Tahukah anda bahawa orang islam wajib bayar zakat emas dan perak kalau cukup nisab dan haulnya? Kalau anda mempunyai simpanan emas dan perak di rumah, jom ketahui zakat emas dan perak.

Apakah jenis emas yang wajib dizakatkan?

Semua jenis emas tulen wajib dizakatkan termasuklah:

  • Barang kemas 916
  • Emas tulen 999
  • Barang kemas yang dipakai
  • Barang kemas yang tidak dipakai
  • Barang kemas yang lama dan sudah rosak

Semua emas dan perak wajib dibayar zakat apabila cukup nisab dan haulnya.

Sumber: Indiatvnews

Nisab dan haul

Apakah yang dimaksudkan dengan nisab dan haul? Mungkin kedua-dua perkataan ini adalah perkataan yang baru kepada anda.

  • Nisab: timbangan berat emas dan perak yang dimiliki dalam kiraan gram. Sevafai contoh, 100 gram.
  • Haul: berapa lama emas dan perak tersebut berada dalam simpanan. Setahun? Dua tahun? Dua bulan? Atau baru dua hari?

Apabila cukup nisab dan haul, wajib bayar zakat emas. Selagi tidak cukup nisab dan haul, tidak perlu membayar zakat emas dan perak. Ia adalah seperti sabda Rasulullah S.A.W:

“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Nisab dan haul emas dan Perak bagi Wilayah Persekutuan

Setiap negeri mempunyai nisab dan haul yang berbeza. Kali ini kami akan kongsikan nisab dan haul bagi Wilayah Persekutuan. Haul ialah setahun, oleh itu sebaik sahaja cukup setahun dan cukup nisab seperti berikut, anda wajib membayar zakat:

1. Emas 916 yang dipakai

Hukum asal adalah emas 916 atau barang kemas tidak dikenakan zakat melainkan tuan punya memiliki barang kemas 916 yang berlebihan dan melampaui kadar yang biasa (uruf) yang dipakai oleh Wilayah Persekutuan.Wilayah Persekutuan telah menetapkan bahawa kadar uruf emas perhiasan yang dipakai ialah sebanyak 800 gram.

Oleh itu, jika anda mempunyai lebih daripada 800 gram emas 916, maka anda wajib membayar zakat. Sebagai contoh agar anda mudah untuk faham, sekiranya jumlah emas yang perhiasan yang dipakai dalam tempoh setahun ialah 900 gram, berikut adalah bayaran zakat yang anda perlu bayar:

Berat emas dipakai x Harga emas semasa x 2.5% Kadar zakat

900 gram x RM165.68 (contoh) x 2.5%

RM3,727.80

2. Emas 916 yang disimpan

Emas yang disimpan adalah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang dibeli tapi langsung tidak dipakai termasuklah emas yang sudah rosak. Jika jumlah berat melebihi 85 gram, maka wajib dikeluarkan zakat keatasnya sebanyak 2.5 peratus (%). Ia adalah berdasarkan hadith berikut:

“Tiada wajib atas kamu sesuatu pun iaitu pada emas sehingga ada 20 dinar (85 gram) dan telah cukup haul wajib padanya setengah dinar. Apa yang lebih dari itu, mengikut kiraan yang sama” (HR Abu Dawud)

Formula Kiraan adalah seperti berikut:

Berat emas x Harga emas semasa x 2.5% kadar zakat

200 gram x RM165.68  x 2.5%

RM828.40

Sumber: Pusatzakatselangor

3. Emas disimpan dalam pelaburan patuh syariah

Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk pelaburan iaitu:

  • Pelaburan dalam emas fizikal
  • Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook)

Pelaburan emas fizikal adalah berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas mencecah nisab 85 gram. Cara kiraan adalah seperti berikut:

Berat emas x Harga semasa x 2.5%

400 gram x RM140 (contoh) x 2.5%

RM1,400

Akaun Emas (Passbook) adalah simpanan emas dalam bentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas di bank. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Anda wajib membayar zakat sekiranya mencukupi nisab 85 gram. Contoh kiraan adalah seperti berikut:

Berat emas x Harga semasa x 2.5%

200 gram x RM140 (contoh) x 2.5%

RM700

4. Emas pelaburan tidak patuh syarak

Pelaburan emas yang tidak patuh syarak pula boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  • Pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal
  • Pelaburan emas melalui alam maya

Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas. Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas dianggap sebagai sejenis pelaburan yang tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat emas hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan.

Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik yang mempunyai akaun di broker tertentu. Proses belian dan jualan emas dilakukan secara maya tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang didagangkan. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan.

Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak adalah seperti berikut:

Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat

= RM40,000 x 2.5%

= RM1,000

Zakat perak

Bagi barangan perak, nisabnya ialah  sebanyak 595 gram atau lebih dan haul adalah setahun. Contoh kiraan adalah seperti berikut:

Berat perak x harga perak semasa x 2.5%

600 gram perak x RM2.45x 2.5% = RM36.75

Sumber: Thehansindia

Itulah dia info tentang jom ketahui tentang zakat emas dan perak yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang zakat saham dan zakat kwsp.

Rujukan:

1. Facebook

2. Zakat selangor

Copy

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.