Jom kenali pasaran saham lembu dan beruang. Dalam bidang pelaburan, terdapat dua jenis trend pasaran yang biasa dilihat iaitu pasaran LEMBU atau pasaran BERUANG.

Eh, tiada kaitan pun dengan dua haiwan itu, cuma trend pasaran menyerupai sosok rupa LEMBU atau BERUANG.

Nak lebih faham, baca artikel ini. Jom!

Pengenalan

Dunia pelaburan tidak pernah tidur! Itu hakikat yang memang sedia maklum bagi semua pelabur dan pemerhati ekonomi.

Boleh dikatakan hampir setiap hari, trend pelaburan ini berubah dan setiap pelabur mempunyai pendekatan tersendiri untuk handle keadaan ini.

Terma LEMBU dan BERUANG atau dalam bahasa Inggeris BULL dan BEAR digunakan untuk menerangkan keadaan pasaran yang berubah-ubah ini.

Dari segi sosok, lembu kelihatan menanduk (bawah ke atas untuk menyerang) manakala beruang kelihatan berdiri (atas ke bawah untuk menyerang).

Serangan ini sama ada ke atas (seperti lembu) atau ke bawah (seperti beruang) ialah dua senario yang sering dilihat dalam industri pelaburan.

Arah pasaran ini sangat penting untuk dipilih oleh para pelabur bagi menentukan hala tuju portfolio pelaburan dan kesan seterusnya.

Apa Sebenarnya Pasaran LEMBU dan BERUANG?

Imej via dailyfx

Terma LEMBU dan BERUANG digunakan untuk menunjukkan prestasi atau trend pasaran stok yang sedang berlaku; sama ada sedang menuju nilai menaik (LEMBU) atau menuju nilai merudum (BERUANG).

Pada masa yang sama, disebabkan pasaran pelaburan biasanya ditentukan oleh sikap para pelabur, terma LEMBU dan BERUANG ini menggambarkan tahap keyakinan para pelabur dan trend pasaran selanjutnya.

Pasaran LEMBU – Merujuk kepada pasaran yang sedang meningkat. Boleh diciriklan dengan peningkatan yang konsisten dan mantap dalam harga pasaran saham.

Dalam keadaan ini, para pelabur mempunyai tahap keyakinan yang tinggi bahawa trend ini akan berterusan untuk jangka masa yang panjang dan lebih lama.

Secara refleksi, ekonomi sesebuah negara dengan trend pasaran LEMBU ini adalah sangat kuat dengan kadar pengangguran pekerjaan yang sangat rendah.

Pasaran BERUANG – Sebaliknya, pasaran BERUANG merujuk kepada pasaran yang sedang menjunam atau berkurangan dari segi harga saham di pasaran.

Kedudukan harga saham akan terus menurun dan dijangka akan terus sebegitu oleh para pelabur.

Sepanjang tempoh ini, keadaan ekonomi menjadi lembab dan kadar pengangguran pekerjaan meningkat apabila banyak syarikat memberhentikan pekerja mereka atau kurang membuat pengambilan pekerja baharu.

Ciri-ciri Pasaran LEMBU vs Pasaran BERUANG

Walaupun keadaan pasaran LEMBU dan BERUANG ini boleh dilihat dengan arah dan trend harga stok saham pasaran, terdapat juga beberapa ciri lain yang perlu dipertimbangkan oleh para pelabur untuk mengesahkan jenis pasaran.

#1 Permintaan dan bekalan untuk sekuriti

Dalam pasaran LEMBU, terdapat permintaan yang tinggi dan bekalan yang rendah untuk sekuriti. Hal ini bermaksud, para pelabur sanggup membeli lebih banyak sekuriti berbanding menjual sekuriti sedia ada mereka.

Hasilnya, harga saham akan meningkat dan para pelabur akan bersaing sesama mereka untuk mendapatkan ekuiti yang tinggal.

Dalam pasaran BERUANG pula, lebih banyak jualan sekuriti berlaku berbanding belian.

Permintaan adalah rendah berbanding bekalan, menyebabkan harga pasaran yang menurun.

#2 Mainan psikologi para pelabur

Disebabkan kelakuan pasaran dipengaruhi oleh bagaimana setiap individu dan pelabur menyaksikan trend pasaran, sentimen dan psikologi oleh para pelabur akan memberi kesan sama ada pasaran seterusnya akan terus naik atau turun.

Prestasi pasaran stok dan psikologi para pelabur adalah saling berkait rapat.

