Ada cita-cita nak jadi seorang pensyarah? Anda selalu bayangkan anda beri syarahan dalam satu dewan kuliah yang besar?

Kerjaya pensyarah lebih kurang sama saja dengan kerjaya perguruan cuma anak murid anda bukan lah budak-budak atau remaja tetapi golongan dewasa, hingga ada yang dah tua bangka.

Nak tahu dengan lebih lanjut proses permohonan nak jadi pensyarah di universiti dan skop tugas seterusnya?

Jom baca artikel ini.

Pengenalan

Di Malaysia, terdapat berpuluh hingga beratus institusi pendidikan yang menyediakan tempat belajar bagi pendidikan tertiari, baik yang disediakan oleh kerajaan menerusi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), mahupun perusahaan swasta iaitu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Oleh itu, tenaga kerja dalam bentuk pendidik amat diperlukan bagi memenuhi keperluan pengajaran pelajar-pelajar di setiap IPT ini.

Selain itu, universiti turut bertindak sebagai pusat penyelidikan terulung dalam menjalankan penyelidikan saintifik untuk dijadikan sebagai inovasi dan kegunaan industri mahupun manfaat masyarakat. Pensyarah-pensyarah ini lah yang akan terlibat dengan projek penyelidikan.

Jangan ingat kerja pensyarah itu hanya mengajar sahaja!

Institusi Pengajian di Malaysia

Imej via iLabur

Jika guru mempunyai sekolah sebagai tempat kerja, doktor dan jururawat tempatnya di hospital dan rumah jagaan, pensyarah pula akan berkhidmat di institusi pengajian tinggi. terdapat beberapa institusi yang menawarkan tempat sebagai pensyarah.

IPTA

IPTA di Malaysia dibahagikan kepada dua iaitu universiti penyelidikan atau research university (RU) dan universiti pengajaran.

Dalam satu-satu masa, hanya 5 RU dilantik oleh kerajaan untuk memastikan kualiti penyelidikan yang baik dengan lebih peruntukan untuk menjayakan penyelidikan berkelas dunia di samping prasarana pengajaran. Buat masa sekarang, 5 RU tersebut ialah:

  1. Universiti Malaya (UM)
  2. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  3. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  4. Universiti Sains Malaysia (USM)
  5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Sementara itu, universiti pengajaran ialah universiti awam di Malaysia selain daripada 5 RU yang dinyatakan di atas.

IPTS

IPTS diwujudkan di Malaysia bagi beberapa tujuan seperti:

  • menampung jumlah pelajar yang tidak berkesempatan memasuki universiti awam
  • mewujudkan institusi alternatif bagi program yang terhad di IPTA seperti perubatan, pergigian
  • projek korporat badan tertentu seperti UNITEN (Tenaga Nasional), UTP (Petronas)
  • francais universiti luar seperti Nottingham, Monash
  • aspek sosial seperti untuk golongan berkemampuan dan mewah (tidak membebankan subsidi IPTA)

Institusi Perguruan

Institusi Perguruan (IPG) atau sebelum ini dikenali sebagai Maktab Perguruan yang khas dibangunkan untuk melahirkan pelapis guru sekolah rendah

Kemahiran dan Vokasional

Bagi pelajar yang kurang berminat dengan penyertaan akademik yang serius, terdapat beberapa kolej di bawah kerajaan yang menawarkan pendidikan berteraskan kemahiran seperti kolej komuniti, institut kemahiran dan politeknik.

Kelayakan

Imej via iLabur

Secara amnya, pelajar-pelajar di IPT akan mengambil jurusan di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda. Untuk mengajar, anda seeloknya mempunyai tahap pendidikan setingkat lebih atas berbanding tahap pengajaran.

Contohnya, mempunyai sarjana untuk mengajar sarjana muda atau mempunyai sarjana muda untuk mengajar diploma dan sijil kemahiran.

Namun, tahap pendidikan yang terbaik ialah mempunyai doktor falsafah (PhD) yang merupakan pendidikan tertinggi yang boleh mengajar semua tahap pendidikan. Tambahan pula dengan lambakan graduan universiti sekarang.

