Sebagai seorang wanita, antara impian yang dipasang ialah untuk memiliki keluarga sendiri dan membesarkan anak-anak. Bagaimana pula dengan wanita yang bekerjaya?

Adakah selepas memilih untuk berkahwin, mereka akan masih bekerja atau terus berhenti kerja untuk fokus menjadi suri rumah sepenuh masa?

Mari baca artikel ini yang akan membincangkan bancian yang pernah dijalankan untuk meninjau keadaan “Bekerja selepas kahwin atau jadi suri rumah sahaja?”

Pengenalan

Berdasarkan Banci Penduduk, kira-kira 49.9% daripada jumlah penduduk adalah wanita dan sebanyak 49.1 peratus wanita berada dalam kumpulan umur bekerja iaitu dalam lingkungan umur 15-64 tahun.

Walau bagaimanapun, kadar penyertaan tenaga buruh wanita hanya berjumlah 46.4 peratus berbanding kadar penyertaan kaum lelaki sebanyak 78.9%.

Jelas sekali bahawa sumbangan tenaga kerja wanita Malaysia masih rendah berbanding kaum lelaki.

Populasi Wanita di Universiti

Imej via iLabur

Wanita yang berpendidikan tinggi dijangka lebih cenderung untuk bekerja di pasaran buruh. Kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan terus dikuasai wanita apabila nisbah pelajar wanita yang diterima masuk jauh melebihi pelajar lelaki hampir 2:1.

Mengambil maklum tentang tingginya peratus populasi wanita dalam golongan lulusan siswazah dan bilangan kemasukan di universiti kerajaan, negara akan mengalami kerugian jika mereka memilih untuk tidak menyertai pasaran buruh atau lebih tepat, menjadi non-participants dalam pasaran buruh.

Sekiranya sebab utama masalah ini adalah berkaitan dengan isu dual-role, maka akan terdapat lebih ramai wanita berpendidikan terpaksa menjadi suri rumah sepenuh masa.

Sehubungan itu, mengetahui dengan jelas penentu utama yang mendorong wanita berkahwin untuk bekerja tentunya akan dapat menyumbang kepada pertambahan tenaga kerja wanita.

Kadar Penyertaan Wanita di Pasaran Kerjaya

Menurut Laporan Ekonomi, kadar penyertaan wanita semakin meningkat walaupun pada kadar yang rendah berbanding kaum lelaki. Perangkaan merekodkan bahawa hampir 60% daripada sejumlah 3,656.8 ribu bilangan tenaga kerja wanita ini adalah wanita yang berkahwin.

Ini menunjukkan bahawa bilangan wanita berkahwin, mempunyai anak kecil dan bekerja adalah ramai dan dijangka semakin meningkat pada masa akan datang.

Faktor Wanita Bekerja

Terdapat perbezaan dalam penentu penyertaan tenaga kerja wanita berkahwin dan wanita bujang. Keputusan untuk menyertai pasaran buruh bagi wanita bujang lebih dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran, manakala wanita berkahwin lebih dipengaruhi oleh faktor penawaran sahaja.

Ini bermakna, jika seorang wanita bujang itu mempunyai kelayakan dan di pasaran buruh wujud peluang pekerjaan, beliau akan memutuskan untuk bekerja.

Namun, bagi wanita berkahwin, walau wujud permintaan di pasaran buruh, tetapi keputusan untuk bekerja lebih dipengaruhi
oleh faktor dari sudut penawaran seperti:

  • tawaran gaji
  • pendapatan suami
  • bilangan dan umur anak
  • kos jagaan anak

Trend Wanita Bujang vs Wanita Berkahwin di Malaysia

Sejak 50 tahun yang lalu, didapati bahawa tenaga kerja wanita pada tahun  memperlihatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita bujang adalah lebih tinggi berbanding wanita berkahwin, dan kadar guna tenaga wanita berkahwin meningkat dengan kadar upah.

Penentu utama sumbangan masa wanita dalam pengeluaran isi rumah ialah kehadiran atau bilangan anak di bawah 20 tahun (kesan positif). Semakin ramai anak dalam kumpulan umur ini, semakin tinggi jumlah masa pengeluaran isi rumah dan semakin kurang masa kerja wanita di pasaran buruh.

Ini menunjukkan bahawa kerja rumah masih merupakan tanggungjawab utama wanita tidak kira mereka bekerja atau tidak. Namun, sikap suami terhadap peranan wanita bekerja berubah bila para suami lebih berpendidikan.

Pelancaran dasar-dasar ekonomi negara tidak memberi kesan yang signifikan terhadap keputusan penyertaan tenaga kerja wanita. Ini adalah kerana keputusan untuk menyertai tenaga kerja bergantung kepada pilihan dan cita rasa, nilai sosial, dan budaya wanita itu sendiri.

Faktor Penyertaan Bekerja Wanita Berkahwin

Bagi wanita yang berkahwin, tiga faktor khusus yang dikenal pasti mempengaruhi penyertaan mereka dalam tenaga kerja adalah:

#1 Pendapatan suami – Impak pendapatan suami adalah berhubungan negatif dengan penyertaan tenaga kerja isteri kerana pendapatan isi rumah yang mencukupi mengurangkan keperluan isteri keluar bekerja untuk mendapat upah.

Secara puratanya, bagi wanita yang mempunyai pendapatan suami sebanyak RM1000, kebarangkalian untuk bekerja adalah sebanyak 67%, manakala apabila pendapatan suami adalah sebanyak RM2000, kebarangkalian untuk bekerja berkurang kepada 44%.

