Kalau sebut Ramly bin Mokni mungkin orang tak kenal. Namun kalau sebut Ramly Burger, pasti semua orang tahu. Dari kecil sampai besar, semua pernah makan produk Ramly Burger. Cuma kisah pengasas Ramly Burger ramai orang kurang tahu.

Dato’ Haji Ramly bin Mokni, iaitu pengasas dan pemilik Kumpulan Ramly adalah merupakan seorang anak jati kelahiran Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak. Mempunyai cita-cita sebagai doktor, namun disebabkan kemiskinan cita-cita tersebut berkubur begitu sahaja.

kisah pengasas ramly burger

Imej via Facebook

Bagi mengubah kehidupannya, beliau bersama abangnya berhijrah ke Sekinchan, Selangor .Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang buruh sebelum mendapat pekerjaan sebagai seorang pemotong daging di Kuala Lumpur sekitar awal 1970-an.

Anak kepada pasangan petani mempunyai keazaman yang begitu kuat untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

Kisah Pengasas Ramly Burger Idola Anak Muda

Ramly Burger di asaskan pada tahun 1984. Di miliki sehingga kini oleh Dato’ Haji Ramly Bin Mokni dan Datin Hajjah Shala Siah Binti Abdul Manap. Bisnes dari cetusan idea dan hasrat murni untuk mengeluarkan produk yang halal, bersih dan bermutu.

Bisnes ini bermula dari impian beliau menghasilkan daging burger dan sosej yang dijamin halal, bersih dan berkualiti untuk umat Islam. Pada waktu itu, terdapat beberapa isu mengenai makanan sejuk beku yang tidak dapat dipastikan halal haramnya.

Setiap usaha murni pasti akan datang dengan pelbagai halangan dan cabaran. Usaha beliau untuk pernah diperlekehkan oleh masyarakat yang tidak yakin dengan apa yang beliau ingin lakukan. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mencuba.

Dengan modal RM2,000, mereka buat sendiri burger daging secara manual (tanpa mesin) di flat Jalan Haji Hussein, Kampung Baru. Mula-mulanya tak dapat sambutan sebab orang Melayu tak banyak makan burger.

Tetapi perlahan-lahan Ramly buka banyak stall burger dekat area Chow Kit dan sejak itu permintaan daging burgernya bertambah.

Akhirnya dari hanya 200 keping daging sehari, mereka mula mendapat tempahan sehingga 3,000 keping sehari. Tahun 1980 mereka mula buka syarikat dan hanya empat tahun kemudian, mereka telah berjaya buka kilang di Bandar Tun Razak dengan menghasilkan kira-kira 10,000 keping sehari.

Setiap Bisnes Pasti Ada Cabarannya

Cabaran Ramly paling besar masa tu apabila pihak MARA tolak permohonan pinjaman mereka. Dengan alasan orang Malaysia tak ramai makan burger.

Di sebaliknya Bank Pembangunan pula yang luluskan permohonan mereka. Lepas tu timbul fitnah pula burgernya tidak halal hingga beliau terpaksa buat report polis.

Kemudian ada pula yang fitnah kononnya mereka dah jual bisnes kat orang lain. Semua fitnah tu buat beliau dan keluarganya lebih tabah dan berusaha membuktikan mereka bukan seperti mana yang difitnahkan.

Bermula dengan sebuah syarikat kecil, ia telah berkembang dan berkembang dari semasa ke semasa. Syarikat utama kini dikenali sebagai Ramly Mokni Holdings Berhad. Anak syarikatnya adalah Ramly Food Processing Sdn. Bhd dan Ramly Mokni Marketing Sdn. Bhd.

Kemudian membuka Ramly Supermart Sdn. Bhd dan Ramly Mokni Bakery Sdn. Bhd. Dato’ Haji Ramly berjaya memperluaskan perniagaannya ke tahap komersial.

