Semut charlie berasal dari kumpulan kumbang (Staphylinidae). Ia amat berbeza dengan jenis kumbang lain kerana mempunyai elytra pendek (penutup sayap). Mereka selalunya membiarkan lebih daripada separuh bahagian perut mereka terdedah.
Dengan kira-kira 63,000 spesies dalam ribuan jenis kumbang, kumpulan semut charlie diakui sebagai keluarga kumbang yang terbesar pada masa kini.
Tahukah anda, kumpulan semut charlie ini adalah datangnya daripada kumpulan kuno yang dikenal pasti dari fosil zaman Triassic, 200 juta tahun yang lalu.
Semut charlie adalah kumpulan kumbang yang beragam secara ekologi dan morfologi, dan biasanya dijumpai di ekosistem daratan. Terdapat banyak saiz dan bentuk dari spesies semut charlie ini.
Ukuran badannya boleh dikatakan sepanjang 1.5 inci dengan bentuk fizikalnya memanjang. Warnanya pula bermacam-macam dari warna kuning, merah dan coklat kemerahan hinggalah berwarna coklat, hitam hingga biru tua dan hijau.
Antena semut charlie biasanya mempunyai 11 segmen. Perutnya pula sangat panjang dan lentur bentuknya.
Semut charlie biasanya memakan serangga lain dan kadang-kadang tumbuh-tumbuhan yang busuk.
Ia juga memakan serangga kecil dan tungau yang menyerang tumbuhan, serta serangga di tanah dan akar tanaman. Larva yang belum matang dan semut charlie kecil akan menjadi mangsa kepada serangga lain.
Habitat semut charlie ini adalah di kawasan yang mempunyai takungan air. Ianya adalah seperti di kawasan paya, kawasan pertanian yang mempunyai tali air dan kawasan sawah padi. Walaupun bagaimana pun, serangga ini boleh dijumpai di kawasan rumah kerana semut charlie ini amat tertarik kepada lampu dan cahaya yang terang.
Semut charlie ini juga boleh terbang secara berkumpulan pada waktu malam. Mereka akan berpindah terutamanya selepas kejadian hujan lebat dan musim banjir, di mana ia bermigrasi ke tempat yang lebih kering.
Kebanyakan kecederaan yang disebabkan oleh semut ini sering terjadi di kawasan penanaman padi seperti di negeri-negeri bahagian utara semenanjung Malaysia dan juga Pantai Timur.
Disebabkan oleh arus kemodenan dan pengangkutan yang semakin baik, ianya mungkin telah menyebabkan serangga ini tersebar ke seluruh negara. Habitat semut charlie ini juga turut boleh dijumpai di negeri Sarawak dan Sabah.
Semut charlie biasanya tidak menyengat, namun ia menyebabkan kesakitan pada manusia agak berlainan dan unik dengan semburan cecair toksin yang dimiliki olehnya.
Serangga ini mempunyai haemolymph, yang mengandungi sejenis toksin yang dipanggil paederin yang berfungsi sama seperti darah. Jadi, serangga yang dipenyek akan merembeskan cecair yang mengandungi toksin paederin tersebut.
Kesannya boleh menyebabkan keradangan pada kulit manusia jika terkena toksin tersebut. Apa yang lagi menakutkan, racun toksin tersebut lagi berbisa daripada bisa ular tedung.
Oleh itu, sekiranya tidak dibersihkan serta merta, toksin tersebut akan terus disebarkan ke seluruh tempat sehingga menyebabkan kesan keradangan di beberapa bahagian lain pada kulit.
Sekiranya toksin ini terkena pada mata, ia mungkin akan menyebabkan buta sementara dan kesakitan yang amat perit pada kawasan mata. Jadi, anda haruslah berhati-hati apabila melihat semut charlie ini.
Sekiranya anda melihat semut charlie ini, elakkan untuk menepuk dan memicit serangga ini semata-mata untuk membunuhnya. Pastikan anda menggunakan alat penyepit untuk membuangnya. Nak lagi senang, tiup semut charlie tersebut untuk membuatnya terbang ke tempat lain.
Jika anda terkena cecair toksin daripada semut ini, pastikan anda membersihkannya dengan air dan sabun dengan secukupnya. Biasanya, toksin daripada semut charlie ini lambat menyerap ke dalam kulit manusia. Jadi, pembersihan dengan secepat mungkin akan dapat mengurangkan kesan buruk keatas kulit anda.
Kesannya terhadap kulit akan dapat dilihat setelah 12 jam atau lebih selepas terkena cecair toksin semut charlie ini. Pada mulanya kulit akan mendapat ruam-ruam merah yang kemudiannya menjadi melepuh dan bernanah pada akhirnya. Jika terkena pada mata, toksin ini boleh menyebabkan keradangan pada mata yang disebut juga sebagai conjunctivitis.
Antara langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan untuk mengelakkan dari membiaknya spesies semut charlie ini di kawasan rumah adalah dengan mengurangkan cahaya lampu pada waktu malam di luar rumah.
Selain itu, pencegahannya juga boleh dilakukan dengan menggunakan jaring penghalang dan sentiasa menutup tingkap apabila pada waktu malam.
Penggunaan racun serangga pula tidak berkesan kepada semut charlie ini kerana keupayaannya untuk meneutralkan racun tersebut.
Baru-baru ini ada pihak yang mengatakan bahawa untuk mengusir semut charlie ini dari datang ke rumah kita adalah dengan menggunakan alat penghalau serangga ultrasonic.
Alat ini juga bebas daripada racun dan selamat digunakan sekiranya terdapat anak-anak kecil. Apa yang bagusnya, alat ini berfungsi kepada kesemua serangga dan juga haiwan perosak.
Dalam industri agrokultur, semut charlie ini amat bermanfaat dan dapat membantu para pekebun menghilangkan larva dan pupa serangga perosak yang boleh membahayakan tanaman di kebun.
Walaupun beberapa spesies semut charlie ini memakan pelbagai jenis serangga, namun ada juga yang tidak dimakan oleh semut ini. Antara serangga yang tidak dimakan oleh semut charlie ini adalah larva lalat.
Sayangnya, semut charlie biasanya tidak dapat mengelakkan sebahagian besar kerosakan yang disebabkan oleh larva lalat. Semut charlie biasanya diternak di Kanada dan Eropah dengan tujuan untuk mengawal kerosakan tanaman lebih awal dan juga untuk menyelamatkan tanaman penting.
Semut charlie tidak membahayakan kebun dan setelah serangga atau bahan busuk yang mereka makan hilang, semut tersebut juga akan hilang dengan sendirinya.
Semut charlie akan menyebabkan kemudaratan sekiranya kita tersentuh cecair toksiknya. Habitatnya yang mudah dijumpai adalah faktor penyebab kita terdedah oleh semut ini.
Oleh itu, jika terkena cecair toksik semut charlie ini, cepat-cepat mencucinya ataupun berjumpa dengan doktor untuk menghilangkan sakit tersebut. Jom baca juga apa itu asnaf, cara tuntutan perkeso dan cara semak status bankrap online.
2. Rove beetles https://www.health.nsw.gov.au/environment/factsheets/Pages/rove-beetles.aspx
3. Rove Beetles In Gardens: Is A Rove Beetle Good Or Bad https://www.gardeningknowhow.com/garden-how-to/beneficial/rove-beetles-in-gardens.htm