Sekiranya anda adalah seorang peniaga, pastinya titik pulang modal adalah salah satu perkara penting yang perlu anda tahu, lebih-lebih lagi cara mengira titik pulang modal supaya bisnes untung dan anda tidak mengalami sebarang kerugian yang menjadi mimpi ngeri paling buruk seorang peniaga. Sejauh mana anda faham tentang titik pulang modal?

Sumber: Restaurantbusinessonline

Apakah yang dimaksudkan dengan titik pulang modal?

Titik pulang modal adalah situasi di mana perniagaan anda berada pada tahap tidak membuat keuntungan namun dalam masa yang sama juga tidak mengalami sebarang  kerugian. Bahasa pasar yang biasa kita gunakan ialah balik modal di mana kita memperoleh semula jumlah duit yang kita keluarkan sebagai kos perniagaan. Sebagai contoh, jika kos pengeluaran ialah RM10,000, sebaik sahaja kita berjaya menjual sebanyak RM10,000, maka kita telah menemui titik pulang modal.

Jika kita dapat menjual melebihi Rm10,000 kita sudah mendapat keuntungan, manakala selagi jualan kita berada dibawan RM10,000 kita sedang berada dalam keadaan rugi. Mudah saja untuk faham, kan? Titik pulang modal biasanya dilihat berdasarkan kepada berapa jumlah unit ataupun jumlah jualan yang perlu anda lakukan untuk mencapai tahap pulang modal bergantung kepada harga jualan yang ditetapkan anda.

Mana-mana jumlah yang melebihi titik pulang modal dianggap sebagai keadaan di mana perniagaan anda telah membuat keuntungan. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa titik pulang modal tidak boleh digunakan untuk mengira jumlah untung bersih perniagaan anda kerana akan terdapat kos-kos lain yang dalam perniagaan anda yang perlu diambil kira dalam menentukan jumlah untung bersih.

Apakah kepentingan mengetahui titik pulang modal perniagaan anda?

Mengetahui titik pulang modal perniagaan adalah sangat penting dalam sesebuah perniagaan kerana dari jumlah titik pulang modal, anda boleh membuat beberapa keputusan perniagaan yang penting seperti:

  • Menentukan tahap volum jualan yang perlu dikeluarkan bagi mengelakkan kerugian. Sebaik sahaja anda mengetahui titik pulang modal, dengan mudah anda boleh membuat anggaran berapa banyak produk perlu dikeluarkan untuk balik modal. Di sini anda sudah berada selangkah ke hadapan dalam mengelakkan syarikat mengalami kerugian.
  • Mengetahui jumlah keuntungan atau kerugian pada tahap pengeluaran tertentu. Dengan mengetahui titik pulang modal, sedikit sebanyak anda sudah dapat mengagak berapakah keuntungan atau kerugian yang anda alami pada masa tersebut.
Sumber: Xconomy
  • Merancang pengeluaran untuk memperoleh untung yang disasarkan. Dengan mengetahui titik pulang modal juga akan membantu anda membuat perancangan pengeluaran sekiranya anda mempunyai sebarang sasaran keuntungan yang telah ditetapkan.
  • Merancang pengeluaran dan jualan dengan mengkaji kesan ke atas titik pulang modal jika perubahan dibuat ke atas kos tetap, kos berubah seunit atau harga jualan seunit. Ini adalah sangat penting dalam sesebuah perniagaan.
  • Dalam masa yang sama, mengetahui titil pulang modal akan memudahkan usaha anda untuk merendahkan titik pulang modal yang boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti:
  1. Meningkatkan harga jualan.
  2. Mengurangkan kos tetap.
  3. Mengurangkan kos berubah seunit.

Cara mengira titik pulang modal

Sekarang kami akan tunjukkan cara untuk mengira titik pulang modal. Untuk mengira titik pulang modal, anda perlu mengambil kira kesemua kos yang terlibat dalam perniagaan anda. Kos yang perlu diambil kira dalam kiraan titik pulang modal ialah:

  • Kos Berubah iaitu kos yang akan meningkat jika jualan meningkat seperti bahan mentah, kos penyimpanan, kos pengangkutan, dan sebagainya.
  • Kos Tetap  iaitu kos yang nilainya tetap sama dan tidak dipengaruhi oleh kadar jualan yang anda perolehi seperti gaji pekerja, sewa kedai, kos pengiklanan dan sebagainya.

Kos-kos yang terlibat dalam kiraan titik pulang modal adalah bergantung kepada jenis perniagaan anda. Ianya mungkin berbeza dari satu jenis perniagaan dengan perniagaan yang lain. Berikut adalah dua cara mengira titik pulang modal:

1. Kaedah Margin Sumbangan atau juga dikenali sebagai margin sumbangan

Margin caruman  atau margin sumbangan ialah perbezaan antara jumlah hasil jualan dengan jumlah kos berubah. Ianya adalah kaedah dimana anda mencari perbezaan di antara kedua-duanya. Margin caruman seunit ialah perbezaan antara hasil jualan seunit dengan kos berubah seunit. Ia adalah formula yang sangat muda untuk dikira.

Margin Caruman = Jumlah Hasil Jualan – Jumlah Kos Berubah

Margin Caruman Seunit = Harga Jualan Seunit – Kos Berubah Seunit

2. Kaedah Graf

Ini adalah cara kira titik pulang modal kedua yang boleh anda lakukan. Graf titik pulang modal menunjukkan perhubungan antara kos, hasil dan untung atau rugi bagi setiap tingkat pengeluaran atau jualan dalam perniagaan anda. Graf perlu dilukis dengan menggunakan paksi mendatar dan paksi menegak. Paksi mendatar (paksi x) mewakili bilangan unit keluaran atau volum sementara paksi menegak (paksi y) mewakili jumlah hasil atau jumlah jualan dan jumlah kos dalam unit ringgit.

Titik Pulang Modal ialah titik persilangan antara garis jumlah kos dengan garis jumlah hasil. Ia adalah titik pertemuan di antara paksi x dan paksi y. Mudah saja kan mengira titik pulang modal. Oleh itu, sebagai seorang peniaga anda perlu tahu cara untuk mendapatkan titik pulang modal supaya anda tidak syok sendiri dalam menjalankan perniagaan.

Sumber: Wisegeek

Itulah dia info  tentang cara mengira titik pulang modal (supaya bisnes untung) yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian ini anda juga dijemput untuk membaca artikel kami tentang bisnes cara RAsulullah SAW cara memulakan perniagaan kecil dan cerita motivasi perniagaan

Rujukan:

1. Wikipedia

2. Techharvest

3. Cikgurusila

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.