Dalam institusi perkahwinan, toleransi antara suami dan isteri sangat penting bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga. Membuat keputusan kewangan seperti membeli sesuatu barangan, melabur salam sesuatu pelaburan atau menyediakan belanjawan keluarga, merupakan antara tindakan yang perlu dibuat dengan cermat.

Persoalan yang ingin dikupas dalam artikel ini ialah kuasa membuat keputusan kewangan berada di tangan siapa? Suami? Isteri?

Jom baca artikel ini untuk dapatkan jawapannya!

Pengenalan

Penyertaan wanita dalam pekerjaan mewujudkan struktur keluarga dwi-pendapatan. Keluarga dwi-pendapatan bermaksud keluarga yang terdiri daripada pasangan suami dan isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan dan bilangannya semakin meningkat di Malaysia.

Fenomena keluarga dwi-pendapatan ini terbukti mampu meningkatkan pendapatan keluarga dan ianya menjadi satu keperluan terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.

Malahan peningkatan pendapatan dalam keluarga dwi-pendapatan memberikan satu jaminan keteguhan kewangan kepada keluarga terutamanya kepada pekerja dalam kalangan keluarga dwi-pendapatan itu sendiri. Hal ini berlaku kerana setiap ahli yang bekerja dalam kalangan keluarga dwi-pendapatan mempunyai sumber kewangan sendiri.

Oleh itu, mereka tidak bergantung semata-mata kepada sumber kewangan pasangan, khususnya jika berlaku perkara tidak diingini seperti kematian, kemalangan atau kehilangan pekerjaan pasangan, baik di pihak suami mahupun isteri. Maka, seharusnya pekerja dalam kalangan keluarga dwi-pendapatan ini mempunyai tahap sejahteraan kewangan yang lebih baik secara relatif.

Pola Membuat Keputusan Keluarga

Imej via iLabur

Selain lebih berpeluang untuk mencapai kesejahteraan kewangan yang lebih baik, struktur keluarga dwi-pendapatan dijangka turut menyebabkan perubahan dalam pola pembuatan keputusan kewangan dalam keluarga memandangkan kedua-dua suami dan isteri menyumbang pendapatan dalam keluarga.

Pembuatan keputusan kewangan didefinisikan sebagai autoriti individu terhadap sesuatu pembuatan keputusan kewangan dan lazimnya dijelaskan dalam bentuk pola pembuatan keputusan kewangan, sama ada dilakukan secara bersama di antara suami dan isteri, atau salah seorang lebih mendominasi.

Pembuatan keputusan kewangan melibatkan hubungan di antara wang dan kuasa dalam keluarga, lebih-lebih lagi dalam keluarga dwi-pendapatan. Hubungan tersebut mempunyai arah tertentu, iaitu siapa yang mempunyai pendapatan akan memiliki pengaruh besar dalam membuat keputusan keluarga.

Jika benar andaian tersebut, fenomena peningkatan penyertaan wanita (isteri) dalam pekerjaan serta menyumbang pendapatan dalam keluarga akan menghasilkan pola pembuatan keputusan berbeza bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja.

Pengurusan Kewangan Keluarga

Imej via iLabur

Kebiasaannya, pengurusan kewangan keluarga mempunyai dua ciri utama, iaitu:

  • Siapa yang mempunyai kuasa membuat keputusan?
  • Siapa yang menguruskan kewangan?

Kuasa membuat keputusan lazimnya dijelaskan dalam bentuk pola pembuatan keputusan kewangan, sama ada ianya dilakukan secara bersama antara suami dan isteri, atau salah seorang lebih mendominasi.

Dalam banyak keadaan, wanita didapati lebih berperanan sebagai pengurus kewangan dalam sesebuah keluarga.

Pola Agihan Pendapatan Pasangan Bekerja

Terdapat tiga pola agihan pendapatan pasangan dalam keluarga, iaitu pasangan tradisional, pasangan moden dan pasangan individualistik.

  • Pasangan tradisional tidak berkongsi pendapatan tetapi mempunyai akaun yang diuruskan secara bersama.
  • Pasangan moden berkongsi pendapatan tetapi mempunyai akaun secara berasingan. Pasangan ini mendakwa mereka sering membuat keputusan masing-masing apabila ingin membuat pembelian atau melaburkan pendapatan mereka.
  • Pasangan individualistik tidak berkongsi pendapatan dan mempunyai akaun secara berasingan.

Hak Membuat Keputusan

Pembuatan keputusan kewangan turut mempunyai perkaitan dengan agihan sumber kewangan dalam sesebuah keluarga dan ianya bergantung kepada siapa yang mempunyai sumber pendapatan dalam keluarga.

