Jom kami kongsikan cara tuntut hutang bawah RM5000.Melalui proses mahkamah tetapi tidak perlu peguam.

Pengenalan Hutang

Dah jadi macam normal pula kalau orang yang memberi hutang rasa segan nak minta balik duit yang dipinjamkan. Orang yang berhutang pula senang-lenang saja berhibur, amboi, sakan beli iPhone terbaru, pergi cuti-cuti Malaysia atau makan-makan kat tempat makan mewah.

Khusus buat umat Islam, mohon sentiasa berhati-hati dengan urusan hutang kerana terdapat banyak amaran melibatkan urusan bayaran balik hutang, antaranya

“Allah swt mengampunkan dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.”

Direkodkan oleh Imam Muslim.

“Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.”

Hadis direkodkan oleh Imam Baihaqi.

Tuntutan Hutang Melalui Mahkamah

Ramai yang tidak tahu, kita boleh tuntut duit hutang kita melalui campur tangan mahkamah! Kita mungkin anggap kalau dengar tentang kes mahkamah, kita perlu fikir kos guaman, turun naik mahkamah yang makan masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun.

Artikel ini akan memberikan jalan keluar kepada para pemiutang untuk mendapatkan kembali duit pinjaman tanpa perlu melibatkan peguam. Hanya perlu mewakili diri sendiri dengan proses yang agak mudah. Untuk situasi ini, nilai pinjaman mestilah di bawah RM5000.

Mungkin sesetengah daripada kita menganggap nilai kurang daripada RM5000 ini adalah sedikit. Hakikatnya, macam-macam yang boleh digunakan dengannya, bukan? Boleh bayar komitmen bil, ansuran pinjaman bank, beli hadiah, tengok wayang, karaoke, eh macam-macam lah!

Hal ini juga boleh dijadikan sebagai pengajaran buat mereka yang gemar dan kerap membuat hutang tapi liat untuk membayarnya!

Buat pemiutang, jangan segan untuk mengemukakan tuntutan ini di mahkamah, walaupun jumlah hutang hanyalah sekecil RM50 duit pinjaman hinggalah RM5000 untuk alasan seperti duit kutu, pinjaman untuk bayar ansuran kereta, pinjaman modal perniagaan, pinjam atas nama “kawan-kawan” dan sebagainya. Ini adalah hak anda!

Persediaan untuk Perbicaraan di Mahkamah

(1) Apakah itu perbicaraan?

1.1 Perbicaraan ialah satu proses pengumpulan fakta sebelum sesuatu keputusan dibuat oleh Majistret atau hakim.

(2) Apa itu tuntutan sivil?

2.1 Tuntutan sivil adalah pertikaian di antara dua atau lebih pihak yang melibatkan isu perundangan.

2.2 Contoh tuntutan sivil:

– Gantirugi untuk kecederaan diri

– Kemalangan jalanraya

– Pelanggaraan kontrak

– Pertikaian mengenai harta

– Pertikaian di antara tuan tanah dan penyewa

(3) Adakah saya boleh mewakili diri sendiri tanpa peguam?

3.1 Ya, setiap orang mempunyai hak untuk mewakili diri sendiri di mahkamah.

3.2 Kerumitan isu-isu khusus dan risiko yang ada perlu dipertimbangkan jika anda ingin meneruskan kes tanpa peguam.

3.3. Sekiranya anda mengalami kesukaran apabila mewakili diri sendiri ketika kes sedang berjalan, anda masih mempunyai pilihan untuk melantik peguam.

3.4 Walau bagaimanapun, bagi nilai tuntutan berjumlah di bawah RM5000 (Kes Tuntutan Kecil), anda diwajibkan

mewakili diri sendiri.

3.5 Badan-badan korporat hanya boleh memulakan atau membela diri dalam tindakan sivil melalui peguam.

3.6 Kenal pasti dan ketahui undang-undang dan prosedur yang terpakai kepada kes.

3.7 Patuhi tempoh masa untuk pemfailan dan penyerahan dokumen.

3.8 Sentiasa bersedia untuk perbicaraan.

(4) Di mana saya hendak memfailkan tuntutan sivil?

4.1 Tuntutan hendaklah difailkan di pejabat pendaftaran mahkamah yang berkaitan. Jumlah fi tertentu hendaklah dibayar.

(5) Apakah tindakan saya yang seterusnya?

