Jom kita lihat kepentingan menderma darah.

Pendermaan darah merupakan satu aktiviti sukarelawan yang boleh membantu menyelamatkan nyawa orang lain. Terdapat beberapa jenis pendermaan darah, yang mana membantu untuk melengkapkan keperluan perubatan yang berbeza. Antara jenis-jenis pendermaan darah adalah seperti berikut;

  1. Pendermaan darah penuh (Whole blood donation)
    Ini merupakan jenis pendermaan darah yang paling biasa, di mana sewaktu proses pendermaan, anda mendermakan sejumlah darah penuh (whole blood) anda. Darah anda itu kemudiaannya akan diasingkan kepada komponen-komponennya iaitu sel darah marah, plasma dan platelet.
  2. Pendermaan plasma (Plasma donation / plasmapheresis)
    Pendermaan plasma mengumpulkan bahagian cecair darah (plasma). Plasma merawat darah beku dan mengandungi protein dan bahan-bahan lain seperti elektolit, yang membantu tubuh berfungsi dengan normal. Plasma biasanya diberikan kepada orang-orang yang mempunyai penyakit hati, luka akibat terbakar dan beberapa jangkitan bakteria di dalam darah mereka.
  3. Pendermaan platelet (Platelet donation / plateletpheresis)
    Pendermaan platelet mengumpul hanya platelet, sel-sel yang membantu menghalang pendarahan dengan menggumpal atau membentuk gumpalan di dalam salur darah.
  4. Pendermaan sel darah merah berganda (Double red cell donation)
    Pendermaan sel darah merah berganda membolehkan anda mendermakan dua kali ganda lebih banyak jumlah sel darah merah anda berbanding jumlah yang anda akan dermakan dalam pendermaan darah penuh. Sel darah merah membawa oksigen ke seluruh tubuh badan. Ia diperlukan oleh orang-orang seperti mereka yang mengalami kehilangan darah yang teruk seperti selepas kemalangan atau kecederaan, dan mereka yang mengalami anemia dengan simptom yang serius.

Terdapat juga pendermaan darah yang tidak begitu terkenal seperti;

  1. Pendermaan autologous (Autologous donation)
    Pendermaan autologous merupakan satu pendermaa darah di mana seseorang itu menderma darah untuk kegunaannya sendiri.
  2. Pendermaan yang diarahkan atau ditetapkan (Directed or designated donation)
    Pendermaan ini merupakan situasi di mana penderma mendermakan darah untuk kegunaan orang yang tertentu.

Pendermaan autologous dan pendermaan diarahkan merupakan sesuatu yang jarang dilakukan, di mana biasanya hanya berlaku dalam kes perubatan khas.

Mengapa Pendermaan Darah Penting?

Menderma darah merupakan salah satu cara yang paling biasa dilakukan oleh masyarakat dalam usaha untuk berbakti kepada komuniti. Sementara itu, permintaan darah di hospital-hospital kebiasaannya adalah tinggi. Walaupun permintaan darah tinggi dan penjelasan tentang kepentingan menderma darah telah diuar-uarkan, hanya 2.5% daripada mereka yang boleh menderma darah, mendermakan darah mereka.

Masih ramai yang tidak menyedari kepentingan menderma darah. Tahukah anda, selain daripada menyelamatkan nyawa, terdapat beberapa sebab mengapa mendermakan darah adalah penting. Antara sebab-sebabnya adalah seperti berikut;

  1. Satu pendermaan darah boleh menyelamatkan tiga nyawa. Ini kerana satu pendermaan darah menyediakan tiga komponen darah yang membolehkan anda membantu sehingga tiga orang yang berbeza.
  2. Darah tidak boleh dihasilkan. Walaupun dunia hari ini telah mengalami evolusi perubatan dan teknologi yang hebat, darah tetap tidak boleh dihasilkan. Ini bermakna, manusia merupakan satu-satunya sumber dan pendermaan merupakan satu-satunya cara yang membolehkan orang-orang yang memerlukan darah menerimanya.
  3. Darah sangat diperlukan. Pusat Darah Negara memerlukan 400-500 unit darah setiap hari, namun hanya mampu mendapatkan lebih kurang 3,200 unit darah sahaja untuk seminggu.
  4. Tidak kesemua masyarakat boleh menderma darah. Oleh itu, sekiranya anda tergolong dalam golongan yang boleh mendermakan darah, ianya amat penting untuk anda mendermakan darah.
  5. Ahli keluarga anda mahupun rakan-rakan anda mungkin merupakan masyarakat atau orang yang sedang memerlukan pendermaan darah.

