Dalam Islam sendiri, kita digalakkan untuk berniaga kerana 9/10 daripada pintu rezeki datang daripada perniagaan.

Mungkin ada yang berminat dan ingin memulakan perniagaan sebagai punca pendapatan sampingan. Semakin ramai yang mula menjalankan perniagaan untuk kelangsungan hidup dan ada yang berhenti kerja makan gaji untuk fokus dengan perniagaan sendiri.

Dalam artikel ini, kami ingin berkongsi tips yang boleh diamalkan bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan dengan modal yang kecil (RM2k-10k).

Tips ini sebahagiannya dikongsi oleh Encik Faheem, Pengarah Operasi trading.com menerusi akaun Twitter nya dan penulis telah mendapatkan kebenaran beliau untuk mengolah semula kandungan ini.

Jom baca!

#1 Jangan pergi China (bukan sebab virus corona Wuhan semata tau!)

Ramai yang salah faham bahawa kalau nak dapatkan barang niaga, mesti kena keluar dari Malaysia. Dengan harapan, barangan di China adalah jauh lebih murah dengan pembelian pukal.

Pemikiran ini perlu dibetulkan. Sebenarnya, untuk pergi ke China memerlukan kos lebih dari RM2k, belum lagi kira kos untuk dipasarkan kembali di Malaysia.

#2 Mulakan dengan Pembekal/Penjual Tempatan

Anda boleh mulakan cari produk jualan melalui pembekal dan penjual tempatan.

Antara kelebihannya ialah masa urusan pembelian barangan yang lebih cepat. Sekiranya terdapat barangan yang rosak atau tidak menepati permintaan, kita boleh berurusan dengan lebih mudah.

Ada peniaga yang boleh kaut jualan RM1 juta dengan hanya jualan barang yang diperolehi daripada pembekal tempatan sahaja!

#3 Kenal Pasti Pasaran

Lebih mudah sekarang apabila terdapatnya media sosial. Anda boleh melihat sendiri apakah niche pasaran yang mendapat permintaan yang tinggi.

Contohnya, golongan ibu bapa, pelajar, suami isteri atau golongan belia bujang.

Setiap daripada golongan ini mempunyai keperluan tertentu dan adakalanya mempunyai keperluan yang sama.

Imej via iLabur

Ibu bapa mungkin mencari car seat atau alat bantuan dan permainan anak-anak, manakala pelajar atau remaja sukakan aksesori pakaian tertentu. Tetapi, kedua-duanya mungkin berkongsi minat gadget yang sama seperti powerbank dan casing telefon.

#4 Ketahui Isu Semasa/Permasalahan dalam Jualan

Info sebegini boleh didapati dengan menyertai group Facebook atau Telegram.

Ketahui apa permintaan yang sedang mendapat sambutan dan bagaimana penerimaan sesuatu produk tersebut dapat menampung permintaan produk itu.

Point #3 dan #4 ini adalah saling berkait rapat sebenarnya, yang penting, anda kena kuasai niche pasaran.

Saiz pasaran yang besar perlulah dikaji. Contohnya, ramai orang menggunakan kereta, tetapi anda tidak perlulah menjual kereta, mungkin anda boleh menjadi pembekal barangan penjagaan kereta seperti pengilat, sabun cuci kereta atau wiper cermin.

#5 Memilih Produk yang Sesuai

Sebaiknya, pilihlah produk jualan dengan berat kurang daripada 2 kg.

Hal ini bertujuan untuk mengurangkan kos pos dan courier. Selain itu, barangan yang lebih besar dan berat, adalah lebih berisiko untuk mudah rosak atau pecah dan kebiasaannya penjual lah yang akan menanggung kerugiannya.

#6 Produk yang Digunakan dalam Kehidupan Seharian

Tujuannya ialah supaya permintaan terhadap produk ini adalah berterusan.

Jangan terkejut kalau penulis mencadangkan anda untuk menjual pengetip kuku! Nampak macam simple, tiada class?

Antara kesilapan penjual baru nak up ini ialah terlalu bercita-cita besar nak jual barangan yang gah, canggih tanpa memikirkan faktor publisiti dan jualan.

Berbanding nama-nama besar seperti Alif Syukri, Mira Filzah, Fattah Amin, Fazura dan lain-lain, kalau mereka jual sapu tangan pun, beratur orang membelinya, bukan?

Analoginya, gula-gula hacks memang tidak glamour, tidak gah, tetapi permintaannya adalah dari dulu hingga kini, sentiasa dicari oleh pengguna dan tak ditelan zaman.

#7 Produk Perlulah Berdaya Saing

Jangan cuba menjual barangan yang anda rasa tidak mampu bersaing dengan nama di pasaran yang sudah sedia kukuh.

Contohnya anda ingin memasarkan produk pakaian fesyen, tanpa mengambil kira persaingan daripada syarikat gergasi fesyen yang lain seperti Zara, H&M dan Uniqlo.

Imej via iLabur

Selain itu, trend fesyen sentiasa berubah-ubah. Hal ini boleh dilihat melalui peralihan fesyen yang pelbagai dalam tempoh yang singkat seperti fesyen peplum, pantsuit, blouse, kebarung dan sebagainya.

Namun, teruskan perniagaan anda jika anda benar-benar yakin produk anda boleh berdaya saing melalui kualiti, harga yang kompetitif dan sasaran pengguna yang ramai.

#8 Jangan Pilih Produk Sebarangan

Maksudnya di sini, anda janganlah pilih produk yang bermusim, nanti keuntungan anda pun bermusim lah.

Contohnya, butang baju melayu (musim raya sahaja) VS kerongsang (perempuan memerlukannya setiap masa), vape (ikut trend) VS rokok (sepanjang masa).

Selain itu, elakkan daripada menjual produk yang mudah pecah, cepat tamat tarikh luput dan memerlukan kemahiran yang tinggi.

#9 Pilih Barangan yang Praktikal

Untuk sentiasa mendapat sambutan dan permintaan, antara barangan yang praktikal ialah barangan dengan ciri-ciri berikut:
  • Bantu selesaikan masalah seharian (urusan kerja rumah)
  • Bersaiz kecil dan ringan
  • Digunakan seharian atau dalam tempoh masa yang panjang
  • Tidak terlalu teknikal atau memerlukan teknologi untuk digunakan
  • Kos rendah
  • Tidak bermusim
  • Mudah dijual secara pos

Ringkasnya, anda boleh mulakan perniagaan dengan modal rendah tetapi masih boleh menjana keuntungan dan meminimumkan kerugian.

Untuk pengetahuan anda, Encik Faheem ada menyediakan kelas dan konsultansi bagi sesiapa yang ingin memulakan perniagaan menjual barangan ini.

Oleh itu, jika anda sudah mempunyai idea nak jual apa dan sudah mempunyai modal serendah RM2k, anda boleh hubungi Encik Faheem di laman web mereka di http://hijrahtrading.com

Terdapat bantuan dari pihak mereka untuk mendapatkan barangan menarik yang boleh diperolehi di dalam dan di luar negara. Jangan malu untuk bermula dengan perniagaan yang kecil. 

Penulis: Jefri Yusof

Avatar

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.