5.1 Setelah tuntutan difailkan, anda perlu menyerahkannya kepada pihak yang satu lagi dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Perbicaraan

Sebelum Perbicaraan

  • Pihak-pihak hendaklah memfailkan ikatan dokumen dan ikatan pliding yang mengandungi penyataan tuntutan, penyataan pembelaan, tuntutan balas (jika ada) dan jawapan.
  • Pihak-pihak hendaklah saling bertukar ikatan dokumen tersebut sekurang-kurangnya 14 hari sebelum perbicaraan.

Semasa Perbicaraan

Apakah yang berlaku semasa perbicaraan?

Plaintif – Pihak menuntut

Defendan – Pihak dituntut

  • Plaintif mesti membuktikan tuntutannya terhadap Defendan.
  • Plaintif akan memanggil saksi untuk memberi keterangan semasa pemeriksaan utama. Saksi ini akan disoal dalam pemeriksaan balas oleh Defendan dan kemudiannya akan disoal semula oleh Plaintif di dalam pemeriksaan semula.
  • Defendan pula akan memanggil saksinya. Defendan perlu menimbulkan dan membuktikan pembelaan terhadap apa yang dituntut oleh Plaintif.
  • Selepas kedua-dua belah pihak menutup kes masing-masing, hujahan akan diberikan.

Selepas Perbicaraan

Selepas pihak-pihak menggulung kes masing-masing, di akhir perbicaraan keputusan akan diberikan.

Apakah itu keputusan?

Keputusan adalah penghakiman atau perintah mahkamah. Ia akan diberikan serta-merta selepas penutupan perbicaraan ataupun pada hari yang lain. Jika diberikan pada hari lain, pihak-pihak akan dimaklumkan untuk hadir pada tarikh tersebut.

Apa akan berlaku jika salah satu pihak tidak melaksanakan keputusan mahkamah?

Perintah pelaksanaan hendaklah dipohon oleh pihak yang terkilan.

Bagaimana jika saya tidak berpuas hati dengan penghakiman?

Rayuan boleh difailkan. Bagi rayuan ke Mahkamah Tinggi, Notis Rayuan mesti difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman diberikan di pejabat pendaftaran mahkamah di mana keputusan tersebut dibuat. Di samping itu, perkara-perkara berikut perlulah dititikberatkan:

  1. Semua dokumen yang hendak dirujuk semasa perbicaraan seperti laporan polis, laporan perubatan dan gambar-gambar yang dikumpulkan dalam satu ikatan.
  2. Pemeriksaan seseorang saksi oleh pihak yang memanggilnya.
  3. Pemeriksaan seseorang saksi oleh pihak lawan.
  4. Jika seseorang saksi telah diperiksa balas dan kemudiannya diperiksa oleh pihak yang telah memanggilnya.
  5. Kesimpulan bagi semua keterangan dan hujah-hujah pihak-pihak di akhir perbicaraan.

TIPS DAN PERSIAPAN LAIN

  • Sekiranya tiada perjanjian bertulis “Black and White” semasa urusan pinjaman dilakukan, antara bahan bukti yang boleh kita kemukakan ialah saksi-saksi yang mengetahui urusan pinjaman, transaski atas talian yang berlaku atau resit deposit, perbualan teks seperti Whatsapp.
  • Jika pemiutang ingin menuntut ganti rugi disebabkan keengganan penghutang menjelaskan hutang, kita boleh kemukakannya dalam bentuk “claim interest” tetapi nilai keseluruhan perlu kurang daripada RM5000 beserta bahan bukti yang relevan.
  • Dalam kes penghutang yang ingkar walaupun mahkamah memutuskannya untuk membayar hutang, boleh dapatkan Perintah Ingkar untuk sita barang penghutang.

Penutup

Untuk tuntutan hutang kecil di mahkamah berjumlah RM5000 ke bawah, kita boleh lakukannya tanpa perlu diwakili peguam. Jimat kos!

Namun, tuntutan melebihi jumlah itu boleh juga dilakukan di mahkamah tapi perlu lantikan peguam untuk mewakili penghutang.

Nilai tuntutan RM100 ribu ke bawah dibuat di Mahkamah Majistret manakala RM1 juta ke bawah di Mahkamah Seksyen.

*Jemput juga baca artikel tentang cara menyimpan duit

Rujukan

  1. http://www.kehakiman.gov.my/ms/soalan-lazim
  2. ww.rancangwang.com/5-perkara-yang-nabi-muhammad-beritahu-tentang-hutang/

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.