Waktu kecil dulu, kalau ditanya apa cita-cita, keluarlah segala pekerjaan yang ‘glamor’ macam nak jadi polis, doktor, guru dan pilot.

Hakikatnya, apabila kita sudah masuk alam dewasa, belajar di tahap pendidikan tertentu, habiskan pengajian dalam bidang yang kita pilih, tibalah masa untuk kita mencari kerja.

Dengan desakan ekonomi nak bayar hutang pendidikan, berbakti kepada ibu bapa dan kelangsungan hidup, kadang kala, sesetengah daripada kita akan ‘sambar’ sahaja mana-mana peluang pekerjaan yang ada, walaupun belajar di luar bidang tersebut. Contohnya, ada graduan bidang sains yang bekerja sebagai jurujual pemasaran dan graduan kejuruteraan yang melakukan servis penghantaran makanan.

Bukan isu yang sangat besar jika keadaan ini berlaku iaitu apabila graduan bekerja di luar bidang, asalkan pekerjaan itu halal. Tapi, fenomena ini amat menarik untuk diketahui punca dan kesannya.

Ayuh teruskan pembacaan dalam artikel ini yang akan terus mengupas berkenaan fenomena ini.

Pengenalan

Dalam Teori Modal Manusia, pendidikan boleh meningkatkan produktiviti dan akhirnya boleh memberi kesan positif terhadap pendapatan individu.

Mengikut teori ini, pendidikan mempunyai hubungan positif dengan pendapatan, lantas telah memberi harapan dan jalan kepada pembuat dasar bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah termasuk mereka yang bergelar miskin menambahkan pendapatan dengan mengubah taraf pendidikan.

Oleh itu, walaupun pelaburan dalam pendidikan yang bermula daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat pendidikan tertinggi memerlukan perbelanjaan yang besar, namun matlamat untuk menyediakan individu sebagai tenaga kerja berkualiti dan lebih penting lagi meningkatkan pendapatan mereka yang berpendapatan rendah menyebabkan pelaburan pendidikan diteruskan.

Pendorong utama ialah peningkatan pendapatan dan seterusnya kualiti hidup individu dan kesejahteraan masyarakat. Oleh itu, pelaburan dalam pendidikan adalah perlu dan menguntungkan.

Sistem Pendidikan di Malaysia

Imej via iLabur

Peringkat Sekolah

Sistem pendidikan di Malaysia bermula di sekolah rendah selama 6 tahun. Peringkat umur pelajar yang terlibat ialah antara 6 hingga 12 tahun sebelum pelajar berkenaan melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

Pada peringkat sekolah menengah sebenarnya pelajar didedahkan dengan pendidikan selama 5 hingga 7 tahun bergantung kepada tingkat kelulusan tertinggi yang ingin dicapai; 5 tahun bagi peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan 7 tahun bagi Sijil Tinggi Persekolahan.

Mulai tahun 1979, setiap pelajar dijamin untuk mengikuti pendidikan asas minimum selama 11 tahun tanpa penapisan peperiksaan umum dan ia adalah percuma.

Bermula pada tahun 2008, pendidikan awam diberikan secara percuma.Yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia serta yuran sekolah menengah dan rendah telah dimansuhkan. Skim Pinjaman Buku Teks juga telah diperluaskan meliputi semua pelajar.

Kesemua dasar ini telah membantu mengurangkan kos pembelajaran pihak individu. Sekali gus, adalah dijangka bahawa bilangan pelajar yang akan mengikuti pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi akan meningkat.

Pendidikan Tertiari

Bagi peringkat pengajian tinggi pula, iaitu meliputi peringkat Diploma dan Ijazah, pelbagai bantuan telah disediakan termasuklah bantuan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam.

Umpamanya, subsidi sebanyak 90% daripada yuran pengajian bagi setiap kursus di IPTA. Dalam hal ini, pelajar di IPTA hanya perlu membayar 10% sahaja yuran pengajian.

Bilangan Sumber Manusia

Bermula dengan tahun 2001, bilangan pekerja yang memiliki kelayakan STPM sehingga peringkat Ijazah tidak lebih daripada 1.4 juta orang atau lebih kurang 15% daripada keseluruhan guna tenaga.

