Jom belajar tentang zakat pendapatan.
Kewajipan membayar zakat kepada individu Muslim adalah sama sepertimana kefardhuan mendirikan solat lima waktu untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Zakat mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam dan sering digandingkan perkataannya bersama-sama dengan perkataan solat di dalam al-Quran.
Zakat wajib dikeluarkan ke atas beberapa jenis harta yang telah ditetapkan setelah memenuhi syarat-syarat dan tempoh masa tertentu. Kewajipan zakat mempunyai pelbagai objektif sosio-ekonomi yang positif bukan sahaja kepada penerima zakat bahkan kepada pembayar zakat dan juga masyarakat keseluruhannya.
Secara umumnya zakat dapat menguatkan sistem jaminan sosial dan ia merupakan langkah awal yang sepatutnya ditangani dengan baik bagi menuju ke arah pembangunan satu sistem ekonomi Islam yang sempurna dan hebat.
Zakat pendapatan ditakrifkan melalui konsep al-Mal al-Mustafad yang membawa maksud pendapatan. Ia merujuk kepada semua jenis upah, imbuhan, bayaran, sewaan atau hasil yang diperoleh daripada apa jua jenis pekerjaan atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap, bermusim atau sekali-sekala.
Ulama’-ulama’ mutaakhirin telah membahagikan al-mal al-mustafad kepada tiga jenis iaitu penggajian dan upah kerja, harta kerja bebas dan profesional dan harta al-Mustaghallat.
Penggajian dan upah bermaksud harta atau pendapatan yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya untuk pihak lain sama ada kerajaan, swasta atau individu dengan melakukan sebarang usaha dalam bentuk fizikal, mahupun mental ataupun kedua-duanya sekali.
Dalam erti kata lain, gaji, upah, bonus, tuntutan kerja lebih masa (over-time), insentif dan sebagainya atau apa-apa hasil yang diperolehi atas sebab pekerjaan atau penggajian adalah apa yang dimaksudkan oleh penggajian dan gaji
Harta ini boleh diertikan sebagai harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukan sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau professional.
Sebagai contoh, bayaran perkhidmatan konsultansi profesional yang diterima oleh peguam atau doktor. Ataupun keuntungan projek yang diterima oleh kontraktor binaan atau apa-apa sahaja hasil yang diperolehi melalui pekerjaan sendiri.
Harta al-Mustaghallat di sini membawa maksud segala harta yang diperolehi daripada harta-harta yang tidak diwajibkan zakat ke atasnya tetapi telah mendatangkan keuntungan, pulangan atau pendapatan kepada individu dengan cara sewaan atau jualan.
Contoh mudah adalah hasil-hasil sewaan rumah, bangunan, kilang atau premis dan sebagainya. Selain itu, hasil-hasil sewaan kenderaan atau peralatan juga termasuk dalam harta al-Mustaghallat.
Ulama telah mengasaskan kewajipan mengeluarkan zakat pendapatan berdasarkan beberapa dalil daripada al-Quran dan Hadis. Di dalam al-Quran, Allah S.W.T telah berfirman melalui surah al-Baqarah pada ayat ke-267 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”.
Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan “hasil usaha kamu yang baik-baik” itu wajib dikeluarkan zakat. Oleh itu, bekerja atau makan gaji juga merupakan usaha yang baik, maka wajiblah bagi individu tersebut untuk mengeluarkan zakat.
Dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda;
“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.”
Perkataan “bekerja” di dalam Hadis tersebut boleh dirujuk kepada makan gaji atau pendapatan yang wajib dikeluarkan zakat.
Haul adalah tempoh. Jadi, tempoh bagi zakat pendapatan adalah setahun Hijrah bersamaan 354 hari manakala nisab bermaksud had. Nisab zakat pendapatan adalah bersamaan nilai 85g emas.
Nisab sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun kerana mengikut harga emas semasa, maka perlulah dirujuk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing. Sebagi contoh, untuk tahun 2016, nisab zakat pendapatan adalah sekitar RM 12,000 hingga RM 13,500 (bergantung kepada Majlis Agama Negeri masing-masing)
Jika dalam tempoh setahun Hijrah, jumlah pendapatan yang diperoleh sama ada pendapatan penuh atau ditolak dengan pelepasan zakat yang dibenarkan menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan, maka perlulah dibuat kiraan zakat pendapatan dan keluarkan jumlah yang sepatutnya.
Manakala, kadar zakat pendapatan yang dikenakan adalah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang layak dikeluarkan zakat.
Terdapat 2 kaedah kiraan zakat pendapatan yang boleh dilakukan, iaitu kaedah tanpa tolakan dan dengan tolakan.
Kaedah ini adalah lebih mudah kerana hanya perlu mengambil kira jumlah pendapatan yang diperoleh dalam tempoh setahun.
Sebagai contoh, si A memperoleh pendapatan sebanyak RM 2,000 setiap bulan, maka jumlah pendapatan tahunan beliau adalah RM 24,000 (RM 2,000 x 12 bulan)
Maka, jumlah zakat pendapatan yang perlu dikeluarkan si A adalah 2.5% x RM 24,000 = RM 600/ tahun atau RM 50 / bulan.
Untuk kaedah ini, pengiraan zakat pendapatan dikira ke atas jumlah pendapatan bersih selepas ditolak jumlah pelepasan zakat pendapatan. Konsep ini boleh dikatakan sama seperti pelepasan cukai pendapatan. Sebagai makluman, jenis-jenis dan jumlah pelepasan zakat pendapatan adalah berbeza antara negeri-negeri di Malaysia, bergantung kepada ketetapan Majlis Agama Negeri masing-masing.
Antara jenis-jenis pelepasan zakat pendapatan yang dibenarkan adalah:
Untuk contoh pengiraan zakat pendapatan dengan tolakan, saya mengambil kira nisab (RM 12,335) dan pelepasan zakat pendapatan yang dibenarkan Pusat PPZ Wilayah Persekutuan.
Berikut adalah contoh situasi untuk pengiraan zakat pendapatan dengan tolakan. A berpendapatan RM 3,000 sebulan. Beliau mempunyai 1 orang isteri dan 2 anak. Setiap bulan, beliau memberikan RM 200 kepada ibubapanya, mencarum KWSP 11% (RM 330) dan menyimpan di Tabung Haji RM 200.
Oleh itu:
Jumlah pendapatan tahunan = RM 3,000 x 12 = RM 36,000
Jumlah pelepasan zakat pendapatan = RM 22,760 yang merangkumi perbelanjaan:
Jumlah pendapatan layak di zakat = RM 36,000 – RM 22,760 = RM 13,240
Jumlah zakat pendapatan = 2.5% x RM 13,240 = RM 331/tahun atau RM 27.60/bulan
Sekiranya jumlah pendapatan layak di zakat (jumlah pendapatan – jumlah pelepasan zakat) adalah kurang daripada nisab yang ditetapkan, maka pendapatan tersebut adalah tidak layak dikeluarkan zakat pendapatan.
Untuk membuat kiraan zakat pendapatan dengan lebih mudah, boleh gunakan kalkulator pengiraan zakat pendapatan yang disediakan kebanyakan portal atau laman web setiap Majlis Agama Negeri.
Jemput juga baca artikel tentang zakat wang simpanan dan syarat wajib bayar zakat