Sedar tak sedar, Malaysia khususnya mengalami evolusi ekonomi dari zaman penjajahan yang memfokuskan pelombongan, hingga ke sektor pertanian, perindustrian dan teknologi. Kini, satu lagi trend ekonomi yang sudah berkembang di seluruh dunia, turut melanda negara kita iaitu “Ekonomi Gig”.
Apa itu ekonomi gig? Jom baca kupasan lanjut mengenainya dalam artikel ini. Yang pasti, tiada kena-mengena dengan gig muzik, ya!
Istilah “ekonomi gig” diperkenalkan oleh seorang penulis dan wartawan Amerika Syarikat, Tina Brown pada 2009 iaitu selepas kemelesetan ekonomi global.
Secara asasnya, ekonomi gig merupakan perkhidmatan yang diusahakan atau dijalankan secara “freelance” dengan waktu pekerjaan yang fleksibel bersama bantuan sokongan teknologi seperti telefon pintar, aplikasi telefon dan capaian internet.
Untuk lebih jelas, antara contoh ekonomi gig ini di Malaysia ialah perkhidmatan e-hailing seperti Grab Car, MyCar dan juga perkhidmatan penghantaran makanan seperti Food Panda, Grab Food dan Dah Makan.
Setiap perkhidmatan ini menawarkan perkhidmatan yang boleh dihubungi melalui pesanan telefon pintar menerusi aplikasi telefon tertentu. Mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi ini juga tidak terikat dengan waktu punch in punch out tertentu dan boleh dijadikan sebagai pekerjaan part time.
Setiap pekerja juga tidak memerlukan kelayakan akademik yang tinggi kerana skop kerja adalah dalam bidang perkhidmatan.
Jadi, pasaran pekerjaan bagi ekonomi gig adalah sangat luas sehingga dianggap boleh membantu masalah pengangguran dan kebergantungan kepada pekerja asing. Persoalannya, sejauh mana kebenaran tanggapan ini?
Di peringkat antarabangsa, sekurang-kurangnya terdapat tiga perkembangan yang signifikan berkaitan ekonomi gig yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Tiga perkembangan tersebut menunjukkan ekonomi gig sedang berkembang maju dan mula membentuk trend pekerjaan secara global.
Apa yang lebih menarik, firma Edison Research melaporkan 38% daripada belia yang berumur 18 hingga 34 tahun sedang bekerja dalam ekonomi gig, dengan 53% daripada mereka menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.
Sebenarnya ekonomi gig bukanlah satu fenomena yang baru. Pekerja bebas (freelancer) seperti konsultan telah lama wujud.
Ekonomi gig mula menjadi salah satu trend utama global disebabkan peranan kepesatan teknologi yang telah membuka banyak ruang yang praktikal dan memudahkan urusan.
Secara asasnya, tiga komponen utama bagi ekonomi gig ialah:
Belanjawan 2020 yang telah dibentang didapati menumpukan satu bahagian penting mengenai ekonomi digital.
Aspek ini boleh dijadikan satu teras utama untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Beberapa tumpuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan antaranya pembinaan infrastruktur, aplikasi, syarikat dan masyarakat digital. Usaha-usaha ini adalah relevan untuk pembangunan ekonomi gig di Malaysia.
Namun, kerajaan masih belum mempunyai misi yang jelas bagaimana menyediakan peluang dan rantaian pekerjaan berasaskan ekonomi gig untuk menggantikan pekerjaan tradisional di Malaysia.
Tambahan pula dengan sejumlah 51,365 graduan masih belum mempunyai pekerjaan selepas setahun tamat pengajian. Hala tuju ekonomi gig untuk disasarkan kepada golongan ini masih belum diperinci sepenuhnya.
Malaysia masih berada dalam fasal awal untuk mengawal selia dan mengatur ekonomi gig.
Justeru itu, tidak hairanlah bahawa kerajaan persekutuan akan memberikan tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anjakan ekonomi gig ini akan memberi peluang kepada anak muda khususnya graduan baru dan suri rumah dalam proses peralihan pekerjaan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Mengambil contoh model ekonomi gig dalam sektor e-hailing dan penghantaran makanan, kecerdasan buatan (AI) dan ‘Big Data’ juga boleh digunakan untuk mengubah model perniagaan sektor peruncitan kepada model baru yang lebih cekap dan produktif.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) merancang untuk meneroka fungsi baru untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggembleng generasi muda yang terbabit dalam ekonomi gig bagi melonjakkan potensi perniagaan mereka.
Peruntukan sebanyak RM150 juta juga disediakan untuk program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh PUNB.
Perkhidmatan atas talian sememangnya mendapat perhatian orang ramai yang semakin sibuk dengan urusan kerja dan hidup masing-masing atau sekadar ingin memudahkan urusan.
Lambakan perkhidmatan sebegini yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan memberi kesan positif dari segi persaingan sesama mereka yang menghasilkan kualiti dan harga perkhidmatan yang terbaik.
Selain itu, tidak dinafikan, ekonomi gig ini membuka pintu rezeki untuk masyarakat cari makan dengan menjadikannya kerja sampingan yang boleh sedikit-sebanyak membantu kelangsungan hidup.
Golongan menganggur dan mat rempit juga mula beralih untuk mengisi kekosongan dalam sektor kerjaya ekonomi gig ini untuk mencari pendapatan.
Semoga akan datang, pengurusan dan pengendalian ekonomi gig ini akan lebih diperhalusi untuk menjaga kebajikan pekerja dan penggunanya memandangkan ekonomi gig ini masih baru di Malaysia.