Agak-agaknya, kerjaya  bidang komputer menarik yang boleh anda ceburi?

Bidang komputer merupakan bidang yang popular di kebanyakan universiti di Malaysia. Bukan sesuatu perkara yang unik jika kebanyakan pelajar zaman kini memilih kursus tersebut.

Bukan sahaja atas dasar minat dan peluang kerja, malah pendapatan yang tinggi serta peluang pekerjaan yang luas merupakan antara punca kursus itu menerima sambutan yang hangat di kalangan pelajar.

kerjaya bidang komputer

Imej via iLabur

Jadi, apakah kerjaya bidang komputer yang menarik yang boleh diceburi? Kami ada sediakan senarai kerjayanya buat anda. Teruskan membaca!

#1 Jurutera Perisian

Jurutera perisian menerapkan prinsip-prinsip kejuruteraan bagi reka bentuk, pembangunan, penyelenggaraan, pengujian, dan penilaian perisian dan sistem yang membolehkan komputer atau apa-apa peralatan yang mengandungi perisian berfungsi.

Tugas utama jurutera perisian ialah  mereka atau mengubah perisian bagi menjamin kualiti yang terbaik untuk perisian tersebut. Mereka akan memastikan fungsi yang direka bertindak mengikut spesifikasi yang diingini.

#2 Penganalisis Sistem

Penganalisis sistem adalah profesion teknologi maklumat yang mengkhusus dalam menganalisis, merekabentuk dan melaksanakan sistem komputer. Mereka akan menganalisis masalah sistem, merancang dan menguji piawaian dan mencari penyelesaian.

Sistem komputer memerlukan ketelitian yang tinggi untuk dirangka. Jadi, tugas seseorang penganalisis sistem amat penting dalam memastikan sistem yang dibina berfungsi dengan baik dan menepati kemahuan pelanggan.

#3 Pakar Keselamatan Siber

Inilah dia salah satu kerjaya dalam bidang komputer yang dikatakan mempunyai pendapatan tertinggi dalam cabang tersebut – pakar keselamatan siber!

Peranan utama seseorang pakar keselamatan siber ialah mencegah serangan siber ke atas sistem maklumat dan menjaga penjenayah mendapatkan akses kepada maklumat kewangan, rahsia ketenteraan dan data rahsia lain.

Waktu bekerja seseorang pakar keselamatan siber memang tidak menentu, kerana penggodaman sistem boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Jadi, mereka perlu sentiasa bersedia bagi melindungi sistem komputer.

#4 Jurureka Web

Bagi memastikan laman web yang diusahakan berjaya berfungsi tanpa sebarang gangguan, seseorang jurureka web memainkan peranan yang penting untuk perihal tersebut.

Ada beberapa jenis jurureka web yang perlu anda ketahui , front end developer dan back end developer merupakan antara yang paling popular. Semestinya peranan yang dimainkan ialah berbeza.

Front end developer membangunkan laman web dan visual menggunakan HTML, CSS dan JavaScript, back end developer membangunkan web menggunakan bahasa pengaturcaraan.

#5 Jurutera Rangkaian

Jurutera rangkaian adalah seseorang yang mempunyai kepakaran untuk merancang, melaksanakan dan mengawasi rangkaian komputer yang menyokong perkhidmatan suara, data, video dan rangkaian tanpa wayar.

Tugas mereka termasuklah memilih perisian yang patut digunakan bagi menepati spesifikisasi yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi disamping memperbaiki peralatan dan sistem yang sudah lama.

Mereka akan membuat lakaran kepada rangkaian, menjalankan ujian terhadap rangkaian tersebut dan membangunkannya, serta membuat penyelengaraan terhadap rangkaian tersebut.

#6 Pendidik

Lebih berminat untuk mengajar dalam bidang IT atau sains komputer? Semestinya anda mempunyai jiwa seorang pendidik, jadi ceburi sahaja bidang pendidikan yang mengkhususkan bidang komputer!

Anda boleh memilih untuk menjadi guru IT atau pensyarah di universiti. Kelayakannya berbeza, namun tugas dan peranan utamanya lebih kurang sahaja.

#7 Pengaturcara

Pengaturcara? Mungkin jarang didengari, namun anda pernah sahaja terdengar tentang programmer, bukan? Ya, itulah pekerjaan yang cukup popular dalam bidang sains komputer ini!

Umum mengetahui yang pengaturcara sememangnya merupakan antara pekerjaan termahal dalam bidang ini dek kerana kepakaran yang dimiliki oleh seseorang pengaturcara.

Kebolehan untuk menguasai beberapa bahasa pengaturcaraan seperti BASIC, C, C++, COBOL, Java, FORTRAN, Ada, and Pascal merupakan kemahiran yang perlu dimiliki seseorang pengaturcara.

#8 Pembangun Mudah Alih

Pekerjaan mobile developer atau pembangun mudah alih juga merupakan antara kerjaya dalam bidang komputer yang boleh anda ceburi. Untuk pengetahuan anda, pekerjaan ini memang sedang hangat di negara kita!

Peranan seseorang pembangun mudah alih ialah membina aplikasi untuk Android, iOS dan platform Windows Phone. Seiring dengan teknologi yang kian membangun, kepakaran sebegini sememangnya sangat diperlukan.

#9 Pengurus IT

Pengurus IT memang sangat diperlukan di mana-mana syarikat, terutama syarikat besar. Mereka bertanggungjawab untuk merancang dan menyelaras aktiviti yang berkaitan dengan komputer dan sistem maklumat sesebuah syarikat.

Dari perlatan hingga ke perisian komputer sesebuah organisasi atau syarikat, pengurus IT bertanggungjawab terhadap pemasangan dan penyelenggaraan mereka.

#10 Pereka Bentuk Grafik

Reka bentuk atau logo yang kreatif memerlukan kepakaran dan kreativiti yang tinggi untuk direka. Jadi, kemahiran seorang pereka bentuk grafik dalam sesebuah organisasi atau syarikat memang diperlukan untuk tugas sebegitu.

Pereka grafik membuat konsep visual, menggunakan perisian komputer. Mereka akan menyediakan reka bentuk untuk menghasilkan iklan, brosur, majalah, dan laporan mengikut kehendak pelanggan.

#11 Juruteknik Komputer

Selain jurutera yang membangunkan sistem, juruteknik komputer yang bertanggungjawab menjalankan  kerja penyelenggaraan sistem komputer dan sistem operasi juga memainkan peranan yang penting.

Sekiranya mereka menerima aduan tentang kerosakan sistem komputer, mereka dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih sistem tersebut agar berfungsi seperti sediakala.

Selain itu, mereka juga akan memantau sistem tersebut dari semasa ke semasa agar memastikan yang sistem tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik untuk digunakan.

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa kerjaya bidang komputer yang ingin anda ceburi? Setiap kerja yang kami senaraikan ini mempunyai kelebihan masing-masing, jadi jangan takut untuk mencuba salah satu daripadanya.

Semoga artikel ini membantu anda untuk menambahkan pengetahuan tentang kerjaya yang anda berminat. Jangan lupa kongsikan di sosial media dan kepada rakan-rakan ya!

Rujukan

1.  https://www.layarsukses.com/kerjaya-yang-ditawarkan-dalam-bidang-sains-komputer/

2. https://www.lamankerjaya.com/kerja-di-bidang-it-2014/

Penulis: hani

hani

Menulis tentang tips kerjaya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.