Tetapi, dalam tempoh sepuluh tahun kemudian, bilangan ini telah meningkat hampir sekali ganda kepada 24% daripada keseluruhan guna tenaga. Ini merupakan suatu pencapaian yang menunjukkan peningkatan keupayaan negara dalam menyediakan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi. Perkembangan ini diharap dapat membantu Malaysia memajukan ekonomi negara.

Pendidikan dan Pekerjaan

Imej via iLabur

Antara faktor penting yang menentukan kebolehkerjaan seseorang individu ialah tahap pendidikan. Individu yang mempunyai tahap pendidikan tinggi lebih mudah untuk mendapatkan pekerjaan dan pekerjaannya juga berpendapatan lumayan dan terjamin.

Individu yang berpendidikan rendah sebaliknya lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan jika berjaya, pendapatan yang diterima adalah rendah.

Namun, wujud wujud sebahagian pekerja yang terpaksa menerima pekerjaan dengan keperluan kelayakan yang lebih rendah daripada kelayakan yang dimiliki yang boleh diterjemahkan sebagai ‘terlebih didik’. 

Bagi pekerja yang terlebih didik ini,pendapatan mereka adalah lebih rendah berbanding dengan pekerja yang berkelayakan sepadan, iaitu berkelulusan sama dengan keperluan pekerjaan.

Pengambilan Pekerja oleh Majikan

Dalam pasaran persaingan sempurna dan hanya upah sebagai kos buruh, majikan yang bertujuan memaksimumkan keuntungan akan hanya menambahkan buruh selagi keluaran sut buruh atau secara purata disebut produktiviti pekerja melebihi upah pekerja. Majikan akan berhenti mengambil pekerja baru apabila kedua-duanya menyamai antara satu sama lain.

Dalam proses penyesuaian ini, apabila produktiviti pekerja berubah, maka upah akan berubah mengikut arah yang sama.

Penambahan Jumlah Pengangguran dan Ketaksepadanan Pekerjaan

Imej via iLabur

Peningkatan pelaburan modal manusia tidak hanya menambahkan bilangan pengangguran dalam kalangan mereka yang berpendidikan, tetapi ia turut menyebabkan berlakunya ketaksepadanan pekerjaan dalam kalangan pekerja yang terpaksa menjawat jawatan atau menerima pekerjaan yang lebih rendah daripada kelayakan yang dimiliki.

Punca yang menyebabkan fenomena ini berlaku boleh juga disebabkan oleh peningkatan piawaian pengambilan pekerja baru.

Ini digambarkan dari hasil implikasi kadar pengangguran yang terus menerus tinggi dalam kalangan pencari kerja lepasan sekolah menengah walaupun pada peringkat berkenaan, kekosongan pekerjaan didapati berlebihan.

Kesimpulan

Walaupun pelaburan dalam pendidikan amat perlu dalam membangunkan modal manusia bagi menghasilkan pekerja berkualiti di Malaysia, namun perancangan terhadapnya harus dibuat dengan lebih teliti memandangkan wujudnya ketidaksepadanan pekerjaan yang seolah-olah sudah menjadi fenomena kekal dalam pasaran buruh Malaysia.

Hal ini dilihat lebih serius dalam kalangan pekerja yang berpendidikan tinggi. Pelaburan berlebihan dalam pendidikan terutamanya tanpa melibatkan perancangan yang rapi atau dibuat secara ‘ad hoc’ tidak hanya boleh menambahkan penganggur berpendidikan, tetapi boleh turut menghasilkan ketaksepadanan pekerjaan dalam pasaran buruh.

Senario paling buruk mengenai perkara terakhir wujud apabila pekerja terpaksa menerima pekerjaan dengan keperluan kelayakan yang lebih rendah daripada kelayakan yang dimiliki yang boleh diterjemahkan sebagai‘terlebih didik’.

Rujukan

  1. Halaby, C. N. (1994). Overeducation and skill mismatch. Sociology of education, 47-59.
  2. Marin, A., & Hayes, S. (2017). The Occupational Context of Mismatch: Measuring the Link Between Occupations and Areas of Study to Better Understand Job-Worker Match. Canadian Journal of Sociology/Cahiers canadiens de sociologie42(1), 1-22.
  3. Osman, Z., & Shahiri, H. I. (2013). Ketaksepadanan pekerjaan dan inflasi pendidikan. Jurnal Ekonomi Malaysia47(2), 137-147.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.