Sebaliknya, wanita berkahwin yang berstatus janda atau balu pula mempunyai kebarangkalian  hampir 100% (0.9608). Ini membuktikan bahawa ketiadaan suami dalam isi rumah bermakna wanita hilang punca sumber pendapatan. Wanita ini harus keluar menyumbang tenaga di pasaran buruh bagi mendapatkan upah untuk menyara keperluan isi rumah.

#2 Kadar upah – kadar upah di pasaran yang cukup tinggi adalah faktor penarik kepada penglibatan wanita dalam pasaran buruh. Kadar upah memberi impak positif terhadap kebarangkalian memilih mana-mana status pekerjaan.

Kebarangkalian untuk bekerja bagi wanita yang mengalami kadar upah sebanyak RM500 sebulan adalah sebanyak 49.8%. Peratus kebarangkalian ini meningkat kepada 91% apabila kadar upah adalah sebanyak RM1000 sebulan.

#3 Anak – kedua-dua keputusan untuk bekerja dan mengguna kemudahan jagaan anak amat sensitif terhadap kos jagaan anak. Kesan negatif kos jagaan anak terhadap keputusan untuk bekerja dan penggunaan kemudahan jagaan anak adalah signifikan secara statistik apabila dilakukan kajian saintifik berkenaan faktor ini.

Selain itu, kos jagaan anak memberi kesan negatif yang sangat kuat kepada penyertaan tenaga kerja ibu, terutamanya yang mempunyai anak berumur prasekolah. Apabila kos jagaan anak bersamaan RM150 sebulan, kebarangkalian untuk bekerja bagi wanita berkahwin hanya hampir mencecah 30%. Namun, pada kos jagaan adalah sebanyak RM200 sebulan, kebarangkalian untuk bekerja mencapai lebih 80%.

Kajian tentang kebarangkalian bekerja wanita berkahwin di negeri Kedah mendapati bahawa faktor bilangan anak yang berumur kurang dari enam tahun mempunyai kesan negatif yang signifikan.

Ini bermakna semakin bertambah bilangan anak dalam kumpulan umur ini semakin rendah kebarangkalian wanita berkahwin menyertai tenaga kerja.

Kajian Punca Wanita Berkahwin Tidak Mahu Bekerja

Berdasarkan kajian oleh Rahmah Ismail et al. (2012), mereka memecahkan faktor-faktor wanita berkahwin tidak bekerja kepada peratusan faktor berikut:

  1. Jaga anak dan rumah tangga (33.0%)
  2. Halangan suami (5.8%)
  3. Hilang keupayaan (3.2%)
  4. Sudah bersara (1.8%)
  5. Tiada minat (1.2%)
  6. Tiada kelayakan (1.2%)
  7. Percaya tiada kerja yang sesuai (0.3%)
  8. Sakit/Bersalin/keguguran (0.3%)
  9. Jaga ibu bapa (0.3%)
  10. Lain-lain (0.9%)

Faktor Wanita Berkahwin Bekerja

Seorang wanita berkahwin yang tinggal di negeri kurang maju, kebarangkaliannya untuk bekerja di pasaran buruh adalah lebih tinggi berbanding dengan wanita yang tinggal di negeri lebih maju seperti Selangor.

Kesediaan peluang pekerjaan dalam sektor tidak formal yang lebih mudah dan banyak serta tidak memerlukan kelayakan akademik yang tinggi di negeri kurang maju berbanding negeri maju mungkin sebab yang terbaik menjelaskan keadaan ini.

Dalam kata lain, pekerjaan di negeri lebih maju walaupun banyak tersedia tetapi ia selalunya melibatkan pekerjaan dalam sektor yang lebih formal dan memerlukan kelayakan serta tingkat kemahiran tertentu.

Selain itu, matlamat utama wanita berkahwin keluar bekerja adalah untuk membantu menyumbang kepada pengurangan bebanan kewangan keluarga.

Kesimpulan

Seorang wanita yang berkahwin akan memutuskan untuk menyertai tenaga kerja apabila kadar upah adalah cukup tinggi
(berasaskan bilangan tahun pendidikan yang lebih panjang). Desakan untuk keluar bekerja di pasaran menjadi lebih kuat jika pendapatan suami adalah kecil dan kedudukan kewangan isi rumah tidak mencukupi.

Dalam keadaan ini, wanita tersebut merasakan perlu membantu mengurangkan bebanan hidup dan tanggungan isi rumah lantas sanggup untuk menyertai tenaga kerja dan menyumbang kepada pasaran.

Walau bagaimanapun, keputusan untuk menyertai tenaga kerja ini masih bergantung kepada kesediaan peluang pekerjaan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya (faktor lokasi/kawasan kediaman) dan kesediaan tempat jagaan anak terutama bagi anak mereka.

Rujukan

  1. Abdullah, N., Ismail, R., Noor, Z. M., & Ahmad, F. (2012). Kebarangkalian bekerja wanita berkahwin di Malaysia. Jurnal Ekonomi Malaysia46(1), 107-117.
  2. Amin, S. M., & Rameli, M. F. P. (2014). Fenomena kekurangan tenaga kerja wanita berpendidikan dan berkemahiran di Malaysia. In The 9th Malaysian National Economic Conference (PERKEM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi (pp. 269-77).
  3. Mohd Amin, S., Rameli, P., & Faizal, M. (2017). The need to work by educated Muslim women in Malaysia.
  4. Nor, N. A. A. L. M., & Said, R. (2014). Malaysia’s Labour Force Participation in Rural and Urban Areas. Asian Economic and Financial Review4(10), 1461.

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.