Ayuh kita selusuri sejarah pengenalan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Artikel ini akan menceritakan semula bagaimana tercetusnya idea Dasar Ekonomi Baru oleh Perdana Menteri Malaysia kedua kita, Tun Abdul Razak Hussein dan cara pelaksanaannya.

Menarik untuk dikupas dari segi sejarah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya!

Pengenalan

Jika dilihat dari perspektif sejarah Malaysia, penjajah British menggalakkan perkembangan masyarakat secara ‘plural’ melalui amalan pecah dan perintah.

Pihak British sewaktu menjajah, telah menggalakkan kedatangan tenaga buruh dari negara China dan India untuk kepentingan ekonomi mereka dalam sektor perlombongan bijih timah, perdagangan dan perladangan.

Pertambahan penduduk dan peningkatan kegiatan ekonomi telah menyebabkan pertumbuhan bandar, jalan-jalan, rel-rel keretapi dan pembahagian kelompok kaum mengikut sektor ekonomi.

Keadaan ini telah menyebabkan jurang perbezaan antara kaum ketika itu seperti Melayu, Cina dan India, selain jurang pembangunan bandar dan luar bandar yang bertambah besar.

Malangnya, sejarah Malaysia telah melakarkan satu titik hitam dalam fenomena perpaduan negara melalui peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 menyebabkan negara diisytiharkan darurat dan diperintah oleh Majlis Gerakan Negara selama 20 bulan.

Maka, Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh kerajaan sebagai strategi  untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat di Malaysia.

Latar Belakang Dasar Ekonomi Baru

Peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 membuktikan dengan cukup jelas bahawa wujudnya perasaan syak wasangka dan perasaan permusuhan yang amat ketara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, pada masa itu.

Golongan Bumiputera melihat orang Cina sebagai kaum yang menguasai ekonomi di Malaysia dan tidak memainkan peranan yang sepatutnya dalam membantu kaum lain agar pembahagian kekayaan ekonomi lebih adil.

Walau bagaimanapun, Tun Abdul Razak menganggap suatu pembaikan perlu dilakukan dalam pelbagai sektor khususnya dari segi ekonomi supaya tidak wujud jurang perbezaan yang ketara antara kaum.

Tun Abdul Razak yakin bahawa penyusunan semula ekonomi negara haruslah dilakukan dengan lengkap dan dengan mengubah cara hidup tradisional orang Melayu ke arah ekonomi moden.

Ini penting supaya mereka lebih berdaya saing dan mempunyai peluang untuk mendapat kemajuan yang lebih saksama bagi semua rakyat.

Tun Abdul Razak menyatakan “Dasar Ekonomi Baru’ bertujuan membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat memberikan peluang kepada rakyat berbilang bangsa untuk menikmati kemakmuran negara dengan lebih adil dan saksama.

Menyedari ketidakseimbangan sosio-ekonomi itu, Tun Abdul Razak mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk membentuk suatu dasar ekonomi yang berfungsi sebagai asas Rancangan Lima Tahun Malaysia Kedua yang dilancarkan pada permulaan bulan Januari 1971 yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru.

Matlamat Dasar Ekonomi Baru

  1. Mewujudkan perpaduan negara dengan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum sama ada di kawasan bandar dan luar bandar
  2. Menyusun semula masyarakat supaya tidak wujud pengenalan kaum berdasarkan ekonomi
  3. Memastikan program pengagihan semula kekayaan dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi antara kumpulan etnik terutamanya dalam kalangan Melayu dan bumiputera

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru

Pelbagai langkah campur tangan kerajaan diambil termasuk penubuhan pelbagai institusi atau perusahaan milik negara seperti Bank Pertanian Malaysia, LPN, FAMA, LKIM, RISDA, FELDA, FELCRA, MARDI, MARDEC, MIDA, UDA, Petronas, FIMA, HICOM, PERNAS dan PNB.

Sejak 1970, perusahaan milik negara ini telah memainkan peranan yang sangat jelas dan meluas dalam membantu kerajaan dalam menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ekonomi dalam inasyarakat.

Campur tangan kerajaan dalam pembangunan ekonomi telah ditafsirkan sebagai laissez -faire ke arah sosialisme, kapitalisme kerajaan atau birokrasi borjuasi, indigenisme ekonomi Melayu, pembangunan oleh peramanahan, kapitalisme perkauman, diskriminasi positif memihak kepada bumiputera, dasar bumiputeraisme dan nasionalisme ekonomi Melayu.

Walau apa sahaja istilah yang digunakan, ia jelas mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk meneruskan pendekatan yang sangat radikal bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru, yang diberikan tempoh masa yang terhad iaitu selama 20 tahun.