Malahan autoriti atau hak seseorang individu terhadap pembuatan keputusan kewangan juga mempunyai hubungan dan pengaruh terhadap kesejahteraan kewangan, khasnya daripada segi kepuasan kewangan.

Bermakna, peluang membuat keputusan dalam hal-hal berkaitan kewangan turut memberi kepuasan terhadap kewangan.

Wanita Bekerjaya vs Wanita Tidak Bekerja

Dalam konteks pembuatan keputusan kewangan, wanita yang bekerja di luar rumah, mempunyai pendapatan dan memiliki harta sendiri mempunyai kelebihan bersuara dalam pembuatan keputusan kewangan keluarga berbanding dengan wanita yang tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri.

Kemungkinan untuk isteri mempunyai lebih kuasa dalam pembuatan keputusan kewangan adalah sangat tinggi kesan daripada 20-25% pasangan dwi-pendapatan mencatatkan bahawa isteri mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding suami.

Penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan kewangan keluarga adalah signifikan dan mempunyai hubungan positif dengan nilai sumbangan pendapatan mereka dalam keluarga.

Wanita akan mempunyai lebih kuasa membuat keputusan kewangan sekiranya ia menyumbang bahagian yang besar dalam pendapatan keluarga. Tetapi wanita didapati kurang berperanan dalam pembuatan keputusan yang berkaitan dengan simpanan dan pelaburan keluarga.

Sebaliknya lelaki didapati lebih berpeluang membuat keputusan kewangan dalam keluarga apabila mempunyai tahap pendidikan, tahap pendapatan dan aset kewangan yang lebih tinggi berbanding wanita.

Suami vs Isteri

Imej via iLabur

Kebiasaannya, pasangan suami dan isteri akan membuat keputusan secara bersama dalam pembuatan keputusan mengenai pembelian barangan atau membelanjakan wang dalam sesebuah keluarga.

Oleh sebab itu, adalah sukar untuk menentukan satu-satu faktor khusus yang mempengaruhi pola pembuatan keputusan ke atas pembelian sesuatu barangan.

Selain itu, wanita didapati lebih suka mengelakkan risiko dalam pembuatan keputusan kewangan berbanding lelaki walaupun mereka memperolehi sumber kewangan yang lebih berbanding lelaki. Contohnya, wanita berkahwin yang mempunyai kuasa lebih besar terhadap sumber kewangan keluarga adalah kurang berminat untuk melabur dalam aset berisiko.

Kemahiran Interpersonal

Perbezaan kuasa yang dimiliki antara suami dan isteri dalam pembuatan keputusan tidak semata-mata dipengaruhi oleh pemilikan sumber, ianya juga dipengaruhi oleh hubungan dan kemahiran interpersonal.

Pasangan yang memiliki kemahiran komunikasi dan mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang lebih baik berbanding pasangannya adalah lebih berpeluang dalam pembuatan keputusan kewangan keluarga.

Kesimpulan

Ringkasnya, suami isteri selalunya membuat keputusan secara bersama dalam hal-hal berkaitan perumahan, pendidikan anak, rekreasi, perubatan dan perbelanjaan keluarga.

Keseimbangan kuasa dalam pembuatan keputusan akan memihak kepada pasangan yang memberikan sumbangan sumber terbanyak dalam hubungan perkahwinan. Ahli keluarga yang mempunyai sumber yang banyak dalam memenuhi keperluan dan matlamat ahli keluarga lain ditetapkan sebagai mempunyai kuasa yang lebih besar.

Malahan, kuasa wanita dalam membuat keputusan diandaikan meningkat seiring dengan peningkatan sumber yang disumbangkannya dalam keluarga. Bermakna, sumber yang disumbangkan oleh pasangan dalam keluarga mempunyai kesan signifikan ke atas pembuatan keputusan kewangan.

Rujukan

  1. Powell, M., & Ansic, D. (1997). Gender differences in risk behaviour in financial decision-making: An experimental analysis. Journal of economic psychology18(6), 605-628.
  2. Schubert, R., Brown, M., Gysler, M., & Brachinger, H. W. (1999). Financial decision-making: are women really more risk-averse?. American economic review89(2), 381-385.
  3. Zaimah, R., Sarmila, M. S., Azima, A. M., Saad,S., Rose, R. A. C., & Lyndon, N. (2015). PEMBUATAN KEPUTUSAN KEWANGAN PASANGAN MELAYU: HUBUNGAN ANTARA KUASA DAN SUMBER (Financial Decisions amongst Malay Couples: The Lingkages Between Power and Resources). e-Bangi12(2).

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.