Dalam pasaran LEMBU, para pelabur sanggup atau berkemahuan tinggi untuk terus melabur demi mengaut keuntungan saham.

Sebaliknya bagi pasaran BERUANG, sentimen pasaran adalah negatif apabila para pelabur mula mengeluarkan wang ekuiti mereka dan dimasukkan ke dalam pendapatan sekuriti. Tempoh ini digunakan sementara menunggu trend pasaran kembali pulih.

Penurunan harga pasaran stok menjejaskan keyakinan para pelabur, jadi tiada pelaburan dilakukan lalu menyebabkan harga pasaran menurun secara umumnya.

#3 Perubahan aktiviti ekonomi

Pasaran stok dan ekonomi saling berkait rapat kerana perniagaan stok dan perdagangan akan menjadi lebih besar dalam suasana ekonomi yang lebih besar.

Pasaran BERUANG dikaitkan dengan ekonomi yang lemah kerana kebanyakan perniagaan tidak mampu mencatatkan keuntungan yang besar apabila para pelanggan tidak berbelanja dengan mencukupi.

Nilai keuntungan yang menurun ini memberi kesan secara langsung ke atas nilai pasaran stok.

Sementara itu, dalam pasaran LEMBU pula, lebih banyak pihak berbelanja dalam urusan seharian yang menjadikan ekonomi lebih kuat.

#4 Pemerhatian perubahan pasaran

Kunci utama dalam menentukan pasaran yang sedang berlaku ialah LEMBU atau BERUANG bukan setakat terletak kepada perubahan pasaran terhadap sesuatu keadaan semasa, tetapi bagaimana trend pasaran akan terjadi dalam jangka masa yang panjang.

Pergerakan kecil dalam pasaran hanya mewakili trend pasaran jangka pendek, atau turut dikenali sebagai pembetulan pasaran (market’s correction).

Peruntukan masa yang lebih panjang diperlukan untuk menentukan sama ada pasaran itu sedang berkelakukan seperti LEMBU atau BERUANG.

Harus diingat, bukan semua pasaran boleh dicirikan dengan LEMBU atau BERUANG kerana ada masanya, pasaran akan mengalami keadaan tidak berubah, stagnant tiada perubahan, sebelum trend sebenarnya dapat dilihat. Dalam keadaan ini, keuntungan dan kerugian adalah sama sahaja yang berkeadaan neutral bagi para pelabur.

Tindakan yang Perlu Diambil dalam Setiap Pasaran

Imej via iLabur

Pasaran LEMBU

  • Beli lebih banyak stok pada waktu awal trend bermula
  • Jual stok pada waktu puncak
  • Kerugian adalah minimum dan bersifat sementara, disarankan pelaburan dalam ekuiti dilakukan dengan lebih banyak untuk pulangan yang lebih tinggi

Pasaran BERUANG

  • Kemungkinan kerugian adalah tinggi kerana harga stok yang semakin menurun
  • Pelaburan sia-sia selagi tidak trend tidak berubah
  • Pelaburan semasa tempoh ini dilakukan dengan menjual secara kecil-kecilan atau pendekatan yang lebih selamat dengan fixed-income securities

Kesimpulan

Ringkasnya, pasaran LEMBU ialah pasaran yang sedang meningkat dengan iklim politik yang baik, manakala pasaran BERUANG ialah pasaran yang sedang menurun dengan kebanyakan nilai stok berkurangan.

Walaupun kebanyakan pelabur banyak menggunakan pendekatan BERUANG, majoriti daripada mereka sebenarnya mengamalkan trend LEMBU.

Pasaran stok sentiasa berubah-ubah, dengan pasaran BERUANG mempunyai risiko yang tinggi untuk memberi pulangan dan banyak mendatangkan kerugian. Kebanyakan pelabur akan menunggu keadaan kembali normal atau meningkat seperti LEMBU untuk kembali melabur.

Rujukan

  1. Gonzalez, L., Powell, J. G., Shi, J., & Wilson, A. (2005). Two centuries of bull and bear market cycles. International Review of Economics & Finance14(4), 469-486.
  2. Fabozzi, F. J., & Francis, J. C. (1977). Stability tests for alphas and betas over bull and bear market conditions. The Journal of Finance32(4), 1093-1099.
  3. Jansen, D. W., & Tsai, C. L. (2010). Monetary policy and stock returns: Financing constraints and asymmetries in bull and bear markets. Journal of Empirical finance17(5), 981-990.
Copy

Penulis: Jefri Yusof

Berminat dengan kajian Malaysia. Rajin mengupas isu semasa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.