Usaha Mencapai Objektif Dasar Ekonomi Baru

Kerajaan sejak pentadbiran Tun Razak telah sentiasa cuba untuk mewujudkan iklim pelaburan yang baik di negara ini untuk menarik pelabur asing.

Kecuali pada pertengahan tahun 1980-an, apabila kemelesetan melanda negara ini akibat penurunan harga komoditi, menyebabkan pertumbuhan ekonomi semasa 20 tahun tempoh Dasar Ekonomi Baru adalah agak tinggi.

Malah dalam tempoh selepas ini, pertumbuhan terus menjadi faktor penting dalam menentukan kejayaan dalam program pengagihan semula kekayaan.

Pemilikan Modal Bersama

Kerajaan juga menetapkan sasaran bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pemilikan bumiputera dan penyertaan dalam semua aktiviti industri dan perniagaan akan dicapai menjelang 1990.

Penetapan ini ialah tindak balas langsung kerajaan terhadap penglibatan masyarakat bumiputera yang rendah dalam ekonomi.

Statistik pada 1969 menunjukkan bahawa pemilikan modal bersama dalam Syarikat Berhad oleh kumpulan etnik adalah Cina sebanyak 90.5 peratus, Melayu 5.9 peratus dan India 3.6 peratus.

Walau bagaimanapun, daripada jumlah RM5,678 juta modal bersama, 62,1 peratus dipegang oleh kepentingan asing, manakala Cina memiliki 22.8 peratus, Melayu 1.5 peratus dan India 0.9 peratus.

Peruntukan Hak Istimewa Orang Melayu

Bagi memastikan masyarakat bumiputera mendapat akses kepada semua sektor ekonomi dan memperoleh bahagian yang lebih saksama daripada kekayaan negara, peruntukan hak istimewa orang Melayu yang diisytiharkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah diperluaskan kepada pelbagai dasar kerajaan.

Ini termasuk perlanjutan kuota bumiputera untuk pekerjaan dalam sektor awam, kuota bumiputera untuk kemasukan dan akses kepada pembiayaan dalam pendidikan tinggi, dan beberapa jenis lesen perniagaan dan kontrak kerajaan.

Bantuan Khas Bumiputera

Kebanyakan perusahaan milik negara menyediakan pelbagai program bantuan khas untuk bumiputera atau bertindak sebagai institusi tumpang bagi pemindahan saham modal asing atau kerajaan dan pemilikan kepada masyarakat Bumiputera.

Di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian, kerajaan mewajibkan sektor swasta mengkhususkan kuota pekerjaan untuk bumiputera dan juga mewujudkan rancangan untuk latihan dan kenaikan pangkat bagi jawatan pengurusan berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi.

Agensi Amanah Bumiputera

Dalam usaha memulakan pembangunan bumiputera yang lebih pesat ke arah pemilikan dan kawalan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada saiz ekonomi negara, Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebuah agensi amanah bumiputera, ditugaskan untuk membeli saham korporat dan mernperoleh kawalan industri dan perusahaan bagi pihak masyarakat bumiputera.

Tambahan pula, apabila syarikat asing beroperasi di Malaysia atau terlibat dalam perjanjian stok bersama dengan syarikat-syarikat swasta atau kerajaan tempatan, perjanjian tersebut biasanya memperuntukkan kuota isu saham yang dikhaskan bagi dijual kepada orang Melayu atau kepada agensi amanah bumiputera

Kesimpulan

Dasar Ekonomi Baru  bermatlamatkan perpaduan negara melalui proses pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat di dalam konteks keselamatan negara yang kukuh.

Secara umumnya, peranan agensi kerajaan atau separuh kerajaan banyak membantu merealisasikan cita-cita Tun Abdul Razak ini.

Peranan agensi seperti MARA, FELDA, RISDA, UDA, PERNAS, PNB dan sebagainya  dapat dianggap sebagai institusi nasionalisme ekonomi bumiputera yang berkesan dan simbolik.

Peruntukan kewangan dan sumber lain memberi sumbangan terhadap perkembangan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan bagi mencapai pembangunan ekonomi negara dengan pesat.

Perkembangan ekonomi ini memberi faedah kepada Bumiputera dan juga rakyat Malaysia yang lain menerusi penyertaan mereka yang lebih giat dalam berbagai kegiatan ekonomi yang disediakan.

Rujukan

  1. Dipak Mazumdar, The urban labour market and income distribution – A Study of Malaysia. Oxford University Press, New York, 1981, hlm. 28. (link)
  2. Mohamad Asrol Arpidi bin Mamat, Ishak Saat & Khairi Ariffin, Impak Dasar Ekonomi Baru ke atas Peningkatan Ekonomi Bumiputera Selepas Tragedi 13 Mei 1969, Jurnal Perspektif, Jilid 6 (3), 2014, hlm. 138. (link)
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.