikat Walt Disney semakin kukuh dengan pertumbuhan ekonomi dari USD 6 juta kepada USD 70 juta.

Kejatuhan Studio Walt Disney

Cenderamata, penjenamaan dan publisiti Walt Disney semakin berkembang. Malangnya, salah seorang pengasas syarikat, Walt, meninggal dunia pada tahun 1966. Adiknya, Roy mengambil alih syarikat ini. Selepas kematian Roy pada 1971, Disney mula mengalami kejatuhan biarpun filem-filem dan taman-taman tema memberi keuntungan. Hal ini disebabkan oleh kejatuhan stok saham syarikat yang nominal.

Kebangkitan Studio Walt Disney

Pada tahun 1980, syarikat Disney dianggap memiliki aset yang rendah tetapi dengan inovasi produk dan pemasaran, Disney mula meningkat pada era 1980-1990 dari segi stok saham, menjadikannya empayar hiburan terbesar di dunia dan terus berkembang maju.

Sejarah Disney Perluasan Empayar

Disney mengukuhkan pengaruhnya dengan menguasai pasaran hiburan melalui pemilikan syarikat seperti berikut

  • 1995 – Disney membeli syarikat televisyen ABC
  • 2006 – Disney membeli Pixar
  • 2009 – Disney membuat 30 perjanjian filem dengan Dreamworks
  • 2012 – Disney membeli Marvel
  • 2015 – Disney membeli Lucasfilms
  • 2017 – Disney membeli 21st Century Fox
  • 2018 – Disney membeli Hulu
  • 2019 – Disney mewujudkan Disney Plus

Penutup

Kejayaan kewangan seseorang boleh dilihat melalui personaliti terkemuka yang dikenali secara meluas dan mercu produk yang mendapat sambutan. Kebanyakan individu yang berjaya menurut sejarah memperolehi kejayaan dengan membina empayar daripada industri minyak, keluli, fesyen sehinggalah kepada perisian komputer dan gajet.

Berlainan dengan empayar Disney, syarikat ini tidak tertakluk kepada formula perniagaan empayar lain iaitu sentiasa kurangkan kos penyediaan dan jual dengan lebih banyak.

Dengan inovasi dan berdaya saing untuk keluar dari zon selesa yang melibatkan animasi, Disney menjadi perniagaan yang berkembang dari sebuah studio animasi yang sederhana kepada sebuah gergasi hiburan yang lengkap dengan taman tema, cendera hati, jenama, kapal pelayaran dan sebagainya.

Kata-kata hikmat daripada Walt Disney yang wajar diteladani, “If you can dream it, you can do it.”

Jemput juga membaca artikel tentang kisah pengasas Ramly Burger

Rujukan

  1. Blevins, J. L. (2004). Battle of the online brands: Disney loses Internet portal war. Television & New Media, 5(3), 247-271.
  2. https://www.investopedia.com/articles/financial-theory/11/walt-disney-entertainment-to-empire.asp
  3. Ingelsson, P., Eriksson, M., & Lilja, J. (2012). Can selecting the right values help TQM implementation? A case study about organisational homogeneity at the Walt Disney Company. Total Quality Management & Business Excellence, 23(1), 1-11.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.