Apa yang tidak diketahui oleh anda, pendermaan darah mempunyai faedah atau manfaat kepada anda dan juga orang lain. Berikut merupakan kepentingan dalam bentuk manfaat dalam pendermaan darah;

1. Boleh Menyelamatkan Nyawa Seseorang

Orang-orang yang berisiko kehilangan darah yang banyak seperti orang-orang yang terlibat dalam kemalangan atau ibu-ibu yang melahirkan anak, amat memerlukan pendermaan darah. Malah, ada sesetengah situasi yang menyebabkan mereka memerlukan darah yang banyak dalam kadar yang segera.

Sekiranya, tiada bekalan darah yang mencukupi pada situasi tersebut, ia boleh menyulitkan keadaan dan mendatangkan bahaya. Oleh itu, ianya amat penting untuk masyarakat mendermakan darah bagi membantu pihak perubatan menyediakan darah yang cukup untuk tujuan perubatan.

Selain itu, pendermaan darah juga amat penting dalam membantu pesakit-pesakit yang menghidap penyakit-penyakit yang berkaitan dengan darah. Sebagai contoh, penyakit-penyakit seperti hemofilia, anemia dan talasemia merupakan penyakit yang berkaitan dengan sel darah merah, sementara penyakit sumsum tulang dan leukimia merupakan penyakit yang berkaitan dengan platelet.

Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit-penyakit ini amat memerlukan darah untuk menjalani kehidupan biasa seperti orang lain. Oleh itu, darah-darah yang didermakan oleh para penderma adalah amat penting bagi mereka.

Imej via iLabur

2. Penting Untuk Kesihatan Si Penderma

Pendermaan darah bukan sahaja penting kepada si penerima, malah ia juga mempunyai kepentingan kepada si penderma. Antaranya adalah seperti berikut;

  • Membantu mengurangkan risiko kanser
    Pendermaan darah membantu mengurangkan risiko kanser. Dengan menderma darah, zat besi yang tersimpan di dalam tubuh badan kekal dalam paras yang sihat, di mana pengurangan dalam paras zat besi dalam tubuh badan dikaitkan dengan risiko kanser yang rendah.
  • Meningkatkan pengeluaran sel darah merah baru
    Selepas menderma darah, tubuh badan anda bekerja untuk menggantikan semula darah yang telah hilang (didermakan). Aktiviti ini meransang penghasilan sel darah merah yang baru dan sekaligus membantu mengekalkan kesihatan yang baik.
  • Membantu melawan hemokromatosis
    Hemokramatosis (hemochromatosis) merupakan masalah kesihatan yang disebabkan oleh penyerapan zat besi yang berlebihan oleh tubuh badan. Masalah ini mungkin diwarisi ataupun disebabkan oleh pengambilan alkohol, anemia ataupun gangguan-gangguan lain. Menarikya, pendermaan darah dapat mengawal penyerapan zat besi yang berlebihan.
  • Membakar kalori
    Pendermaan darah yang kerap mengurangkan berat badan anda. Ini amat membantu kepada mereka yang obes dan yang mempunayi risiko penyakit kardiovaskular dan gangguan kesihatan yang lain.

Kriteria Penderma Darah

Walaupun pendermaan darah amat penting, namun tidak semua orang boleh menderma darah. Terdapat kriteria-kriteria yang mesti dipatuhi sebelum anda dibenarkan menderma darah. Antara kriteria-kriteria penderma darah adalah;

  1. Anda mesti mempunyai tubuh badan yang sihat.
  2. Anda mesti berumur di antara 18-65 tahun sekiranya anda sudah pernah menderma sebelum ini. Sekiranya anda belum pernah menderma, anda mesti berumur 18-60 tahun. Untuk anda yang berusia 17 tahun boleh menderma setelah menerima kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga.
  3. Anda harus mempunyai berat badan 45kg ke atas.
  4. Sebelum menderma, anda perlu tidur minimum 5 jam.
  5. Anda juga perlu mengambil makanan sebelum menderma darah.
  6. Anda tidak terlibat dengan akitiviti-aktiviti tidak sihat seperti homoseksual, biseksual atau mengambil dadah.
  7. Tidak melakukan pendermaan darah dalam tempoh 3 bulan terakhir.
  8. Anda tidak mengandung, tidak datang haid dan tidak menyusukan anak.

Sekiranya kriteria-kriteria di atas ada pada anda, maka anda layak untuk menderma darah. Malah, disebabkan penderma darah perlu menepati kriteria-kriteria tertentu, ini menjadikan tidak semua orang layak menderma, menyebabkan pendermaan darah itu menjadi lebih penting. Oleh itu, sekiranya anda menepati kriteria-kriteria penderma darah, maka dermakanlah darah anda untuk kepentingan bersama.

Jemput juga baca tentang jenis-jenis dadah.

Rujukan

Copy

Penulis: safwanrazali

Minat dengan bola sepak dan peminat setia Manchester United. Berkongsi ilmu untuk manfaat semua generasi.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.