Ramly mart

Syarikat itu juga telah diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan. Iaitu Anugerah Projek Terbaik (1982), Anugerah Pembangunan Pelanggan (1984) dan Anugerah Usahawan Jaya (1992) kerana prestasinya yang cemerlang. Ini menunjukkan bahawa Dato’ Haji Ramly proaktif dalam pengurusannya.

Ramly Burger Makanan Rakyat Malaysia

Kisah pengasas Ramly Burger patut diangkat sebagai kisah inspirasi. Ramly Burger adalah jenama yang menjadi kebanggaan buat seluruh warga negara Malaysia. Hal ini kerana ia sudah cukup sinonim dengan penerimaan rakyat Malaysia dengan nama Ramly untuk makanan berkaitan dengan burger.

Sebut sahaja burger, pasti nama satu jenama yang tidak asing lagi iaitu Ramly akan bermain di fikiran. Ya, rata-rata kita semua membesar dengan mengenal Ramly Burger dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat negara Malaysia. Tanpa mengira agama, bangsa dan pangkat.

Ramly Food Processing Sdn Bhd adalah industri bumiputra yang terkenal dalam industri pembuatan produk makanan berasaskan daging lembu, ayam dan hasilan laut berjenama RAMLY.

Kisah Usahawan Berjaya dan Berani Mengambil Peluang

Usahawan perlulah bersikap proaktif dalam mencari dan menggunakan maklumbalas yang diperoleh sebagai satu untuk membaiki prestasi mereka . Hasil dari maklumbalas yang diterima, usahawan boleh mengetahui kesilapan yang telah dilakukan dan turut juga mengetahui kehendak pengguna yang sebenar.

Sebagai contohnya, pengasas Ramly Burger Dato’ Haji Ramly Bin Mokni telah memperkembangkan perniagaan ini dengan kehendak pengguna yang sebenar. Produk-produk Ramly seperti daging burger dan sosej ditanggung halal 100% untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini.

Makmal mikrobiologi Ramly telah ditubuhkan bagi memastikan produk adalah suci dan selamat untuk dimakan pengguna. Sifat beliau ini jelas menunjukkan beliau adalah seorang yang proaktif dalam memenuhi kehendak pelanggan.

Usahawan perlu pandai menganalisis, merumus dan mengambil tindakan terhadap peluang yang ada kerana tidak akan melepaskan peluang yang boleh membawa keuntungan kepada organisasi. Usahawan yang mempunyai ciri ini dikatakan seorang yang unik kerana mereka mampu melihat masa depan yang lebih jauh daripada orang ramai terhadap peluang yang bakal diambilnya. Contoh usahawan Malaysia yang merebut peluang ialah Dato’ Haji Ramly Bin Mokni yang dapat merebut peluang dalam industri makanan.

Kesimpulan

Isu besar yang dihadapi Haji Ramly adalah satu isu DNA babi di dalam produk Ramly Burger yang heboh diperkatakan pada masa dulu. Namun, perkara ini dapat diselesaikan oleh beliau dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Ramly selepas beberapa cabaran. Beliau mendakwa bahawa isu ini adalah satu fitnah untuk mensabotaj syarikatnya. Akhirnya, tindakan Haji Ramly ini menunjukkan beliau memang proaktif dalam menjelaskan masalah.

Kini syarikat ini telah mempunyai kilang pemerosesan di Taman Perindustrian IKS, Mukim Batu, Kuala Lumpur. Dengan menawarkan peluang pekerjaan daripada pengurusan, pengeluaran hinggalah ke pemasaran produk. Produk berjenama RAMLY kini begitu unggul di pasaran Malaysia dan di persada antarabangsa.

Dan sekarang jualan tahunan mereka dah cecah RM1 billion. Daging saja mereka guna hampir 1.5 tan sehari untuk menghasilkan pelbagai jenis burger. Kini, jenama Ramly bukan lagi sekadar mengeluarkan daging burger, malah sosej, nuget, bebola daging, daging kisar, sos cili dan banyak lagi turut dihasilkannya.

Penulis: Nor Ariffin Hamzah

Nor Ariffin Hamzah

Penulis blog yang suka kongsi bagaimana hobi boleh jadi duit.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.