Tips Kelayakan

Sebagai tips, sesuai untuk mereka yang bercadang untuk menjadi pensyarah, berikut merupakan antara faktor penarik yang membantu mencantikkan lagi resume anda ketika memohon jawatan pensyarah:

  • Minimum PNGK semasa sarjana muda ialah 3.0 dengan pangkat kelas pertama mempunyai peluang yang lebih cerah
  • Mempunyai sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang yang sama bagi mengukuhkan niche bidang kajian anda
  • Menerbitkan banyak kertas kerja, menyertai pertandingan inovasi, aktif dalam konferens dan pembentangan
  • Graduate on time (GOT) jika berkemampuan – 3 hingga 4 tahun pengajian bagi PhD
  • Mempunyai pengalaman kerja di industri
  • Berhubungan rapat dengan staf fakulti – banyak join aktiviti fakulti

Cara Memohon Jawatan Pensyarah

Untuk jawatan pensyarah universiti, tiada platform khas untuk memohon sebagaimana jawatan kerajaan yang lain seperti SPA8. Antara pendekatan yang boleh dilakukan ialah:

  • menghubungi ketua jabatan di fakulti dengan melampirkan cover letter dan resume
  • mengisi borang skim akademik muda (proses ini agak rumit dengan saringan yang sangat ketat)
  • alert dengan iklan oleh mana-mana IPTA kerana mereka mempunyai autonomi sendiri untuk memilih dan melantik staf mereka

Bagi  jawatan pensyarah di IPTS, antara cara permohonan ialah:

  • iklan di laman web carian kerja seperti jobstreet
  • iklan di laman web IPTS itu sendiri
  • menghubungi HR atau Dekan di IPTS tersebut secara peribadi

Sementara itu, bagi jawatan pensyarah di kolej komuniti dan kemahiran ini, perlu dilakukan dengan mengisi borang atas talian Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan semua proses akan dikemas kini di situ.

Skop tugas

Imej via iLabur

Seperti jawatan pekerjaan yang lain, pensyarah juga mempunyai key performance index (KPI) yang perlu dipatuhi menerusi skop tugas berikut:

  1. Mengajar kuliah atau tutorial
  2. Menjalankan penyelidikan
  3. Menyelia pelajar
  4. Menerbitkan kertas kajian
  5. Menyertai konferens, membentangkan hasil kajian
  6. Menguruskan hal pentadbiran yang berkenaan
  7. Melakukan aktiviti promosi universiti/IPT
  8. Menjalankan khidmat masyarakat sosial
  9. Menganjurkan program/terlibat dengan aktiviti kolej universiti

Kelebihan Menjadi Pensyarah

Jika anda menjawat jawatan pensyarah di IPTA, bersamaan dengan kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam yang lain seperti elaun kerajaan, bonus kerajaan, skim pencen, perlindungan kesihatan dan sebagainya.

Sama juga seperti pensyarah IPTS, kelebihan pekerja swasta yang lain turut diperolehi seperti PERKESO, KWSP, perlindungan akta buruh dan sebagainya.

Waktu Bekerja

Di sesetengah IPTA, waktu bekerja adalah fleksibel di mana anda cukupkan waktu berada di universiti, contohnya 48 jam seminggu, maka itu sudah mematuhi jam bekerja anda.

IPTS pula mempunyai struktur pentadbirannya tersendiri, jadi ada yang menetapkan waktu bekerja Isnin-Sabtu sebagaimana premis kerja awasta yang lain.

Skim Gaji Pensyarah

Skim gaji pensyarah IPTA adalah tetap dan nilainya lebih kurang dengan jawatan penjawat awam yang lain, mengikut tahap pendidikan iaitu sarjana – gred 45 dan PhD – gred 51.

Berlainan dengan IPTS, gaji pensyarahnya tidak tetap kerana bergantung kepada banyak faktor. IPTA mendapat dana daripada kerajaan manakala IPTS beroperasi dengan suntikan dana sendiri dan yuran yang dikenakan ke atas pelajar mereka.

Kesimpulan

Jawatan pensyarah mungkin dilihat sebagai antara kerjaya pilihan bagi mereka yang minat mengajar dan suka melakukan penyelidikan.

Pensyarah merupakan antara tulang belakang yang akan menguatkan institusi pendidikan di negara kita yang seterusnya boleh dijadikan sebagai tarikan kepada pelajar atau penyelidik dari luar.

Sistem pendidikan yang berkualiti dengan pengajaran yang dinamik, penyelidikan yang berimpak dan sokongan kerajaan dijangkakan mampu menjadikan Malaysia muncul sebagai hub pendidikan yang cemerlang di masa akan datang.

Jemput juga baca artikel apa itu sains aktuari dan jenis doktor pakar

Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.